Nyawa Muslim Rohingya Diratah Seperti Binatang

Oleh: Nazmi Salleh

Operasi keganasan besar-besaran Kerajaan Junta Tentera Myanmar ke atas etnik minoriti beragama Islam Rohingya baru-baru ini telah meragut ratusan nyawa dan menyebabkan ramai yang lain hilang tempat tinggal dan cuba melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Menurut ADUN Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samad, dunia wajib memperlihatkan ketegasan memulaukan kerajaan Myanmar serta mengambil tindakan segera atas jenayah keganasan yang dilakukan junta tentera terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya; penduduk asal yang dinafikan kerakyatan mereka.

“Tindakan dengan membakar perkampungan, menyiksa jasad fizikal, menembak dan menyembelih bunuh tanpa mengira kanak-kanak dan wanita dilakukan junta tentera Myanmar adalah sangat keterlaluan dan melampau serta zalim; menjadikan nyawa manusia semurah haiwan hanyalah perbuatan bersifat kebinatangan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Harakahdaily.

Beliau turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar meluangkan masa untuk hadir ke perhimpunan Solidariti Ummah yang bakal diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu, 26 November 2016.

“Kaum muslimin pada era awal Islam pernah bangkit secara ‘quwwah’ (kekuatan) membela seorang muslimah yang diragut maruahnya oleh kaum kafir. Maka atas keimanan sama, umat Islam di dunia hari ini wajib bangun memperlihatkan amaran atas tindakan keji Myanmar itu.”

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengeluarkan kenyataan mengecam kekejaman yang berlaku di wilayah Rakhine itu serta berkata tindakan tersebut merupakan satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di Myanmar.

“Justeru itu, JAKIM mengambil inisiatif untuk mengadakan Qunut Nazilah pada solat Jumaat 25 November 2016 di semua Masjid-Masjid Utama JAKIM; iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta di semua masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).”

Dalam kenyataan itu juga, Tan Sri Dato’ Haji Othman Mustafa, Ketua Pengarah JAKIM, turut meminta kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar mengarahkan perkara sama kepada semua masjid di negeri masing-masing.

“Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini,” ujarnya lagi.

Susulan arahan yang dikeluarkan oleh JAKIM itu, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) turut sama menzahirkan sokongan atas inisiatif itu serta menyarankan semua masjid membacakan teks khutbah mengenai kezaliman yang terpaksa dihadapi etnik minoriti beragama Islam Rohingya.

“Ini bagi memberikan kesedaran kepada seluruh masyarakat terhadap nasib saudara Muslim kita di Myanmar yang tertindas dan diseksa,” ujar Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abd Kadir, yang dipetik dari sumber Harakahdaily.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

six + three =