Syiah Houthi Bom kota Makkah: Tiga Isu Penting

Syiah Houthi Bom kota Makkah: Tiga Isu Penting

Oleh: Haris Zalkapli

Laporan dakwaan kumpulan Houthi mahu mengebom kota Makkah perlu dilihat dengan lebih cermat, supaya kita tidak terburu-buru mengeruhkan keadaan bertindak berdasarkan sentimen. Ada beberapa perkara yang perlu dinilai dengan lebih kritikal.

1. Sumber berita “Syiah Houthi” mensasarkan peluru berpandu ke arah Makkah datang dari pihak Arab Saudi, yang mengetuai operasi ketenteraan di Yaman sejak lebih setahun lepas. Akibat kempen yang menyebabkan kematian ramai orang awam dan krisis kemanusiaan yang telah menjejaskan imej Saudi dan mengundang kritikan, Riyadh berada dalam keadaan tertekan. Dalam perang, berlangsung sekali perang media untuk mempengaruhi pendapat umum.

2. Peningkatan kempen media Saudi dapat dikesan selepas pengeboman sebuah sekolah di wilayah Saada, membunuh 10 orang kanak-kanak dan mencederakan 28 yang lain menurut laporan media. Kemudian, pakatan diketuai Saudi dilaporkan mengebom sebuah hospital juga di kawasan utara, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 13 orang. Kejadian terburuk berlaku awal Oktober, dalam pengeboman satu majlis pengkebumian, membunuh lebih 140 orang, dan 525 lagi cedera. Walau bagaimanapun, pihak yang kini sedang bangkit mengecam “Syiah Houthi” dan mengajak ulama dan pertubuhan-pertubuhan Sunni turut mengutuk Houthi tidak memperlihatkan kemarahan sama dalam insiden-insiden tersebut.

3. Pihak Houthi (Ansarullah) yang beraliansi dengan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh masih bergelut untuk mengukuhkan kedudukan selepas menjatuhkan kerajaan asal, dan bergelut untuk mendapat keabsahan selepas lebih setahun menguasai Sanaa. Sukar untuk dilihat apakah kepentingan Houthi menembak kota Makkah, pada masa perang maklumat memerlukannya mendapat sokongan umum. Tambahan lagi, Makkah ialah satu wilayah dan bukan hanya kota Makkah tempat ibadat haji dikerjakan, tetapi nama Makkah biasanya membawa ingatan ramai pembaca kepada kota Makkah dan pusat ibadat haji dikerjakan. Pada masa sama, laporan-laporan yang mengaitkan Makkah seperti peluru berpandu dipintas beberapa puluh kilometer dari Makkah juga nampaknya bertujuan propaganda yang sama dan jelas tidak jujur.

Sejak sekitar sedekad lalu dan terutama sejak 2011, sentimen sektarian atau mazhab telah dieksploit dan ramai telah terlibat sama ada secara sedar atau tidak. Banyak pihak, termasuk kumpulan-kumpulan Muslim dan pertubuhan bantuan terlibat dalam perang media ini, mengambil peranan dalam kempen kebencian bagi pihak tertentu. Respons selektif dan reaksi yang kelihatan terancang dan seperti dibaca dari skrip menunjukkan bagaimana sikap yang diambil dipengaruhi (oleh pihak yang berkepentingan dan juga oleh sentimen masing-masing) dan bukan hasil daripada bacaan dan penilaian yang benar dan jujur.

Perkembangan dunia Islam pada masa ini menunjukkan kelemahan yang besar ramai orang Islam yang gopoh dan mudah dipengaruhi sentimen, yang antara puncanya juga ialah literasi media yang sangat lemah. Berita terbaru ini, yang dibaca dan direspons tanpa melihat dan mengaitkannya dengan satu gambaran besar persaingan kuasa di dunia Islam, mendedahkan semua kelemahan ini.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

one + three =

Comments

  • mohd fadhlan November 1, 2016 at 7:51 pm

    assalamualaikum. berita IUM berbahasa arab bertarikh 28/10/16 dilihat mengesahkan berlakunya serangan melaui kenyataan syek ali qurrah mengecam serangan roket tu. yg mana satu betul ni?

    Reply