Petikan Kuliah Jumaat Ayah Chik: Betul Kata Betul, Salah Kata Salah

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
BETUL KATA BETUL, SALAH KATA SALAH

Sabda Rasulullah SAW:

أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي مُنَافِقٌ عَلِيمُ اللِّسَانِ يُجَادِلُ بِالْقُرْآنِ

Perkara yang paling aku takut menimpa umatku adalah orang munafik yang alim lidahnya, berhujah menggunakan al-Quran
[HR Thabrani dan Bazzar]

Akan lahir orang yang pandai bercakap, dengan hujah yang menarik, pandangan yang menarik, tetapi menipu orang. Dia sendiri tidak percaya kepada Islam, dia sendiri tidak beramal dengan Islam, dia sendiri yang mengajak orang meninggalkan ajaran Islam, tetapi menggunakan hujah Islam.

Berkata Syeikh Muhammad Ali asSobuniy:
“Maknanya ialah Rasulullah SAW amat bimbang kalau muncul di dalam umatnya orang yang tidak ada pendirian, penipu dan berbohong yang menggunakan ilmunya untuk berbohong dan menjalanlan kerja munafik lalu menipu orang dengan dakwaan untuk kebaikan. Sesungguhnya ramai di zaman kita sekarang, mereka mencari keuntungan dunia dengan menggunakan agama dan memakai topeng bagi menurut kemahuan pemimpin kerajaan yang mengikut hawa nafsu.”

Kita sedang menghadapi zaman kerajaan umat Islam yang tidak mengikut syariat Islam. Ada pula ulama-ulama yang bercakap bagi pihak kerajaan sahaja, bukan bercakap atas dasar syariat Allah yang betul. Tidak dinafikan, ada ulama yang bekerja dengan kerajaan, namun mereka tetap pendiriannya. Yang betul dikata betul, yang salah kata salah. Ini tidak, yang salahpun dikata betul.

Yang betul dikata salah, inipun satu hal juga. Asal saja kerajaan, semuanya salah. Kerja nak lawan kerajaan saja. Ada juga perangai orang kita macam tu. Jadi terbalik habis. Tak ikut cara agama kita yang betul.

Yang salah dikata betul, yang betul dikata salah, ini juga tak boleh pakai. Dua-dua tak boleh pakai.

Kerana itu kita mesti istiqamah. Yang betul dikata betul. Yang salah dikata salah. Ini makna istiqamah sebenar.

Walaupun orang jahiliah buat perkara betul, Nabi tetap kata betul. Nabi SAW mengiktiraf Hakim at-Taiy yang melakukan kebaikan di zaman jahiliah. Dia tidak sempat dengan zaman Islam. Dalam satu peperangan, ada seorang tawanan yang mendakwa dirinya pengikut Hakim at-Taiy, lalu Nabi menyebut kebaikan-kebaikan Hakim sewaktu jahiliahnya, dan melepaskan tawanan tersebut kerananya. Inilah cara Islam yang sebenar.

Masjid Rusila
28 Zulhijjah 1437
30 Oktober 2016

(Alang Ibn Shukrimun)

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty two − = 72