Tentera Syria Lancar Serangan Darat Terhadap Aleppo

Tentera Syria Lancar Serangan Darat Terhadap Aleppo
Terjemahan & Olahan: Asmaa Yusof


Selepas siri pengeboman udara secara besar-besaran, tentera Syria kini mula melancarkan operasi serangan darat.

Menurut Al-Jazeera, serangan terbaru ini bermotifkan untuk menghapuskan pasukan penentang rejim dan menguasai semula bandar utama tersebut.

Selasa lalu, siaran televisyen Syria melaporkan bahawa terdapat tentera ditangkap di daerah Farafra, berhampiran kota terkenal Aleppo.

Seorang pegawai tentera turut memberitahu agensi berita AFP bahawa tentera kerajaan telah mengawal semua daerah Farafra.

Aleppo berhadapan serangan udara paling teruk sejak permulaan perang pada tahun 2011 dengan lebih daripada 400 orang dilaporkan terbunuh, manakala beratus-ratus lagi cedera.

Tentera Pembebasan Syria (FSA) memberitahu Al-Jazeera bahawa pasukan prokerajaan, termasuk
militia Syiah, telah menjalankan operasi serangan darat di daerah Bab Al-Antakya.

“Mereka (penentang rejim) berkata bahawa mereka mengelak serangan tersebut dan membunuh
beberapa militia prokerajaan semasa pertempuran yang berlangsung selama beberapa jam,” kata wartawan Al-Jazeera, Charles Stratford, melaporkan dari seberang sempadan Turki di Gaziantep.

“Di daerah Handarat, utara Aleppo, tentera kerajaan turut mara menentang pihak lawan,” katanya lagi.

Jet pejuang kerajaan yang mendapat sokongan dari tentera udara Rusia juga terus menyasarkan
serangan terhadap bandar.

Video yang diperoleh oleh Al-Jazeera menunjukkan serangan udara terbaru pada hari Selasa lalu
apabila pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian untuk menarik mangsa serangan dari bawah runtuhan.

Penduduk berkata bom telah digugurkan di kejiranan Al-Shaar dan membunuh 24 orang awam, termasuk 15 orang dari keluarga yang sama.

Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/09/syrian-troops-launch-major-ground-assault-aleppo-160927125537456.html

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− one = 1