Umat Islam Xinjiang Diarah Serah Pasport

Oleh: Siti Aisyah Md Sanib

Semua penduduk Xinjiang yang dihuni majoriti penganut agama Islam telah diarah menyerahkan pasport mereka ke balai polis untuk ‘pemeriksaan dan pengurusan’, demikian menurut akhbar Global Times yang dipetik dari sumber Al-Jazeera.

Walaupun arahan tersebut umum kepada semua penduduk Xinjiang; namun banyak aduan dari etnik minoriti muslim Uighur di wilayah itu melaporkan tindakan diskriminasi antaranya menolak permohonan pasport dan mengawal aktiviti kebudayaan serta keagamaan mereka.

Pertengahan Oktober lalu, biro keselamatan awam Bandar Shihezi memuatnaik arahan di satu akaun laman sosial meminta penduduk menyerahkan pasport mereka kepada pihak polis.

Memetik sumber sama bertarikh 26 November, notis itu turut menyatakan keengganan berbuat demikian mungkin mengakibatkan penduduk tidak dapat ke luar negara.

Walau bagaimanapun, muatnaik tersebut kemudiannya dipadam.

Selain Bandar Shihezi, beberapa gambar muatnaik notis menunjukkan beberapa balai polis di beberapa daerah dan Bandar Urumqi turut memberi arahan menyerahkan pasport; manakala notis lain menyebut permohonan baharu tidak akan diproses lagi.

“Saya tidak membuang masa dan wang mendapatkan pasport semata-mata untuk menjadi fokus keselamatan kerajaan atau diberi arahan setiap kali saya mahu bercuti,” ujar seorang penduduk Taching di laman sosial Sina Weibo.

Dalam satu perkembangan berkaitan, media tempatan melaporkan sebuah daerah di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduk terdiri warga Kazakh diarah menyerahkan kepada pihak polis sampel DNA, cap jari, rakaman suara dan ‘gambar tiga dimensi’ untuk memohon sebarang dokumen perjalanan; termasuklah pasport.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) berkata arahan adalah tidak berasas dan suatu bentuk diskriminasi.

“Merampas pasport milik seluruh (penduduk) sesebuah wilayah menyalahi kedua-dua undang-undang China dan antarabangsa,” ujar pengarah HRW bagi negara China, Sophie Richardson.

Beijing kerap kali menuduh ‘kumpulan pemisah dalam buangan’ menjadi dalang beberapa serangan di Xinjiang.

Walau bagaimanapun, penganalisis persendirian meragui kekuatan kumpulan etnik Uighur yang tinggal di luar China serta kaitan mereka dengan siri serangan tersebut.

Malahan, sebahagian berpendapat China sengaja membesar-besarkan ‘ancaman’ tersebut untuk menjadikannya alasan mengetatkan kawalan di wilayah yang kaya dengan hasil bumi itu.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− four = 1