Masjid Pertama Athens Dambaan Muslim Greece

Terjemahan & Olahan: Siti Solehah Razali

Masyarakat Islam di Greece berharap kerajaan akan meneruskan perancangan membina sebuah masjid biarpun berhadapan protes golongan berhaluan kanan di negara itu.

Athens merupakan satu-satunya ibu negara di Eropah yang belum mempunyai masjid.

Greece berada di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyah selama hampir empat abad sehingga awal kurun ke-19. Jika terbinanya sebuah masjid, ia akan menjadi masjid pertama yang dibiayai oleh negara itu semenjak kurun tersebut.

Masjid tersebut dianggarkan mampu menampung 350 orang jemaah dan akan didirikan di atas sebuah tapak bekas gudang tentera laut berukuran 600 meter persegi di kawasan Votanikos di barat Athens.

Di kompleks tersebut juga akan dibina air pancut untuk para jemaah mengambil wuduk.

Presiden Persatuan Muslim Greece, Naim Elghandour, 62, berkata pembinaan masjid tersebut sangat penting kerana ia akan menjadi masjid rasmi pertama yang mempunyai imam rasmi dilantik.

“Sehingga kini, imam-imam (di masjid-masjid tidak rasmi) terdiri daripada sukarelawan dan situasi tersebut adalah berbahaya, tetapi kami bernasib baik kerana tiada insiden buruk berlaku di Greece yang boleh mengeruhkan hubungan antara Kristian dan Muslim,” katanya.

Menurut persatuan tersebut terdapat lebih 100 buah masjid tidak rasmi di seluruh Athens; kebanyakannya menggunakan gudang dan ruang bawah tanah untuk dijadikan rumah ibadat kira-kira 200,000 orang Muslim di Athens.

Ramai penduduk bukan Islam di Athens turut bersetuju dengan cadangan pembinaan masjid tersebut.

Aggeliki Anagnostopoulou, 62, seorang pesara yang tinggal berhampiran dengan tapak pembinaan masjid tersebut menyifatkan negaranya adalah negara demokrasi dan perlu ada kebebasan untuk beragama.

“Kenapa saya perlu risau? Beragama Islam tidak bermakna anda adalah seorang ekstremis,” katanya.

Pada tahun 2006, satu undang-undang diluluskan bagi membenarkan pembinaan sebuah bangunan masjid untuk masyarakat Islam tetapi mereka yang tidak bersetuju bertindak mencabat keputusan tersebut.

Selepas hampir sedekad rundingan diadakan, pihak kerajaan akhirnya menawarkan kontrak kepada syarikat pembinaan bernilai 1.05 juta Euro awal tahun ini untuk memulakan pembinaan bangunan tersebut yang dijangka siap enam bulan kemudian.

Namun begitu, kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan kerana golongan berhaluan kanan menduduki gudang tersebut selama lima bulan dengan alasan menjadikannya tempat perlindungan bagi gelandangan warga Greece demi menghentikan pembinaan masjid tersebut. Ia akhirnya berakhir apabila polis menahan kumpulan tersebut pada awal November.

Perkara tersebut bukanlah isu baru bagi masyarakat Islam di Athens kerana golongan berhaluan kanan telah menyerang banyak masjid tidak rasmi di Athens sejak lima tahun kebelakangan ini.

Salah satu insiden menyaksikan suspek mengunci para jemaah di dalam dewan solat dan kemudian membakar dewan tersebut.

Sementara itu, sebuah parti berhaluan kanan, Golden Dawn membuat bantahan di hadapan tapak pembinaan masjid tersebut yang terletak kira-kira 3 kilometer dari sebuah tapak warisan dunia; Acropolis.

Pemimpin parti tersebut, Nikos Michaloliakos, menyifatkan pembinaan masjid tersebut sebagai salah satu perancangan untuk menggugat bangsa Greek.

Dia berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokongnya yang memegang sepanduk bertulis ‘Stop Islam’ (Hentikan Islam).

“Mereka tidak akan mengaku kerana mereka komunis – mereka mahukan (negara) sekular… Tetapi respon kami nasionalis Greece kepada mereka: Negara ini terbina daripada darah pejuang (revolusi) 1821 dan atas dasar Holy Trinity. Ini adalah negara Greek Orthodoks,” katanya dalam ucapan tersebut.

Mereka yang menentang pembinaan masjid tersebut juga mendapat sokongan pihak Gereja Greek Orthodoks.

Ketuanya, Arcbishop Ierongmos berpendapat ia perlu ditangguhkan sehingga dipastikan sama ada pelarian Muslim berhak untuk tinggal di Greece ataupun tidak.

Dia mengulas demikian ketika diwawancara oleh Greek Skai TV, tanpa menyebut warganegara Greece yang beragama Islam dan lain-lain yang tinggal di negara itu.

Dia juga melihat kedatangan Muslim ke Eropah sebagai suatu perancangan yang sangat tersusun untuk ‘mengislamkan’ benua itu.

Namun, bagi Muslim Greek pula, masjid adalah untuk semua tanpa mengira sama ada mereka warganegara Greece ataupun bukan. Kecewa dengan tindakan Ketua Gereja Orthodoks tersebut, Naim mengulas, Arcbishop telah memilih untuk menyebelahi golongan berhaluan kanan meskipun beliau dianggap sebagai ‘agamawan’.

Walau bagaimanapun, Naim dan isterinya, Stamou, tetap cuba membesarkan anak-anak tanpa membuat mereka berasa bahawa mereka adalah kumpulan minoriti di tanah air sendiri. Namun, perasaan itu tetap wujud apabila anak-anak mereka pulang ke rumah dan bertanya mengapa mereka tidak mempunyai tempat yang cantik untuk beribadah seperti gereja yang terdapat di kawasan kejiranan mereka.

“Kami (orang dewasa) sudah terbiasa bersolat di ruang bawah tanah atau gudang setiap hari, tetapi generasi kedua dan ketiga seperti tidak gembira dengan keadaan tersebut.”

Ujarnya, mereka kerap bertanya bilakah masjid tersebut akan dapat digunakan dengan harapan dapat menyambut Ramadan kali ini di masjid itu.

Masyarakat Islam di Greece mengharapkan hak mereka dalam kebebasan beragama diraikan.

“Malah, mungkin kita boleh berbuka puasa di sana (masjid itu) nanti,” tambah anak-anak pasangan itu lagi.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/indepth/features/2016/11/muslims-athens-prepare-city-mosque-161121094800354.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

9 + one =