Rohingya: ‘Kalau Terus Mati, Kalau Belok Maut’

Oleh: Ra’d & Aisyah Sanib

Cubaan 125 orang Muslim etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh, gagal apabila dicekup oleh pihak berkuasa Bangladesh ketika sedang menyeberangi Sungai Naaf; sempadan Bangladesh-Myanmar yang memisahkan bahagian tenggara Bangladesh dengan bahagian barat Myanmar.

Menurut sumber AFP, penahanan pelarian Muslim Rohingya tersebut berlaku apabila pihak berkuasa Bangladesh sedang membuat rondaan di sepanjang Sungai Naaf.

Sebanyak 7 perahu kayu telah ditahan yang memuatkan kesemua pelarian tersebut, termasuk 61 orang daripadanya wanita dan 36 orang kanak-kanak.

Wilayah Rakhine, Myanmar, terus bergolak bermandikan darah Muslim Rohingya yang dilihat sebagai satu cubaan penghapusan etnik.

Lebih 30,000 orang penduduk Muslim Rohingya meninggalkan kediaman masing-masing; rumah mereka hangus dibakar; malah anak-anak perempuan diculik dan dirogol.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, perkembangan terkini di Arakan (Rakhine) bakal menjadikan wilayah itu sebagai ‘Gaza kedua malah lebih parah’ kerana etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang perlindungan dan tidak memiliki sebarang keupayaan untuk mempertahankan diri.

“Bukan sahaja negara jiran Bangladesh bersekongkol dengan Myanmar untuk menutup sempadan, akses bantuan kemanusiaan juga ditutup di semua laluan, dan kini serangan dilancarkan oleh tentera Myanmar yang melibatkan tentera darat, tentera laut dan tentera udara ke atas warga Rohingya di seluruh daerah Maungda,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Harakahdaily.

“Bangladesh bertindak persis seperti Mesir. Mesir menutup sempadan di pintu Rafah, manakala Bangladesh menutup sempadan dengan Myanmar di sepanjang Sungai Teknaf. Malah keadaan di Bangladesh lebih buruk bila pelarian Rohingya sering berdepan dengan penangkapan, pemerasan, penyiksaan dan pembunuhan oleh pihak berkuasa Bangladesh itu sendiri,” tambah Mohd Azmi lagi.

Malah, mana-mana wilayah lain yang didiami oleh minoriti Muslim etnik Rohingya juga pasti akan menghadapi pemerasan yang sama serta pembunuhan beramai-ramai.

Mohd Azmi turut menzahirkan kekesalan atas kelemahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat membutakan mata dan membisu, serta tidak bertindak seiring dengan resolusi keselamatannya.

“Ternyata delegasi UN (PBB) yang dihantar sebelum ini tidak membawa erti apa-apa. Di sebaliknya ada laporan diterima bahawa ramai warga Rohingya yang diugut, ditangkap, disumbat ke dalam penjara dan disiksa setelah delegasi UN keluar dari kawasan yang dilawati.”

Dalam kenyataan sama, Mohd Azmi antara lain menuntut akses kepada semua agensi kemanusiaan dibuka dan operasi bantuan kepada mangsa dilancarkan dengan segera.

Mapim juga menuntut supaya agensi antarabangsa seperti PBB memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar serta mengenakan sekatan ekonomi ke atas negara itu agar kekejamaan tersebut dapat dihentikan dan penyiasatan bebas dilakukan bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty two − 27 =