Bantuan Myanmar Tetap Diteruskan Demi Dasar Kemanusiaan

Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi

Food Flotilla for Myanmar anjuran koaliasi NGO Malaysia dan antarabangsa akan diteruskan dengan pendekatan dan dasar yang termaktub dalam Deklarasi Hak Manusia Antarabangsa.

Tujuan Flotilla adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa pelarian konflik di Myanmar terutama di kawasan Maungdaw, Myanmar, demikian menurut Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, 5 Januari.

Jelasnya, sehingga kini ribuan pelarian terpaksa kehilangan tempat tinggal sama ada di dalam Myanmar mahupun yang dapat menyelamatkan diri ke Bangladesh.

Azmi berkata, mereka tidak mempunyai perlindungan, makanan, kit penjagaan diri, ubat, alat rawatan, pakaian, selimut dan khemah serta keperluan harian.

Beliau menyatakan Flotilla itu dijangka akan belayar pada Januari 2017 dan akan diturut serta oleh sekitar 200 orang terdiri dari delegasi lebih 40 NGO dan 20 media Malaysia dan antarabangsa.

“Peserta NGO dari negara seperti Thailand, Indonesia, Turki, China, Perancis, Holland, Bangladesh, Kemboja, Kuwait dan UK adalah antara negara yang akan menyertai.

“Dijangka sebanyak 2,000 tan bantuan kemanusiaan akan dibawa di dalam kapal yang akan belayar lebih 3,000 km (1,600 batu nautika) itu.

“Bantuan kemanusiaan adalah dikumpulkan dari sumbangan orang awam, NGO, pihak korporat serta agensi kemanusiaan yang dianggar bernilai lebih RM1.5 juta hingga RM2 juta.

Menurutnya lagi, bantuan dijangka dapat diedarkan kepada lebih 50,000 pelarian Rohingya di dalam Myanmar serta di kem pelarian Teknaf di sebelah Bangladesh bahkan di samping menghantar bantuan, peserta Flotilla sedang disiapkan untuk melakukan pelbagai tugasan.

Tambah beliau tugasan itu untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan sempurna seperti melakukan khidmat rawatan, mengedar bantuan, melihat keperluan wanita dan kanak-kanak, membantu mendirikan khemah dan tempat beribadah sementara.

Azmi memaklumkan, terkini sebuah kapal dari Malaysia telah muktamad diperolehi untuk menjayakan Flotilla dengan muatan 2,000 tan.

Beliau optimis hampir 80% persiapan Flotilla sudah dapat disempurnakan dan misi pelayaran Flotilla tersebut dijangka akan mengambil masa 15 hingga 19 hari pergi dan balik bakal merentasi lautan Andaman serta Teluk Bengal.

“Beberapa pilihan laluan sedang dipertimbangkan untuk flotilla ini belayar dari Pelabuhan Klang sehingga Maungdaw namun berdasarkan kepada keadaan pelabuhan yang ada di Rakhine Myanmar, kami sedang berunding dengan pihak berkuasa Malaysia, Myanmar dan Bangladesh untuk mendapat laluan yang selamat dan mudah untuk menyampaikan bantuan tersebut.

“Kami merancang untuk memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan secara langsung dari delegasi Flotilla kepada mangsa di mana mereka berada. Hasrat kami adalah untuk melihat secara terus, barang bantuan sampai ke tangan mangsa.

“Urusetia Flotilla sudah menghantar surat kepada Setiausha PBB, OIC  dan Asean serta beberapa ketua negara seperti Turki, Indonesia, Saudi supaya turut menyokong dan membantu untuk menjayakan flotilla tersebut.

“Penganjur utama flotilla iaitu Mapim, KP1M Dan TDV Turki bersepakat bahawa kami tidak akan melanggar undang-undang negara Myanmar dan undang-undang antarabangsa. Kami hanya mahu diberi akses untuk menyampaikan sendiri bantuan tersebut.

“Pihak berkuasa Myanmar perlu menghormati usaha NGO dari pelbagai negara supaya penyelesaian yang muktamad dicapai bagi warga Rohingya yang telah menderita sekian lama,” kata beliau dalam kenyataannya kepada media.

Beliau menegaskan bahawa sebagaimana tercatat dalam Deklarasi Hak Manusia Asean bahawa setiap nyawa awam hendaklah dilindungi, maka Flotilla meminta agar objektif utama misi itu adalah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan diberi laluan dan kerjasama sepenuhnya oleh pihak berkuasa Myanmar.

Oleh demikian, beliau berkata mereka masih menghormati kedaulatan negara Myanmar tetapi dalam masa sama juga meminta negara tersebut juga mematuhi hak orang awam yang menjadi mangsa dalam konflik tersebut terus dilindungi.

Justeru antaranya seperti memberi akses kepada agensi dan mana-mana NGO kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa tidak kira agama ataupun bangsa.

“Kami menegaskan bahawa konsep misi ini adalah demi kemanusiaan untuk siapa sahaja yang memerlukan bantuan. Misi ke Myanmar adalah juga membawa mesej untuk membantu, bukan untuk berkonfrantasi.

“Kami mahukan rantau yang aman dan harmoni antara agama, bangsa dan budaya. Flotilla ini adalah simbolik kepada inisiatif rakyat kepada rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

four + one =