Kebakaran di Haifa : Puluhan Ribu Rakyat Israel Tinggalkan Kediaman

Kebakaran di Haifa : Puluhan Ribu Rakyat Israel Tinggalkan Kediaman

Terjemahan & Olahan: Siti Solehah Razali

Puluhan ribu rakyat Israel meninggalkan bandar yang ditimpa bencana kebakaran di utara bandar Haifa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri negara itu telah memberi amaran bahawa sebarang bukti yang menunjukkan perbuatan khianat akan dianggap sebagai suatu bentuk keganasan.

Cuaca yang kering selepas kemarau selama dua bulan, ditambah dengan angin kencang menyebabkan api semakin marak dan merebak ke bahagian-bahagian lain di negara tersebut.

Benjamin Netanyahu berkata sesiapa yang didapati memulakan kebakaran tersebut dengan sengaja akan dihukum.

“Ia adalah suatu bentuk jenayah dan keganasan. Orang ramai boleh terjejas dan ia telahpun berlaku,” katanya.

Asap yang berpunca daripada kebakaran itu telahpun memenuhi bandar Haifa dan memaksa pihak berkuasa untuk mengarahkan 80,000 orang penduduk meninggalkan bandar itu.

Pihak bomba telah berusaha memadamkan api, namun kediaman penduduk di kawasan yang paling terjejas tidak dapat diselamatkan.

Selain itu, lebuhraya utama yang menghubungkan Haifa dan Tel Aviv ditutup buat sementara waktu pada Khamis lepas semasa operasi memadamkan kebakaran. Banyak kediaman dan harta benda musnah di kawasan yang terjejas termasuklah di Tebing Barat dan kawasan berhampiran Jerusalem.

Pihak berkuasa Israel menahan empat orang yang disyaki tetapi kemudian dibebaskan kerana kekurangan bukti. Micky Rosenfeld, seorang jurucakap Israel mengesahkan menerima beberapa laporan.

“Ketika ini, kami masih sedang menyiasat bagaimana kebakaran ini bermula. Kami percaya ia dilakukan oleh individu-individu yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Beberapa buah negara termasuk Turki menawarkan bantuan memandangkan lebih banyak angin kencang diramalkan dalam masa terdekat.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/11/israel-tens-thousands-flee-haifa-wildfires-161125040702128.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ seventy eight = 86