Petikan Kuliah Jumaat Ayah Chik: Syiah Dan Imam Mahdi

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
SYIAH DAN IMAM MAHDI

Kepercayaan tentang kebangkitan Imam Mahdi di akhir zaman boleh dikategorikan kepada tiga kumpulan:

1. Kumpulan pertama adalah golongan yang menolak terus individu bergelar al-Mahdi. Bagi mereka, kebangkitan al-Mahdi yang disebut oleh Hadis hanyalah kiasan, sebagai simbolik kepada tertegaknya keadilan di atas muka bumi. Pandangan ini dipegang oleh mereka yang hanya berfikir melalui akal semata-mata tanpa mempedulikan nas-nas yang sahih lagi mutawattir.

2. Kumpulan kedua pula adalah mereka yang percaya akan zahir manusia yang bergelar al-Mahdi, tetapi menokok tambah hakikat kebangkitannya dengan cerita-cerita karut dan hadis-hadis daif lagi maudhu’. Kepercayaan ini menurut sebahagian kumpulan tasawwuf bathiniah dan juga syiah.

Sebahagian syiah di Iraq, Iran dan selatan Lubnan percaya seorang yang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari adalah imam Mahdi. Beliau adalah keturunan Nabi SAW dan mengikut kepercayaan sebahagian syiah imamiah yang pengikut berjuta-juta seluruh dunia, beliau adalah imam ke-12 yang dipenjara sehingga mati di zaman Abbasiyyah.

Pada zaman Umawiyyah dan juga Abbasiyyah, Ahlul Bait diburu, diperangi, dipenjara dan dibunuh kerana pengaruh mereka yang kuat dikalangan umat Islam mampu menggugat kerajaan pada masa itu. Imam-imam mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, as-Syafie dan Ahmad juga pernah ditangkap dan diseksa kerana menyokong Ahlul Bait. Mereka tidak syiah, tetapi atas dasar kebenaran. Imam-imam mazhab ini menyatakan apa yang berlaku adalah kezaliman terhadap Ahlul bait.

Imam Abu Hanifah ditangkap dan dipaksa berbaiah. Apabila beliau enggan, dituduh bersekongkol dengan Imam Jaafar as-Sadiq, salah seorang ulama dan imam 12 mengikut kepercayaan syiah. Abu Hanifah diseksa di dalam penjara sehingga mati.

Jaafar as-Sadiq adalah guru Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. Beliau seorang mujtahid mutlak. Malangnya ramai golongan mutakhir yang tidak mengenali Jaafar as-Sadiq mencerca beliau atas isu Sunni-Syiah.

Imam Malik juga dipaksa berbaiah kepada Abu Jaafar al-Mansur. Beliau dengan berani menyatakan baiah paksa tidak sah, sebagaimana cerai paksa. Akibatnya beliau dipukul sehingga berlumuran darah pada pakaiannya. Oleh kerana kerajaan takutkan pengaruh Imam Malik yang besar di Mekah/Madinah, beliau akhirnya dibebaskan.

Imam Syafie turut ditahan, dibawa ke hadapan khalifah Harun ar-Rasyiddah dipaksa berbaiah. Beliau juga tidak memberi baiah sebaliknya memberi jawapan mengelak. Katanya, Abbas bapa saudara Nabi, Bani Hasyim keturunan Nabi. Semua anak beranak. Akhirnya beliau dilepaskan.

Dalam satu syairnya, imam Syafie berkata

“إن كان الرفض حب أهل البيت فأنا رافضي”

Sekiranya yang dikatakan Rafidhah itu adalah mereka yang kasih kepada ahlul bait, maka aku juga adalah seorang Rafidhi!

Imam-imam mazhab mengakui bahawa Saidina Ali benar dalam peperangan dan Muawiyah yang salah. Selain dari memahami situasi yang berlaku pada waktu itu, mereka juga bersandar kepada Hadis Nabi SAW:

قتل عمار فئة باغية

“Ammar (bin Yaasir) akan dibunuh oleh kumpulan yang bughah (memberontak).”

Pada peperangan Siffin, Ammar berada di pihak Saidina Ali dan syahid dibunuh oleh tentera Muawiyah. Ini menunjukkan tindakan Muawiyah adalah bughah, pemberontakan terhadap khalifah yang sah.

Tidak dinafikan, Muawiyah juga sahabat Nabi. Tetapi yang jelas salah tetap perlu dinyatakan salah. Ada juga yang suruh serah kepada Allah SWT sahaja urusan ini. Jangan peduli siapa betul siapa salah. Mana boleh serah begitu sahaja dalam perkara yang sudah jelas disebutkan dalam nas. Cuma, kita tidak mengkafirkan sahabat sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian syiah yang ekstrim.

Malangnya ada juga pihak yang terlalu termakan denga sentimen sunni-syiah, sehingga membela Muawiyah dalam hal ini. Ada ulama-ulama yang tulis kitab membela Muawiyah. Ini semua adalah tindakan yang salah.

Muhammad bin Askari dipercayai ghaib, disembunyikan di Sardab dan akan muncul pada akhir zaman. Pandangan ini hanya bersandar kepada sangkaan-sangkaan semata-mata tanpa merujuk kepada nas-nas yang sahih.

Bahkan menurut Ibn Khaldun, terdapat satu mazhab Syiah yang bernama Nakhawilah tinggal di Madinah, mempercayai bahawa Imam Mahdi adalah seorang yang bernama Muhammad bin Hanafiah, anak saidina Ali yang ghaib dalam peristiwa Karbala’. Beliau akan muncul kelak setelah selama ini bersembunyi di satu bukit berhampiran Madinah bernama Radhwa.

Semua ini mengarut dan sesat, tetapi tidaklah jatuh kafir dengan pandangan sebegini.

3. Kumpulan ketiga berkenaan Imam Mahdi adalah pandangan ahli Sunnah wal Jamaa. Mempercayai kemunculan Imam Mahdi secara hakikat pada akhir zaman, berpandukan kepada nas-nas yang sahih lagi mutawatir. Pandangan ini dipimpin oleh imam-imam Mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, As-Syafie, Ahmad, dan termasuk Ibnu Kathir, As-Suyuthi serta Ibn Taimiah.

Masjid Rusila
25 Safar 1438
25 November 2016

Alang Ibn Shukrimun

 

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty four − fourteen =