Krisis Di Rakhine: Usah Cabar Solidariti Umat Islam

Oleh: Nur Zinnirah Ismail & Siti Aisyah Md Sanib

Operasi keganasan dilancarkan tentera junta Myanmar ke atas etnik minoriti muslim Rohinya di Arakan perlu dihentikan serta-merta dengan tindakan tegas dan berani.

Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menggesa semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menyekat kerakusan Myanmar dengan segera. Beliau menyatakan pendirian tersebut dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman web Harakahdaily baru-baru ini.

Memetik sumber Al-Jazeera bertarikh 24 November, sehingga kini, sekurang-kurangnya 86 orang maut manakala 30,000 lagi kehilangan tempat tinggal susulan operasi keganasan yang dilancarkan baru-baru ini. Menurut Tuan Guru, pemerintahan negara itu ‘sedang didirikan dengan mengorbankan banyak nyawa serta darah manusia’ tanpa hak.

“Tindakan membunuh, menyiksa jasad, mencabul maruah, mengusir dari kediaman, dan enggan mengiktiraf kerakyatan penduduk asal, meletakkan pemerintahan Myanmar di luar batas ketamadunan.”

Etnik Rohingya tidak dianggap sebagai salah satu dari 135 buah kumpulan etnik rasmi negara Myanmar dan dinafikan kewarganegaraan di bawah Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982; yang menyebabkan mereka ‘tidak layak kerakyatan’.

Memetik tulisan Anealla Safdar di web Al-Jazeera, untuk mendapatkan kewarganegaraan, mereka perlu membuktikan bahawa mereka telah tinggal di Myanmar selama 60 tahun, namun kertas kerja sering kali ditolak mahupun dinafikan. Akibatnya, hak-hak etnik minoriti ini untuk belajar, bekerja, keluar negara, berkahwin, mengamalkan agama Islam dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan menjadi sangat terhad.

“Myanmar atau Burma menganggap penduduk Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh.”

Menurut Safdar lagi, sami-sami Buddha di Rakhine menganggap diri mereka sebagai ‘bangsa terpilih’ serta berbeza dengan majoriti rakyat Myanmar yang lain.

“Mereka memanggil Rohingya sebagai ‘orang Benggali’ serta turut menganggap mereka sebagai pendatang walaupun asal usul mereka di negara itu telah wujud sejak beberapa generasi yang lalu.”

Dalam kenyataan sama, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang turut menegaskan bahawa Myanmar mesti menyedari negara mereka sedang berjiran dengan negara-negara Asia Tenggara yang dihuni lebih 300 juta umat Islam, serta 100 juta lagi di benua India.

“Solidariti umat Islam sedang memandang serius operasi penghapusan etnik ini dan kesabaran itu ada batasnya; jangan hingga ianya tercabar.”

Ahli parlimen Marang itu turut menuntut campur tangan dari PBB, OIC, Asean dan lain-lain terhadap isu ini agar ‘tidak meletus keadaan lebih parah hingga sukar dibendung’.

“Tidak mustahil Myanmar akan mengukir tragedi berdarah seperti pernah berlaku di Bosnia-Hazegorvina; bahkan mungkin lebih buruk.”

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

9 + one =