Ekonomi: Logik Peperangan Yang Dicipta Oleh Barat

EKONOMI : LOGIK PEPERANGAN YANG DICIPTA OLEH BARAT

Firma Allah SWT di dalam Al-Quran menerusi surah Al-A’raf, ayat 96 :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.

“Dan Tuhan berfirman lagi: Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan Rasul Kami, lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT meletakkan iman dan taqwa menjadi syarat kurniaan limpahan hasil bumi kepada sesebuah negeri. Allah mengaitkan secara langsung antara akidah dan ekonomi. Dalil ini membuktikan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada akidah. Bermaksud perkaitan dari segi holistik iaitu hubungan kita sebagai manusia dengan Allah SWT, dan Allah akan membalas taqwa hambanya dengan mengurniakan kekayaan hasil bumi.

Di sini, Al-Marhum Syeikh Sayyid Qutb pernah menegaskan bahawasanya realiti musuh-musuh Islam atau dalam konteks hari ini dikenali sebagai Barat yang berusaha untuk menjajah umat Islam adalah kerana agama sebagai faktor utama. Namun faktor lain yang merangsang mereka untuk memulakan peperangan dan penjajahan adalah faktor kebendaan. Antara bukti kebenaran ayat-ayat Allah, sengaja diciptakan negara-negara umat Islam itu kaya daripada sudut sumber bumi.

Al-Marhum Syeikh Sayyid Qutb telah menulis dua kitab iaitu yang pertamanya bertajuk “Keselamatan Antarabangsa dan Islam” (السلام العالمي والإسلام) dan yang keduanya “Pertempuran Islam dan Kapitalisma” (معركة الإسلام والرأسمالية) setelah mengetahui perancangan jangka masa pendek dan panjang yang telah disusun oleh dunia Barat. Ditulis kitab berkenaan supaya umat Islam didedahkan dan memahami perancangan musuh terhadap dunia umat Islam.

Al-Marhum Syeikh Sayyid Qutb merupakan antara tokoh masyarakat yang dipilih oleh kalangan intelek Mesir dan dihantar ke Amerika. Dalam beberapa tahun setelah Al-Marhum Syeikh Sayyid Qutb dihantar dan didoktrin oleh Amerika, akhirnya beliau menyedari bahawasanya dunia Barat benar-benar bersungguh membuat perancangan ke atas umat Islam. Antara pendedahannya yang terawal adalah berkenaan soal perang proksi dunia umat Islam di Asia Barat yang berlaku di negara-negara Arab, telah diberikan bekalan senjata oleh kuasa-kuasa Barat.

Melalui penulisan Al-Marhum Syeikh Sayyid Qutb, beliau mengatakan bahawa umat Islam sememangnya akan diserang. Maka difikirkan faktor daripada sudut logiknya untuk memastikan supaya umat Islam sentiasa diserang. Allah sengaja memberikan kekayaan kepada negara-negara umat Islam. Antara faktor pertamanya yang menjadi rebutan musuh adalah kekayaan daripada sudut lokasi yang strategik, menjadi pengantara yang menghubungkan benua-benua dan sebagai laluan perdagangan.

Sekiranya kita melihat peta dunia, sememangnya negara-negara umat Islam yang mempunyai ciri-ciri tersebut. Di sana ada Andalus yang menghubungkan antara Afrika dan Eropah. Di sana ada Turki yang memberi laluan antara Eropah dan dunia Islam. Di sana ada Mesir, ada Palestin untuk menghubungkan Afrika dengan Asia Barat. Di sana ada Iraq menjadi pengantara Asia Barat dan Asia Tengah. Di sana ada Makkah yang menjadi pusat kepada peta dunia, berada di tengah-tengah menghubungkan dunia Arab dengan Afrika dan Eropah.

Maka tiada pilihan lain, kepada mereka yang berhajat untuk menguasai dunia mestilah menguasai wilayah-wilayah yang diduduki oleh umat Islam. Memang sengaja Allah SWT membuat taburan sebegini. Negara-negara orang kafir di Barat dilihat tidak strategik, sebagai contoh Amerika di hujung dunia dan Rusia yang terlalu lapang daratnya menjadi sukar untuk berdagang.

Faktor yang kedua, adalah faktor kekayaan mahsul bumi. Wilayah-wilayah Islam mempunyai hasil galian yang banyak yang sangat berharga dan tinggi nilai pasarannya seperti minyak, emas, berlian, gas, bijih dan lain-lain. Beruntungnya negara kecil seperti negara kita Malaysia, masih mempunyai hasil bumi yang banyak seperti minyak dan gas. Adapun berbeza dengan negara kecil yang berjiran dengan kita, iaitu Singapura mengamalkan dasar membuat untung di negara lain dan kemudiannya membawa pulang hasil keuntungan balik ke negara sendiri. Sedangkan logiknya, Singapura dan Malaysia berada dalam lingkungan kepulauan yang sama.

Begitulah aturan Allah, menambahkan lagi kedengkian orang-orang kafir yang tamak terhadap kekuasaan dan kebendaan terhadap umat Islam. Adapun nikmat yang dikurniakan Allah SWT, umat Islam kebanyakkannya kufur tidak bersyukur dan tidak reti mengurus hasil kekayaan bumi dengan baik. Di atas kertas mereka mendakwa peperangan yang berlaku atas sebab ekonomi, hakikatnya Allah dedahkan apa yang tertanam di dalam hati mereka adalah sebab mereka hendak melawan Islam. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ.

“Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.”

(Surah Al-Buruj, ayat 8)

Kemarahan orang-orang kafir terhadap umat Islam yang sudah beriman kepada Allah dan ditambah pula dengan kekayaan yang diberikan, maka semakin menebal dendam yang disimpan di dalam hati mereka.

Catatan oleh:

PENA_ETTIHAD_2016

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

forty one − forty =