Sisi Dan Penghapusan Ikhwanul Muslimin

Sisi Dan Penghapusan Ikhwanul Muslimin

Oleh: HARIS ZALKAPLI

Baru-baru ini, sebuah mahkamah rayuan di Mesir melepaskan bekas Presiden Mohamed Morsi dan lima pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain daripada hukuman mati, memberi sedikit kegembiraan dan harapan kepada gerakan Ikhwan yang sedang dihapuskan oleh pentadbiran Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Kempen penghapusan Ikhwan oleh Sisi walau bagaimanapun tidak berakhir dengan episod ini. Malah, usaha ini terus menjadi satu agenda penting Mesir dan negara-negara sekutu pentingnya yang menyokong dan memberi bantuan sejak Morsi dijatuhkan.

Negara-negara terbabit, paling utama dan berpengaruh Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, sejak penggulingan Morsi menjadi kuasa serantau yang menyelamatkan Mesir daripada bencana ekonomi.

Sejurus Morsi dijatuhkan pada Julai 2013, Saudi dan Emiriyah telah memberi bantuan berbilion dolar kepada Mesir, sebagai usaha menyelamatkan ekonomi Mesir daripada runtuh dan juga sebagai usaha membina hubungan baik dengan pemerintah Mesir.

Satu tujuan hubungan ini ialah menghapuskan gerakan Ikhwanul Muslimin, yang menjadi misi serantau Riyadh dan Abu Dhabi, dilaksanakan di seluruh rantau Arab dari Mesir hingga ke Yaman.

Di Yaman, Saudi dan Emiriyah pada awalnya bersama untuk menyekat kemaraan gerakan Islah yang dikuasai Ikhwan, sehingga bersedia menjalin kerjasama dengan pihak pemberontak Houthi yang kemudian dijadikan alasan oleh Riyadh untuk melaksanakan kempen ketenteraan di Yaman – kerana didakwa menjadi proksi Iran untuk meluaskan kuasa dan pengaruh di Semenanjung Arab.

Kedua-dua Saudi dan Emiriyah menganggap Ikhwan sebagai ancaman utama kepada pemerintahan mereka. Ikhwan yang beraspirasi untuk berkuasa sejak penubuhannya mempunyai potensi tersendiri ekoran sokongan meluas daripada orang ramai.

Mesir, negara pangkalan Ikhwan dan jiran Gaza yang juga kubu Hamas, sebuah kumpulan dalam jaringan Ikhwan, menjadi sasaran utama Saudi dan Emiriyah, menjelaskan sokongan kuat diberikan kepada Sisi.

Tetapi, kini Emiriyah semakin mengatasi Saudi di Mesir dan juga Yaman, dua negara yang pada awalnya kedua-dua Abu Dhabi dan Riyadh bersatu dan bekerjasama untuk mencapai agenda bersama terhadap Ikhwan.

Persidangan Ahlul Sunnah wal Jamaah di Chechnya pada Ogos lalu dan sokongan Kaherah terhadap rancangan damai yang dibawa Rusia dan ditentang Saudi menjejaskan hubungan Mesir dengan Arab Saudi, sehingga bantuan bekalan bahan bakar ke Mesir oleh Arab Saudi dihentikan.

Ekoran itu, Mesir berdepan satu masalah ekonomi yang parah, sehingga mencetuskan protes rakyat minggu lalu, memberi isyarat kepada Sisi yang selain Ikhwan, masalah ekonomi juga satu masalah besar yang boleh menggugat pemerintahannya.

Hubungan dengan Saudi yang telah melalui sejarah panjang yang mencabar berdepan risiko terjejas teruk dengan perkembangan yang berlaku semasa pemerintahan Sisi ini. Saudi telah menjadi sekutu yang paling rapat dan paling membantu dari segi politik kepada Mesir selama ini. Riyadh malah mengkritik Amerika Syarikat kerana didakwa tidak melakukan yang secukupnya untuk mengelakkan Hosni Mubarak dijatuhkan.

Mesir di bawah Sisi kini berdepan satu tempoh yang amat mencabar, dengan ekonomi yang lemah dan hubungan dengan sekutu tradisi yang semakin terjejas. Hubungan dengan Saudi terjejas sehingga Kaherah kelihatan cuba membina kerjasama ekonomi dengan Iran, pesaing utama Saudi di rantau Arab.

Kesemua perkembangan ini tidak dapat dipisahkan daripada kebangkitan Arab yang menjatuhkan Mubarak pada Februari 2011, dan hubungan Mesir dengan negara-negara serantau yang kuat mempengaruhi agenda dalaman dan dasar luarnya.

Kebangkitan Ikhwan ekoran “Arab Spring” disokong kuat oleh Qatar, yang mengharapkan supaya penguasaan Ikhwan di Mesir pasca-Mubarak akan memberikannya sekutu penting yang boleh meluaskan lagi pengaruhnya di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Semasa era Morsi, Qatar mendapat kelebihan yang mengatasi Saudi dan Emiriyah, dan negara-negara Arab lain di Mesir. Dalam tempoh ini juga Ikhwan dilihat sebagai semakin mengancam status quo di dunia Arab yang dikuasai raja dan rejim sekular.

Hubungan rapat Qatar ini akhirnya dikait sebagai satu punca penolakan terhadap Morsi dan kelompok Ikhwanul Muslimin, mendorong satu pakatan segera antara sekular rejim lama dengan liberal pro-Barat menggulingkan Morsi.

Hari ini, apa yang dilakukan Morsi ialah menghapuskan semula kemaraan Ikhwan yang dicapai sejak 2011, dengan bantuan dan sokongan kuat negara-negara Arab Teluk, yang kini Emiriyah menjadi kuasa paling dominan.

Perkembangan sejak 2011 dan kemenangan parti Ikhwan dalam pilihan raya di Mesir telah menampakkan sejauh mana pengaruh Ikhwan di negara penting dunia Arab itu. Perkembangan ini diambil pengajaran oleh Sisi dan kuasa-kuasa Arab serantau tentang pengaruh kumpulan Islam yang terlibat dalam proses demokrasi.

Tindakan Kaherah kebelakangan ini menampakkan sejauh mana ilitzam pentadbiran Sisi untuk mengekang dan menghapuskan Ikhwanul Muslimin di Mesir, sehingga menjadi satu punca perubahan hubungan dengan kuasa-kuasa serantau dan hubungan Saudi dengan Emiriyah.

Presiden Sisi kini berada di satu persimpangan melibatkan hubungan dengan Ikhwan dan kuasa-kuasa berpengaruh serantau Saudi dan Emiriyah, meletakkan Mesir dalam satu fasa yang paling mencabar dalam menangani isu kritikal dalaman dan menangani hubungan dengan negara-negara serantau yang mampu memberi kesan yang mendalam terhadap masa depan negara Mesir.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seventy − 67 =