Turki: Serangan Lebih Besar Sedang Dirancang

Oleh: Asmaa Yusof

Satu letupan meletus di luar mahkamah di bandar Aegean, Turki meragut sekurang-kurangnya dua nyawa termasuk seorang pegawai polis, serta mencederakan beberapa yang lain.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Gabenor bandar tersebut, lapor Al Jazeera bertarikh 6 Januari.

Al Jazeera dalam laporannya turut memberitahu dua penyerang terbunuh dalam pertempuran yang berlaku susulan insiden letupan itu itu.

Tembak-menembak antara penyerang dengan pasukan keselamatan itu sebaik letupan bom kereta, lapor agensi berita negeri, Anadolu Khamis lalu.

Gabenor Izmir, Erol Ayyildiz, memberitahu pemberita seorang pegawai polis dan seorang pekerja mahkamah turut terbunuh dalam kejadian itu.

Selain itu katanya, sekurang-kurangnya enam orang tercedera dan dibawa ke hospital yang terletak di pantai barat Turki.

Beliau menambah, serangan meletus selepas mereka (penyerang) ditahan di pusat pemeriksaan di luar mahkamah.

Insiden tersebut mengakibatkan beberapa buah kenderaan terbakar.

Rangkaian televisyen nasional turut memaparkan gambar situasi cemas ambulans yang dikejarkan ke lokasi letupan.

Timbalan Perdana Menteri Turki, Veysi Kaynak, berkata serangan lebih besar bakal meletus berdasarkan senjata yang ditemui di tempat kejadian pengeboman.

“Berdasarkan kepada persediaan senjata, bom dan peluru yang dirampas, ia difahami bahawa serangan yang lebih besar sedang dirancang,” jelas Kaynak kepada pemberita.

Wartawan Al Jazeera, Mohammed Jamjoom, yang melaporkan dari Istanbul berkata, serangan terbaru menunjukkan situasi keselamatan yang tidak menentu di Turki.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty two + = 32