Turki: Kanak-Kanak Maut Dalam Kebakaran

Oleh: Asmaa Yusof

Sekurang-kurangnya 12 orang kanak-kanak sekolah terbunuh dalam insiden kebakaran melibatkan asrama perempuan di wilayah selatan Turki, Adana semalam, lapor Al Jazeera bertarikh 30 November.

Menurut Gabenor, Mahmut Demirtas, kejadian Selasa lalu itu kemungkinan berpunca dari kerosakan elektrik yang merebak dengan cepat kerana struktur bahagian dalam bangunan yang dibina dengan kayu.

Tambah beliau, mangsa panik dan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari tingkap namun kebanyakan mangsa terperangkap dan terbunuh apabila gagal membuka pintu rintangan api yang berkunci.

Memetik sumber sama, Demirtas dalam siaran Televisyen NTV Turki memaklumkan mangsa kejadian turut melibatkan tutor dan orang awam.

“Kami kehilangan 12 nyawa dalam tragedi kebakaran ini. Sebelas daripadanya merupakan kanak-kanak sekolah dan seorang tutor. Manakala, 22 orang awam cedera.

“Menurut laporan awal, kami beranggapan bahawa kebakaran berlaku disebabkan kerosakan elektrik,” katanya.

Agensi berita Turki, Dogan, mengesahkan kesemua 11 pelajar sekolah yang terbunuh ialah kanak-kanak perempuan berumur sekitar 14 tahun ke bawah namun identiti mereka masih belum dikenalpasti.

Demirtas memaklumkan kebakaran berlaku kira-kira jam 7.25 petang waktu tempatan dan ia berjaya dikawal tiga jam kemudian.

Beliau enggan mengulas mengenai dakwaan tangga rintangan api telah dikunci mengakibatkan pelajar gagal melarikan diri dan maut di tempat kejadian.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Datuk Bandar, Huseyin Sozlu di mana beliau menyatakan pejabat gabenor akan memulakan siasatan sehari selepas kejadian.

Sedih dengan kejadian tersebut, beliau berkata keluarga mangsa berdiri di luar bangunan dengan tangisan air mata kerana tidak dapat melihat anak-anak mereka.

Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu dan Menteri Pelajaran, Ismet Yilmaz telah turut meninjau kawasan kebakaran.

Demirtas turut memberitahu agensi berita Anadolu bahawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, juga melahirkan kesedihan atas malapetaka menyayat hati itu.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

six + 4 =