Pelarian Afghanistan Diuji Musim Sejuk Dan Kesempitan

Oleh: Rabiatul Adawiyah Zabar

Musim sejuk dengan suhu melampau serta ketegangan yang semakin meruncing di Afghanistan telah menyebabkan ramai rakyat negara itu terbunuh serta kehilangan tempat tinggal; manakala yang lain terpaksa melarikan diri.

Walau bagaimanapun, sejak ketegangan politik antara Pakistan dan Afghanistan tercetus, sekitar 2 juta pelarian warga Afghanistan -sama ada berdaftar atau tidak- terpaksa membuat pilihan antara kembali ke negara mereka secara sukarela ataupun dihantar keluar oleh kerajaan Pakistan.

Menurut sumber Al-Jazeera bertarikh 24 November, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menyatakan kebimbangan terhadap para pelarian yang kembali ke negara asal yang merupakan wilayah paling terancam dengan periuk api aktif kesan tinggalan era pencerobohan Soviet dahulu.

Sehubungan itu, UNHCR menawarkan latihan mengesan dan menyahaktif periuk api itu kepada pelarian-pelarian yang kembali ke Afghanistan.

“Saya takut untuk pulang kerana di sini tiada kawalan keselamatan,” ujar Medina Ghassen, 16, seorang pelarian yang lahir di Pakistan.

Dia berkata demikian ketika menunggu ibunya yang sedang menerima rawatan kesihatan di sebuah pusat milik UNHCR di Kabul.

Keluarga Ghassen telah kembali ke Afghanistan secara sukarela dan kini dikeluarkan dari senarai pelarian.

Mereka yang berasal dari daerah Logar di selatan Kabul turut diberikan wang tunai dan bantuan perubatan oleh PBB.

“(Pihak berkuasa Pakistan) tidak membenarkan kami tinggal di sana; mereka menyebabkan keadaan sangat susah,” tambah Ghassen.

“Saya telah pergi ke sekolah (di Pakistan), dan saya rasa saya tidak akan ke sekolah lagi; ia sangat merbahaya.”

Kerajaan Pakistan berulang kali berkata tindakan menghantar keluar pelarian dari negara adalah atas dasar keselamatan negara serta menuduh sebahagian pelarian sebagai ‘ancaman’.

“Selepas hubungan politik antara Pakistan dan Afghanistan retak, tekanan bertambah ke atas pelarian Afghan di Pakistan, serta jumlah mereka yang kembali (ke Afghanistan) terus meningkat,” ujar Hafiz Ahmad Miakhel, jurucakap pihak berkuasa Afghanistan yang menguruskan para pelarian.

Sebelum ini, beberapa ketegangan meletus di sempadan Afghanistan – Pakistan yang kini ditutup oleh kerajaan Pakistan.

Pakistan juga bercadangan membina pagar bagi tujuan keselamatan namun Afghanistan membantah cadangan tersebut.

Para pelarian berdaftar diberi masa sehingga Mac 2017 untuk meninggalkan Pakistan manakala mereka yang tidak berdaftar diminta pulang sebelum atau pada 15 November lalu; namun perkara itu gagal kerana kebanjiran orang ramai di sempadan; malah, mereka yang berdaftar juga terpaksa membuat temujanji yang memakan masa berminggu-minggu untuk mengelakkan beratur panjang di premis UNHCR di Pakistan.

Selepas kejatuhan Taliban pada tahun 2001, rakyat Afghanistan dari seluruh dunia kembali ke negara asal menyaksikan lebih kurang 6,000 orang pelarian berdaftar diuruskan oleh kerajaan setiap hari.

“Jila mereka kembali dengan segera (beramai-ramai) sebagaimana kini, tekanan terlalu besar ke atas kerajaan untuk memenuhi keperluan mereka,” ujar Miakhel lagi.

Pelarian berdaftar mendapat bantuan daripada UNHCR berbentuk wang dan kemudahan kesihatan, manakala Pertubuhan Migrasi Antarabangsa – International Organization of Migration- (IOM) membantu kira-kira 20 -30% pelarian tidak berdaftar.

Selebihnya cuba dibantu oleh kerajaan Afghanistan dengan memberikan sebanyak 50$ kepada setiap seorang.

“Duit itu tidak banyak; tetapi itu sahaja yang kerajaan mampu (belanjakan),” tambah Miakhel.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

four + 2 =