Kemajuan Ekonomi Negara Dan Hakikat Kebahagian Insan

KEMAJUAN EKONOMI NEGARA DAN HAKIKAT KEBAHAGIAN INSAN
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Mior Isfandy Mior Azizan


Sewaktu Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2015 pada 10 Oktober 2014, beliau mengemukakan dua konsep ekonomi. Pertama ialah Ekonomi Modal (Capital Economy) yang merujuk kepada pengurusan ekonomi dan polisi-polisi daripada perspektif makro. Kedua ialah Ekonomi Rakyat (People Economy) yang bermaksud pengurusan ekonomi yang berorientasikan rakyat dan meliputi kepentingan serta prioriti-prioriti tertentu.

Kemudian, pada tahun ini, sewaktu membentangkan Bajet 2017, beliau memperkenalkan satu lagi konsep yang baharu iaitu ‘Public happiness’. Konsep ini merujuk kepada keseimbangan elemen yang diperlukan selain daripada aspek material dalam menuju ke arah merealisasikan Malaysia berstatus negara maju. ‘Public happiness’ menurut kenyataan Najib Tun Razak berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, keamanan hidup, pencapaian pendidikan, kualiti kesihatan, pengangkutan yang efisyen dan persekitaran yang segar.

Dalam hal ini, Perdana Menteri menekankan pendekatan simbiotik antara elemen pembangunan fizikal dan elemen pembangunan insaniah. Namun, apakah hakikat pembangunan insaniah yang perlu dicermati dalam memastikan kemajuan ekonomi negara selari dengan peningkatan kemuliaan insan? Adakah terdapat parameter khusus untuk mengukur pembangunan insaniah? Adakah kemajuan ekonomi berhubung secara positif dengan pembangunan insaniah? Apakah sebenarnya hakikat ‘People Economy’ dan ‘Public Happiness’?

Tidak terdapat satu teori dan definisi khusus mengenai ‘People Economy’. Walaupun begitu, dua tokoh ekonomi iaitu David McWilliams (Ireland) dan Robert Pollin (Amerika Syarikat) telah mengemukakan pandangan mengenai ‘People Economy’. Kedua-duanya berpendapat bahawa ‘People Economy’ adalah satu orientasi ekonomi yang bermatlamatkan kepentingan rakyat. Peratus penggangguran berkadar kosong, infrastruktur kesihatan yang berkualiti dan peluang pendidikan yang saksama kepada seluruh rakyat.

Sementara itu, Robert Pollin pula dianggap sebagai seorang ahli ekonomi berhaluan kiri dan terlibat dalam Parti Demokrat di Amerika Syarikat. Beliau konsisten mempromosikan projek ekonomi egalitarianisme. Berbeza dengan David McWilliams, seorang tokoh ekonomi berpengaruh di Ireland, beliau tidak menunjukkan falsafah ekonominya yang ketara, tetapi banyak projeknya seperti ‘Punk Economy’ dan ‘Kilkenomics’ yang cenderung membela hak-hak rakyat kelas bawahan serta kritikal terhadap penguasaan ekonomi kelas atasan.

Konsep ‘Public Happiness’ pula sangat sinonim dengan perbahasan tokoh sains politik Hannah Arendt. Dalam karya magnum opusnya, ‘On Revolution’ (1963), beliau menghuraikan bagaimana revolusi membawa kepada satu matlamat akhir iaitu ‘Public Happiness’. Bagi Arendt, ‘Public Happiness’ dapat dicapai dengan penggemblengan partisipasi rakyat dalam menentukan hal ehwal pentadbiran negara. Sikap kebersamaan dalam menikmati kemajuan negara, berpeluang untuk menentukan dasar negara dan menolak ‘private accumulated wealth and partaking in activities for own pleasures’. Disebabkan itu Arendt menyokong sepenuhnya Revolusi Amerika yang melawan kuasa monarki dan aristokrasi British.

