Himpunan 355 Berjaya Dapat Sokongan NGO Islam

Oleh: Aisyah Yamin

Satu sidang media khas bersama pengarah Himpunan 355, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, telah diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap penganjuran tersebut yang bakal diadakan pada Sabtu,18 Februari di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Antara wakil NGO yang turut menghadiri sidang media Sabtu lalu itu adalah wakil Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahya, Presiden Persatuan Peguam Muslim, Datuk Zainal Rijal Abu Bakar serta Setiausaha Agong PEMBELA, Mansur Ibrahim.

Selain itu, wakil Profesional Ilmuan Muslim Malaysia, Muhd Zai Mustafa, Pengerusi Amal Islami Malaysia, Dr Yusri Mohamad juga merangkap YDP YADIM dan Timbalan Presiden Geng Ustaz, Ustaz Najhan Abdul Halim turut menghadiri sidang media itu bagi menzahirkan sokongan kepada penganjuran himpunan yang julung-julung kali diadakan itu.

“Wajar satu solidariti seperti ini diadakan demi kesejahteraan negara dan masyarakat seluruhnya. Tambahan pula, pindaan akta berkaitan Islam di Malaysia turut punyai rekod sangat baik,” ujar Dr Yusri Muhamad kepada media.

Dalam sidang media sama, pengarah himpunan mega itu, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, juga berkata matlamat Himpunan 355 bertujuan membangkitkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia ke arah membulat sokongan terhadap usaha memartabatkan Mahkamah Syariah dan melaksanakan undang-undang berlandaskan Syariat Islam sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap agar himpunan sebegini mampu memberi penjelasan terhadap kewajaran Akta 355 dipinda dan kenapa ia mesti disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty three − = twenty