Kehebatan Aplikasi Temu Jodoh Bersyariat Terbukti

Oleh: Rabiatul Adawiyah Zabar

Anak muda beragama Islam tidak terlepas dari perkembangan teknologi masa kini; termasuk jaringan media sosial yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat moden hari ini.

Memetik sumber Al Jazeera bertarikh 27 November, tinjauan mendapati satu trend terbaru yang menarik ribuan pengguna adalah khidmat aplikasi Muzmatch; salah satu aplikasi mencari jodoh yang kian meningkat naik.

Rata-rata pengguna menganggap kaedah tradisi mencari jodoh melalui keluarga kurang sesuai pada masa kini.

Arzo Kazmi (bukan nama sebenar) menceritakan bagaimana dia mengambil masa lama mencari pasangan.

“Rasa seperti (memakan masa) selama-lamanya,” ujar wanita berumur 33 tahun yang berkhidmat sebagai pegawai kewangan dari Birmingham itu.

Namun, sepanjang empat minggu lalu, Kazmi telah cuba menggunakan Muzmatch, satu aplikasi untuk pengguna Muslim mencari pasangan ideal.

Tidak seperti aplikasi popular yang lain seperti Tinder dan Hinge, Muzmatch memberi galakan kepada pengguna untuk mencari pasangan yang betul selain beragama Islam.

“Pada pendapat saya, untuk mencari seorang lelaki Muslim, saya mesti melakukan sesuatu yang berbeza; inilah yang saya lakukan sekarang,” tambah Kazmi.

Di selatan England, seorang guru berusia 25 tahun, Nilima Thakur (bukan nama sebenar), turut menggunakan aplikasi pencari jodoh seperti Kazmi selepas berusaha sendiri mencari pasangan selama setahun; bahkan sebelum itu keluarga turut membantunya melakukan usaha yang sama.

“Saya telah berusaha (mencari jodoh) melalui keluarga; dan ia (membuahkan) sesuatu yang buruk,” ujar Thakur.

“Hanya saya mengetahui apa yang saya inginkan,” tambahnya lagi.

Kebanyakan generasi muda di United Kingdom dibesarkan dalam persekitaran rumahtangga yang teguh berpegang kepada tradisi; namun hidup dalam masyarakat yang tidak berkongsi kebudayaan sama.

Sana Ikram, 24, telah mencari pasangan selama dua tahun dan selepas menggunakan aplikasi Muzmatch, akhirnya pada Januari lalu dia menemui pasangannya, Hakim, seorang pengurus perniagaan.

Menurut Ikram, dia mencari pasangan yang mempunyai persamaan dengannya dari sudut kepercayaan agama serta ‘gabungan kompleks antara kebudayaan British dan Pakistan’ yang dimilikinya; selain mengimpikan seseorang yang dia selesa hidup bersama.

Ikram menemui Hakim secara berhadapan selepas sebulan berhubung melalui aplikasi Whatsapp; kemudian Hakim menemui keluarga Ikram beberapa kali dan akhirnya berkahwin 4 bulan sejak pertemuan pertemuan mereka.

Penulis buku ‘Generation M: Young Muslims Changing the World’ dan ‘Love in a Headscarf’, Shelina Janmohamed, dipetik berkata gabungan nilai-nilai tempatan dan moden dengan prinsip-prinsip Islam merupakan satu peralihan oleh anak muda beragama Islam di negara-negara seperti UK, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Katanya, akses internet membolehkan generasi muda menemui individu yang berkongsi pemikiran dan identiti sama walaupun berada jauh antara satu sama lain; menyebabkan pilihan lebih meluas berbanding metod mencari jodoh yang tradisional.

“Walau apapun, mereka lebih tegas dengan keimanan mereka, namun melalui sudut yang boleh menghubungkan mereka dengan dunia sekitar mereka,” ujar Janmohamed.

Aplikasi Muzmatch mensasarkan umat Islam yang ingin mencari jodoh serta dikata mempunyai lebih 120,000 pengguna di 123 buah negara setelah dua tahun setengah beroperasi.

Pengguna paling ramai terdiri daripada umat Islam di UK, diikuti AS, Kanada, Pakistan dan Australia.

Muzmatch juga mempunyai pengguna dari negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia, Maghribi dan Arab Saudi.

“Saya rasa generasi baru lebih terbuka untuk berkata ‘anda muslim dan saya muslim, jadi apa masalahnya?’; kita hanya menjadi kehidupan lebih sukar jika meletakkan sempadan etnik,” kata pengasas dan ketua eksekutif Muzmatch, Shahzad Younas.

Ketika memberitahu Al Jazeera, Younas, 32, berkata aplikasi tersebut berkesan dengan beberapa ratus pasangan mendirikan rumahtangga selepas bertemu di rangkaian yang menawarkan perkhidmatan percuma itu.

Pengguna boleh menyemak ‘pegangan agama’ masing-masing dengan melihat bahagian mazhab dan kekerapan menunaikan solat wajib. Malah, seorang wali atau penjaga boleh didaftarkan sebagai moderator bagi mengawasi perbualan di aplikasi tersebut.

Mengikut statistik yang dipetik dari sumber sama, 1:5 perhubungan bermula di atas talian; membayangkan potensi ekonomi industri tersebut.

Seorang imam yang lahir di Bangladesh dan dibesarkan di UK, Ajmal Masroor, 45, berkata generasi muda ini mempunyai pendapatan, pendidikan dan berpandangan luas terhadap dunia Islam.

Katanya, aspirasi mereka lebih besar dan luas, serta mempunyai pendekatan lebih inklusif.

Beliau turut menyifatkan generasi muda beragama Islam ini sebagai ‘lebih British; malah mungkin lebih antarabangsa’ berbanding ibu bapa mereka yang membesar di kampung-kampung dan pekan-pekan di benua Asia Selatan.

“Sememangnya, dari sudut budaya, (generasi muda ini) berbeza, aspirasi kita berbeza, sudut pandang kita juga berbeza (dari ibu bapa kita); oleh itu, pendekatan kita terhadap kehidupan juga berbeza, termasuk mencari pasangan hidup yang sesuai; pasti turut berbeza.”

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 2 = three