Rukun Islam

SIRI PERKONGSIAN HADIS

HADIS KETIGA (3)

Rukun Islam

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله وسلم يَقُوْلُ : بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

[رواه الترمذي ومسلم]

[A] MAKSUD HADIS

Dari Abu Abdurrahman, Abdullah Ibnu Umar Ibnu Khattab RA ia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersada, “Islam dibangunkan di atas lima perkara termasuklah bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa pada bulan Ramadhan.

[Riwayat Tirmizi & Muslim]

[B] KEDUDUKAN HADIS

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitabnya Sahih Bukhari pada hadis yang kelapan. Imam Muslim juga meriwayatkan hadis ini di dalam kitab Sahih Muslim pada hadis yang ke 16, manakala Imam Tirmizi dalam kitabnya pada hadis yang ke 2 612.

Hadis ini menerangkan perihal rukun Islam dan merupakan hadis yang sangat penting. Hadis ini merupakan salah satu kaedah Islam dan keutamaan hukum kerana di dalamnya terkandung pemahaman terhadap agama, hal-hal yang bersandar kepadanya, dan kumpulan rukun-rukunnya. Rukun-rukun berkenaan juga turut dinyatakan di dalam Al-Quran.

[C] FIQHUL HADIS

1. Rasulullah SAW menggambarkan agama Islam sebagai binaan kukuh yang boleh mengeluarkan manusia dari lingkaran kekufuran kepada keimanan sehingga memperolehi syurga serta dijauhkan api neraka.

Rasulullah SAW menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa Muslim itu sendiri adalah golongan yang benar-benar melaksanakan perkara membenarkan ketauhidan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan ibadah haji bagi yang berkemampuan dan berpuasa di bulan Ramadhan.

2. Bagi yang melaksanakan rukun-rukun Islam ini secara lengkap, bererti ia adalah seorang Muslim yang sempurna keimanannya. Dan siapa yang meninggalkan semuanya, maka ia menjadi orang yang kufur.

Siapa yang mengingkari salah satu rukun tersebut, maka ia jelas bukanlah orang Muslim yang taat dan setia kepada ajaran Islam. Orang yang meyakini semua rukun tersebut, tetapi meninggalkan salah satunya (selain dua kalimah syahadah), kerana malas maka ia adalah golongan yang fasiq. Dan siapa yang mengakui rukun-rukun tersebut dengan lisannya tetapi tidak mengamalkanya bererti dia adalah golongan munafiq.

3. Tujuan ibadah bukan bentuk dan rupanya, tetapi tujuan dan maknanya diiringi perlaksanaanya. Oleh kerana itu, tidak ada manfaatnya solat yang tidak mampu mencegah pelakunya dari perbuatan keji dan mungkar. Begitu juga tidak bermanfaat puasa yang tidak mampu menjadikan pelakunya meninggalkan perkataan dusta dan tidak bermanfaat haji dan zakat yang dilakukan jika tujuannya ingin dilihat serta dipuji orang lain.

Ungkapan ini tidaklah bermaksud agar meninggalkan semua ibadah jika ibadah tersebut tidak membuahkan hasil, tetapi maksudnya adalah sebagai perintah untuk ikhlas dan diniatkan hanya untuk Allah.

[D] INTISARI HADIS

Hadis di atas menjelaskan bahawa Islam terdiri dari akidah dan amal. Oleh kerana itu, amal tanpa iman tidak ada manfaatnya. Begitu juga tiada ertinya iman tanpa diseiringkan dengan amal.

Disediakan oleh, Mohamad Zulkifli.

SUMBER RUJUKAN

Kitab Al-Wafi, Syarah Hadis Arba’in Iman An-Nawawi, karangan Dr Mustafa Dieb Al-Bugho dan Dr Muhyiddin Mistu.

04 Januari 2017 M
05 Rabi’ul Awwal 1438 H

*tulisan ini sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− one = one