Aleppo Berhadapan Krisis Kebuluran Dan Musim Sejuk

Oleh: Asmaa Yusof

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima lampu hijau dari pihak penentang yang menguasai beberapa bahagian Aleppo untuk menjalankan operasi penghantaran bantuan dan ubat-ubatan ke timur wilayah itu.

Demikian menurut Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Al-Jazeera pada 25 November lalu serta memberitahu mereka kini sedang menunggu kebenaran dari Rusia dan Kerajaan Syria sebelum memulakan operasi.

Khamis lalu, Ketua Pasukan Petugas Siri Kemanusiaan PBB, Jan Egeland berkata, kata sepakat antara Syria dan Rusia terhadap rancangan tersebut telah dicapai awal November lalu.

Menurut beliau, pasukannya telah mendapat kelulusan bertulis daripada pemberontak Syria serta ‘sokongan lisan’ dari Rusia.

Selain itu jelasnya, fokus utama penghantaran bantuan adalah melibatkan bekalan perubatan dan makanan serta pemindahan orang awam yang tercedera atau kurang upaya.

Tambah beliau, kakitangan perubatan juga akan dihantar untuk berkhidmat di dalam dan luar kawasan kepungan.

Menurut Egeland lagi, beliau sangat berharap kerjasama penuh dari kedua pihak bagi membenarkan saluran bantuan masuk sambil menjelaskan ‘tiada plan B yang dirangka’ melainkan hanya mampu melihat penduduk Aleppo kelaparan.

Memetik sumber yang sama, dia memaklumkan hingga kini, lebih daripada 250,000 orang awam masih terperangkap dan berhadapan krisis kebuluran secara besar-besaran jika dibiarkan berterusan memandangkan musim sejuk bakal melanda negara tersebut.

Sumber tempatan memberitahu Al-Jazeera, puluhan orang awam cuba melarikan diri dari kawasan kepungan timur Aleppo namun terpaksa berundur setelah dihalang dengan tembakan minggu lalu.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− four = 4