Kerjasama Antara Mesir Dengan Israel Kukuh

Kerjasama Antara Mesir Dengan Israel Kukuh

Terjemahan & Olahan: Siti Solehah Razali

Hampir 4 dekad semenjak bekas Presiden Mesir Anwar al-Sadat menghulurkan perdamaian kepada Israel, kini kedua-dua negara itu mencapai kesepakatan penuh di bawah Presiden Abdel Fattah al-Sisi, kata penganalisis-penganalisis; di sebalik pandangan ramai rakyat Mesir yang terus menganggap Israel sebagai ancaman dan bersimpati dengan penduduk Palestin.

Penganalisis politik yang berpangkalan di Jerusalem, Nathan Thrall berkata kepada pemberita Al-Jazeera bahawa hubungan kedua-dua negara berada pada tahap terbaik dalam sejarah setelah lawatan Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry ke kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu; ia merupakan lawatan pertama oleh mana-mana Menteri Luar Mesir dalam tempoh hampir sedekad.

Mesir turut menghantar semula duta ke Tel Aviv tahun ini selepas bekas Presiden Morsi memanggil pulang duta ke Israel sebagai tanda protes terhadap pencerobohan Israel ke atas Gaza pada 2012.

Peningkatan hubungan kedua-dua negara juga dapat dilihat apabila kedutaan Israel di Kaherah dibuka semula pada tahun 2015 selepas ditutup selama empat tahun. Malah, pada tahun sama, Mesir memberikan undi menyokong Israel untuk menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); ia merupakan undian Mesir kepada Israel yang pertama kali sejak penubuhan negara haram itu pada 1948.

Selain itu, Thrall berkata Israel juga berulanh kali memberi kebenaran kepada Mesir untuk membawa masuk senjata dan bantuan ketenteraan walaupun bertentangan dengan perjanjian keamanan semasa mereka bekerjasama menentang pemberontakan di Sinai.

Seorang lagi penganalisis politik yang berpangkalan di Kaherah, Mohd Soliman memberitahu Al-Jazeera bahawa tindakan Israel tersebut menunjukkan keakraban hubungan antara Mesir dan Israel ketika awal pemerintahan Sisi.

Musuh yang sama

Kedua-dua negara juga menunjukkan ketidakselesaan terhadap pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza di mana Mesir menuduh Hamas mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin manakala Israel menganggap Hamas satu ancaman terhadap kedaulatan negara Israel.

Semenjak Sisi berkuasa pada 2014, pihak berkuasa Mesir telah menutup sempadan untuk menghalang pergerakan keluar penduduk Palestin. Mesir.

Israel juga bekerjasama dalam menghancurkan jaringan terowong yang dibina rakyat Palestin antara Gaza dan Sinai atas dakwaan ia digunakan untuk membawa masuk senjata.

Perantara untuk keamanan?

Dalam bulan Mei 2016, Sisi berikrar untuk menjadikan Mesir sebagai perantara antara Israel dan Palestin. Lawatan Menteri Luarnya ke Jerusalem diisytiharkan sebagai salah satu inisiatif Mesir untuk menggesa keamanan.

Namun begitu, Safa Joudeh, penganalisis politik dan keselamatan memberitahu Al-Jazeera bahawa tindakan tersebut hanyalah sebagai satu alasan untuk mengaburi pandangan pihak lain demi merapatkan hubungan diplomatik dengan Israel tanpa dikecam pihak lain.

Ramai penganalisis bersetuju dengan pendapat tersebut dengan mengatakan Israel hanyalah ingin mengalihkan perhatian dunia dalam isu Palestin dengan merapatkan hubungan dengan negara-negara Arab. Penganalisis-penganalisis juga mempersoalkan kejujuran Mesir dalam menyelesaikan isu Palestin memandangkan Mesir turut menyumbang dalam mengadakan sekatan terhadap Gaza dan hanya berdiam diri apabila Israel menyerang Gaza pada 2014.

Kesan Serantau

Penganalisis percaya dengan meningkatnya hubungan Mesir dan Israel ini hanya bakal meningkatkan perpecahan antara negara-negara Arab dan memudahkan Israel mencapai matlamat strategiknya untuk memastikan kekuasaannya di Palestin.

Dasar luar Mesir terhadap Israel hari ini tidak banyak berbeza dengan dasarnya ketika pemerintahan bekas Presiden Mubarak, memandangkan Sisi juga daripada latarbelakang tentera. Hal ini kerana berdasarkan sejarah, hubungan dengan Israel diuruskan oleh tentera Mesir.

Cuma perbezaannya sekarang, garisan antara keputusan politik dan strategi keselamatan negara tidak nampak ketara.

Dipetik dari tulisan asal Zena Tahhan di pautan: http://www.aljazeera.com/indepth/features/2016/11/egypt-israel-relations-highest-level-history-161107083926863.html

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 3 = five

Comments

  • dani December 7, 2016 at 10:43 pm

    إسرئيل ممڠ بڠسا يڠ تيدق مڠنڠ بودي ،سدهله دودق دنݢارا فلسطين ماسه تاء چوكڤ …دي ناء سموا ولايه فلسطين منجادي دان مڠݢونكن ڤلبݢي چارا انتوق مڠحلاكن ڤنندسن مريك ترهادڤ ڤندودق فلسطين … مريك چوب مڠاتر ستراسيݢي دان تيڤو داي تتاڤ سموا ايت تيدق برحصيل، تنترا الله يڠ دسلره دنيا ممبنت رعية فلسطين بإيق سچارا ڽات مهوڤون ديم۲…جك سلره دنيا برسات ڤاد تيدق ممبنت رعية فلسطين…تيدق منجادي مسئله باݢ ڤجواڠ فلسطين كران مريك برجواڠ انتوق ممببسكن تانه فلسطين دري چڠكمن زيونيس يهودي….اڤكه لاݢي مسليهت مريك ڤد تهون۲ يڠ منداتڠ …اوله ايت ڤرسيڤن باݢ ڤجواڠ فلسطين دالم فاسا ڤمببسن رعية فلسطين اكن ادله سات لڠكه دان ڤرنته الله ..يڠ ممرنتهكن عمتڽ برسيڤ سديا ممڤرلڠكڤ ديري انتوق مڠهادڤي زيونيس يهودي…عمة إسلام دسلره دنيا جاڠن مڽڠك بهوا نݢارا مريك يڠ أمان تيدق اكن ترݢݢت اوله موسه…نݢارا۲ إسلام جوݢ ڤرلو ممڤرسيڤكن ديري دالم بنتوق دانا،ڤراوبتن لبه أول سبلم سرڠن يهودي انتوق ممڤرق ڤرندكن بوم فلسطين دماس هادڤن برلكو…تاء ڤرلو مليهت بندر ݢازا هنچر مسنه دكرجكن يهودي بارو ناء كمڤل درما،دانا دان سبݢيڽ…سبݢي سبواه نݢارا يڠ سده كيت هارڤ معلوم دبلاسه اوله يهودي دان كواس۲ بسر …كيت جوݢ ڤرلو ممبوات ڤرسيڤن يا…ڤرسيڤن انتوق ممببسكن مسجد القصى دان ݢازا دري كبيادبن يهودي زيونيس…الله أكبر

    Reply