Berbeza Agama Bukan Penghalang Sokong Anak Dekati Al-Quran

Oleh: Sumaiyah Zakaria

Seorang gadis Rusia, Elena Dmitrienko, mencuri perhatian ramai ketika menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Sheikha Fatima Bint Mubarak berlangsung di Dubai. Walaupun bergelar ‘saudara baru’, beliau berjaya menyampaikan bacaannya dengan baik.

Sumber Al-Jazeera bertarikh 21 November memetik web rasmi Anugerah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Dubai (DIHQA) menyatakan, beliau berumur 21 tahun dan telah memeluk Islam sejak 6 tahun lalu ketika berusia 15 tahun. Walaupun jangka masa tersebut adalah pendek, namun beliau mampu menghafaz Al-Quran dengan baik.

Menurut sumber sama, bapa Elena yang berbangsa Rusia dan ibunya yang berketurunan Tartar tidak turut memeluk Islam serta masih beragama Kristian. Walau bagaimanapun, perbezaan agama tidak menghalang kedua ibu bapanya memberi sokongan penuh kepada Elena untuk menamatkan hafazan Al-Quran serta menyertai pertandingan itu.

Elene menceritakan dia tertarik dengan agama Islam sejak belajar di sebuah sekolah persendirian majoriti pelajar beragama Islam. Beliau kemudian berpindah ke sebuah sekolah agama serta pergi ke Markaz Ziyad bin Thabit di daerah Saratov untuk menghafaz Al-Quran, dan telah mengambil masa selama 4 tahun untuk menamatkan hafazannya.

Elena berharap penyertaannya dalam majlis musabaqah itu akan melembutkan hati ibu bapanya untuk memeluk agama Islam. Baginya, itulah anugerah terbesar jika ia benar-benar terjadi. Kisah gadis ini telah tersebar luas di internet sejak minggu lalu.

Majlis musabaqah tilawah Al-Quran yang disertai Elena itu telah berlangsung pada 6 hingga 18 November lalu di Dubai melibatkan penyertaan 70 orang remaja perempuan dari pelbagai negara dan telah dimenangi peserta dari Morocco, Aiman az-Zawatani.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty one − = 71