Menyelusuri Episod Penindasan Muslim Rohingya Tidak Bernoktah

Oleh: Asmaa Yusof

Etnik Rohingya merupakan etnik minoriti yang paling teruk ditindas di dunia sebagaimana dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipetik dari laman web rasmi pertubuhan kemanusiaan; the Amnesty International.

Mereka merupakan kumpulan etnik Islam di negara majoriti penganut Buddha dengan jumlah seramai 1 juta orang penduduk daripada keseluruhan kira-kira 50 juta populasi.

Dari jumlah tersebut, lebih kurang 140,000 orang etnik Rohingya di wilayah Rakhine tinggal di kem-kem ghetto serta dinafikan hak kewarganegaraan di bawah Undang-Undang Kewarganegaraan Myanmar 1982.

Keganasan di wilayah bergolak Rakhine memasuki fasa genting apabila imej satelit terbaru menunjukkan kemusnahan teruk di kawasan tersebut.

Pertubuhan kemanusiaan Human Rights’ Watch (HRW) bertarikh 13 November melaporkan demikian di laman web rasmi NGO itu sambil menyeru kerajaan Burma supaya segera bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan pergolakan tersebut.

Analisis imej satelit beresolusi tinggi yang direkodkan HRW pada tiga tarikh berlainan iaitu 22 Oktober, 3 November dan 10 November menunjukkan 430 bangunan musnah di tiga buah kampung di utara daerah Maungdaw.

Selain itu, HRW juga dipetik berkata pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, media dan delegasi 9 duta asing yang mengadakan lawatan di bebarapa kawasan terjejas pada 2 dan 3 November lalu turut mengesahkan laporan imej satelit tersebut.

Memetik sumber sama, HRW melaporkan keganasan telah meletus dipercayai susulan serangan bersenjata di perbandaran Maungdaw wilayah Utara Rakhine pada 9 Oktober lalu yang meragut nyawa 9 orang anggota polis.

Manakala, serangan kedua di pos kawalan sempadan Maungdaw pada 3 November lalu telah mengakibatkan seorang anggota polis terkorban.

Selepas siri serangan tersebut, HRW telah mengeluarkan satu lagi laporan terbaru pada 17 November dengan menyatakan respon Kaunselor Negeri di Pejabat Burma mengenai rakaman imej satelit kemusnahan di wilayah bergolak tersebut.

Menurut Timbalan Pengarah Pejabat Presiden, Zaw Htay, beliau mengakui sudah ada bangunan yang dibakar di tiga buah kampung namun menafikan jumlah kemusnahan yang dikeluarkan HRW pada 15 November lalu dengan menyatakan angka kerosakan adalah lebih kecil.

Beliau turut memberitahu kerajaan akan membenarkan akses masuk yang disekat sejak 9 Oktober lalu dengan syarat tiada peruntukan tempoh masa untuk berbuat demikian.

“Daripada (kerajaan) memberi maklum balas dengan cara tuduhan dan penafian ala era ketenteraan, sepatutnya kerajaan mengkaji fakta-fakta ini dan mengambil tindakan untuk melindungi rakyat Burma tanpa mengira agama dan etnik,” ujar Brad Adams, pengarah eksekutif HRW Asia, yang menyelar respon dan tuduhan kerajaan Burma mengatakan HRW merupakan sebahagian konspirasi memburukkan imej kerajaan.

Terbaru, laporan HRW di laman web rasminya bertarikh 21 November sekali lagi mengeluarkan analisis rakaman imej satelit; menunjukkan sejumlah 820 struktur bangunan yang baru dikenalpasti musnah di lima buah kampung etnik Rohingya sekitar 10 hingga 18 November.

Imej terbaru tersebut sekaligus menjadikan jumlah yang direkodkan HRW meningkat kepada 1,250 kemusnahan.

“Selepas 6 minggu keganasan dengan hampir tiada bantuan sampai kepada ribuan mangsa yang sangat memerlukan, kerajaan mesti bertindak tegas membantu mereka,” ujar Adams.

Selain itu, Adams turut menzahirkan kekesalan atas insiden yang berlaku serta memberi amaran kepada pihak berkuasa Burma supaya mengambil langkah segera melibatkan PBB bagi menjamin keadilan terhadap mangsa keganasan.

“Sebuah kerajaan yang tidak punya apa-apa untuk disembunyi sepatutnya tidak punya masalah untuk memberikan akses kepada para wartawan dan pemerhati hak asasi manusia.”

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− five = 4