Batasan Kuasa Dalam Diri

BATASAN KUASA DALAM DIRI

Dari Abu Said Al-Khudri RA dia berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; barang siapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka hendaknya dengan lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi maka dengan hatinya, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kebanyakan manusia percaya bahawa apabila seseorang mempunyai kuasa, dia mampu mengubah sesuatu. Sama ada daripada baik ke jahat, dan sebaliknya.

Sebagaimana seorang bapa membentuk anaknya, seorang guru mendidik pelajarnya, mahupun seorang pemimpin mencorak rakyatnya. Ini kerana atas dasar autoriti atau kuasa yang dimiliki oleh seseorang untuk mengubah apa-apa yang dikehendaki.

Keyakinan yang kukuh terhadap hadis Rasulullah memahamkan kita bahawa mencegah kemungkaran dengan tangan (kuasa) itu yang paling utama. Para ulama’ dan pemimpin gerakan Islam sejak dahulukala telah membuktikan bahawa ia mampu diraih, bukan sekadar hanya menegakkan Islam untuk diri sendiri tetapi untuk umat seluruhnya.

Namun, pemahaman secara literal bahawa Islam ‘dipergunakan’ untuk mendapatkan kuasa mengelirukan masyarakat dalam memahami maksud sebenar kepimpinan dalam Islam.

“…sehingga tidak menjadi fitnah dan agama itu semuanya milik Allah…”

(Surah Al-Anfal, ayat 39)

Destinasi adalah objektif, manakala kenderaan digunakan untuk sampai kepada destinasi. Dunia Islam adalah objektif, maka kuasa perlu diraih dalam mencapai objektif. Apabila Islam berada di tampuk kuasa, maka syariat dapat dilaksanakan berpandukan Al-Quran dan As-sunnah.

Autoriti yang berpihak kepada Islam akan membentuk masyarakat yang mengikut undang-undang Islam.

Dan keuntungan yang diraih dengan melaksanakan syariat Islam di dunia ialah keselamatan di akhirat. Itulah matlamat umat Islam sepatutnya.

Tiada amalan tanpa keyakinan. Ayuh keluar dari kepompong umat buih dengan menyokong kepimpinan Islam dalam menyelamatkan umat seluruhnya di dunia dan akhirat. Buktikan kita umat terbaik dan mujahadah dalam menegakkan kalimah Allah. Yakin, Allah hitung usaha walau tidak dilihat manusia.

Oleh: Saadah Zamri

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

52 − forty four =