Penciptaan Langit & Bumi

IRSYAD AL-FATWA KE-129: PENCIPTAAN LANGIT & BUMI

Soalan:

Bilakah berlakunya penciptaan bumi? Berapakah anggaran umur bumi sekarang ini?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tauhid yang benar akan membawa kepada satu kepercayaan yang utuh bahawa Allah SWT adalah Maha Pencipta dan Maha Besar. Tiada yang setanding dengan-Nya. Kekuasaan-Nya tiada batasan begitu juga dengan dan tiada juga yang mampu menandingi-Nya.

Firman Allah SWT:

بَدِيعُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَإِذَا قَضَىٰٓ أَمۡرٗا فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ

Maksudnya: Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia. 

(Al-Baqarah: 117)

 

Ayat di atas ingin memperlihatkan kekuasaan Allah SWT yang mana menciptakan langit dan bumi tanpa ada ciptaan yang semisal dengannya sebelum ini. Melalui ayat ini juga, Allah SWT ingin memperlihatkan akan kesempurnaan kemampuan-Nya serta keagungan kekuasaan-Nya.

 

Kejadian Langit & Bumi

Adapun mengenai kejadian langit dan bumi, Al-Quran banyak menyebutkannya, antaranya:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ ٱلرَّحۡمَٰنُ فَسۡ‍َٔلۡ بِهِۦ خَبِيرٗا 

Maksudnya:  Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas ‘Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.

(Al-Furqan: 59)

 

Seterusnya:

ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِيّٖ وَلَا شَفِيعٍۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ 

Maksudnya:  Allah lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa’at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

(Al-Sajdah: 4)

 

Para ulama’ telah berbeza pendapat pada menafsirkan  فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayah iaitu:

  • Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.
  • Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.

[Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Dar al-Fikr, 1/15]

 

Apapun pendapat yang terdapat di dalam permasalahan ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa.

.

Langit & Bumi: Mana Yang Diciptakan Dahulu?

 

Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰٓ إِلَى ٱلسَّمَآءِ فَسَوَّىٰهُنَّ سَبۡعَ سَمَٰوَٰتٖۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ

Maksudnya: Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

(Al-Baqarah: 29)

 

Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/15).

 

Umur Bumi

Saintis menganggarkan umur bumi berdasarkan batu batan yang terdapat di atas muka bumi. Mereka menganggarkan usia bumi sebagai 4.5 bilion tahun. Ini berdasarkan kajian radioaktif bahan uranium misalnya yang bertukar menjadi plumbum. Uranium sebagai bahan radioaktif yang terdapat batu batan mereput untuk bertukar menjadi plumbum yang lebih mantap. Saintis mengetahui separuh hayat uranium lalu melihat kuantiti logam tersebut yang masih tertinggal selepas pereputan berlaku. Lalu usia batu tersebut dianggarkan.

Saintis mengkaji Kristal zircon di Jack Hill Australia mendapati usianya sebagai 4.04 bilion tahun yang dianggap Kristal tertua yang ditemui di atas permukaan bumi, lalu mereka mengishtiharkan bahawa Australia benua tertua di dunia. Saintis Amerika pula mengishtihatkan Amerika sebagai benua tertua berdasarkan penemuan yang lain pula di Kanada. Saintis Muslim pula menganggap strata bumi di bawah Kaabah merupakan bumi tertua berdasarkan hadis yang menceritakan, Makkah merupakan bumi pertama muncul sebelum pembentangan daratan berlaku dan berhujah bahawa seluruh benua terjadi serentak daripada tectonic plate (lempeng bumi) yang sama lalu terpisah antara satu dengan yang lainnya sehingga terbentuk 7 benua yang berjiran. Penemuan zircon di Australia atau Amerika tidak menunjukkan bahan tersebut berasal dari bumi tetapi kemungkinan besarnya berhasil daripada ruang angkasa lepas sebagaimana intan dianggap saintis berasal dari angkasa lepas.

 

Penutup

Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan. Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya. Renunglah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang. Lihatlah hamparan daratan yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan. Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri. Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita. Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ١٩١

Maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

(Aal Imran: 190-191)

 

Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

21 September 2016 bersamaan 19 Zulhijjah 1437 H

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− one = four