Berdasarkan kepada etimologi dan terminologi kedua-dua elemen ini, maka boleh disimpulkan bahawa ia adalah kemuncak kepada aktiviti ekonomi yang meraikan kepentingan rakyat atau boleh juga disebut sebagai elemen dalam kerangka sosial demokrasi. Persoalannya, adakah faktor ekonomi menjadi indikator utama dalam proses membangunkan insan? Adakah pertumbuhan ekonomi adalah kemuncak kepada rasa kebahagian dalam diri manusia? Jika begitu, adakah negara-negara maju mempunyai tahap kebahagian rakyat yang tinggi?

Ironisnya, menurut World Happiness Report 2016, lima negara teratas seperti Denmark, Switzerland dan Iceland merupakan negara kaya dan mempunyai jaringan keselamatan sosial yang terbaik. Meik Wiking dalam bukunya, “The Little Book of Hygge” mengagumi pencapaian Denmark yang dianggap sebagai sebuah negara paling bahagia di dunia kerana negara tersebut sangat menekankan kebajikan rakyatnya.

Walaupun rakyat Denmark dikenakan cukai pendapatan yang sangat tinggi, tetapi mereka menikmati jaminan sekuriti sosial yang sangat baik. Mengapa negara Scandinavia (Denmark, Norway dan Sweden) berada di kedudukan 10 terbaik, manakala negara-negara Islam seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Kuwait dan Malaysia berada di kedudukan 25 negara terbawah? Adakah ini dijadikan satu justifikasi bahawa kemakmuran ekonomi berhubung secara positif dengan pembangunan dan kebahagian insaniah?

Bagaimana perspektif Islam dalam korelasi pertumbuhan ekonomi dan kebahagian rakyat? Allah menetapkan dua fundamental elemen yang wajib ada untuk menikmati kebahagian yang hakiki iaitu iman dan amal soleh. Kebahagian, kehidupan yang baik lagi diredhai Allah adalah terletak kepada keimanan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia. Keimanan merupakan teras kepada kemakmuran sebenar yang diberikan Allah kepada sesebuah negara dan masyarakat. Apakah buktinya?

Allah SWT berfirman,

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik” (Surah al-Ra’d, ayat 29).

“Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki mahupun perempuan dan keadaan dia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan” (Surah al-Nahlu, ayat 97).

“Sekiranya penduduk-penduduk di negeri itu beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan Kami, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya itu” (Surah al-A’raf, ayat 96).

Jika faktor ekonomi menjadi indikator kepada kebahagian manusia, maka manusia akan menjadi agen ekonomi atau hamba pembangunan semata-mata. Bekerja untuk mengabdikan diri kepada negara dan sebahagian besar pendapatannya dicarumkan untuk kepentingan negara. Sebaliknya, manusia menurut Muhammad Syukri Salleh (2003) dalam membahaskan pembangunan berteraskan Islam merupakan hamba dan khalifah Allah SWT. Hubungan manusia terdiri daripada dua dimensi iaitu dimensi vertikal yang merujuk kepada hubungan manusia dan Allah, manakala dimensi horizontal yang merujuk kepada hubungan manusia sesama manusia. Inilah yang dimahukan dalam Islam.

Selain itu, dalam merumus pandangan al-Attas (1978) terhadap kebahagian, beliau menyatakan bahawa kebahagiaan itu bukan dirujuk kepada sifat fizikal dan nazari sahaja, ia adalah keyakinan diri akan hakikat sebenar dalam menunaikan hak Allah Ta’ala. Inilah perbezaan utama antara makna hakiki kebahagian menurut perspektif Islam dan Barat. Jika ekonomi dan kemajuan adalah simbolik kepada kebahagian, maka Kerajaan Saba’ adalah modelnya. Namun hakikatnya, seluruh wilayah autoriti Saba’ dimusnahkan dalam banjir besar yang dahsyat kerana kekufuran mereka terhadap Allah SWT.

Pautan asal: https://isfandy.wordpress.com/2016/10/31/kemajuan-ekonomi-negara-dan-hakikat-kebahagian-insan/

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

32 − thirty =