Intipati RUU 355 Dibentangkan Untuk Persidangan Seterusnya

Intipati RUU 355 Dibentangkan Untuk Persidangan Seterusnya

Oleh: Asmaa Yusof

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, hari ini telah membacakan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah, RUU 355 di parlimen.

Dalam sesi ucapannya, beliau mengusulkan akta mahkamah syariah 1965 dipinda dalam priviso kepada seksyen 2 dengan menggunakan penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi RM 100,000 atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah syariah.

Selepas bacaan usul selesai, beliau memberitahu ahli parlimen untuk membuat huraian pada sesi akan datang selaras dengan peraturan mesyuarat 15(5); menyedari masih ada kekeliruan dari banyak pihak.

Tuan Guru berkata, memandangkan pindaan itu memerlukan kefahaman yang jelas, walaupun sudah ada secara bertulis yang diedarkan, namun masih ada kekeliruan dan berbagai-bagai polemik di luar dewan ini melibatkan semua pihak.

Beliau turut kesal dengan sikap sebahagian dari kalangan bukan Islam masih berfikiran sempit dengan meneruskan polemik usul persendirian yang dibawa beliau.

Tegas beliau, ahli politik bukan Islam perlu menghormati usul yang hanya melibatkan orang Islam dan tidak menggangu urusan orang Islam.

Beliau dipetik berkata demikian dalam sidang media diadakan sejurus selepas bacaan usul RUU 355.

Ketika sidang media itu juga, Tuan Guru memberitahu satu himpunan khas memfokuskan penerangan usul tersebut akan diadakan dalam masa terdekat dan bakal mewakili umat Islam daripada berbagai parti politik, NGO serta juga individu bukan Islam sebagai tanda sokongan terhadap RUU tersebut.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ eighty one = eighty five