Yildirim: Gencatan Senjata Asas Keamanan Syria

Yildirim: Gencatan Senjata Asas Keamanan Syria

Oleh: Aisyah Yamin

Perdana Menteri Turki, Binali Yıldırım, menyifatkan gencatan senjata yang dicapai antara rejim Syria dan kumpulan pembangkang sebagai asas untuk rundingan keamanan berkekalan di negara tersebut.

Langkah seterusnya adalah rundingan politik. Pihak-pihak berkenaan perlu duduk semeja dan mencapai kata sepakat berkenaan perpaduan dan kebersamaan Syria.

Gencatan senjata adalah asas kepada rundingan itu.

Yıldırım berkata demikian kepada agensi Hurriyet 30 Disember lalu ketika mengulas mengenai masa depan Syria sambil menambah Turki telah membuat sumbangan besar untuk ke arah matlamat itu.

Ankara dan Moscow sebelum itu mengusahakan gencatan senjata berkuatkuasa 30 Disember lalu di Syria setelah usaha diplomatik yang panjang menyaksikan kedua-dua negara tersebut selaku negara penjamin perjanjian damai antara dua kumpulan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk bertemu di Astana bagi membincangkan pelan peralihan politik di negara itu.

“Tujuan kami adalah untuk mengelakkan pertumpahan darah dan pembunuhan rakyat yang tidak bersalah hatta satu nyawa. Ini penting di peringkat permulaan ini.

“Iran juga dalam gelung ini dan kita mahu semua aktor (dalam isu ini); Amerika Syarikat, tentera bersekutu dan semua negara-negara serantau serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya lebih aktif.” katanya.

Dalam wawancara sama, Yildirim turut memuji peranan yang dimainkan oleh Presiden Recep Tayyip Erdoğan dalam menganjurkan perjanjian gencatan senjata.

Dalam perkembangan lain, Yildirim turut menyentuh mengenai peranan Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dan sayap bersenjatanya, Unit Perlindungan Rakyat (YPG) yang dilihat sebagai cabang Parti Buruh Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

“Daesh (ISIL) dan al-Nusra dikecualikan daripada perjanjian ini.

Perjuangan Turki menentang PYD juga akan diteruskan.

“YPG, PYD dan PKK semua saling berkaitan; YPG menyebabkan masalah di Syria dan memberikan sokongan kepada PKK di Turki. PYD-YPG adalah sebuah pertubuhan pengganas pada pandangan kami; kami tahu rakan-rakan kita di Amerika Syarikat memahami perkara ini.

“Kami berharap pentadbiran baru AS meneliti isu ini dengan Turki seterusnya membuat dasar (mengenai isu ini) dalam rangka sensitiviti kami,” katanya.

Pandangan beliau itu sejajar dengan peralihan presiden baru AS, Donald Trump, yang bakal mengambil alih jawatan presiden terdahulu, Barack Obama, pada 20 Januari akan datang.

Pautan asal: http://www.hurriyetdailynews.com/pm-yildirim-truce-a-base-for-lasting-peace-in-syria.aspx?pageID=517&nID=107966&NewsCatID=352

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

41 + = forty eight