Hukum Zakat Wang KWSP

Zakat Wang KWSP

Muzakarah Zakat7

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 Feb 1982 telah membincangkan Zakat Wang KWSP. Muzakarah telah memutuskan bahawa wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat bila cukup haulnya iaitu setahun setelah penerimaannya berdasarkan Mazhab Syafie.

Keterangan/Hujah:

LATAR BELAKANG

Setiap kakitangan kerajaan dan juga badan-badan berkanun dikehendaki mencarum sebanyak 9% daripada gajinya ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini bererti bahawa jumlah wang yang terkumpul hasil daripada pencaruman tersebut boleh meningkat kepada jutaan ringgit memandangkan jumlah kakitangan kerajaan dan badan-badan berkanun adalah ramai. Bilangan kakitangan berkenaan yang beragama Islam merupakan kumpulan majoriti yang mencarum kepada KWSP. Sekiranya dibuat potongan terhadap simpanan itu sebagai menunaikan kewajipan membayar zakat sudah tentu jumlah yang akan didapati cukup untuk dijadikan modal bagi mengembangkan harta dan dikembalikan faedahnya kepada golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang dijelaskan dalam Islam.

HUJAH DAN DALIL

Syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat harta adalah seperti berikut;

a. Islam (pemilik harta tersebut),
b. merdeka (bukan hamba tebusan),
c. cukup nisab (kadar yang ditetapkan),
d. haul (genap setahun), dan
e. sempurna milik.

Syarat yang tidak terdapat dalam KWSP yang hendak dikenakan zakat ke atasnya adalah sempurna milik. Ertinya harta yang hendak dikenakan zakat itu telah menjadi milik sempurna pencarum KWSP. Pencarum tersebut bebas untuk membelanjakan harta tersebut mengikut kehendaknya pada bila-bila masa. Berdasarkan peraturan KWSP iaitu wang yang dicarumkan itu tidak boleh dikeluarkan kecuali dalam keadaan yang telah ditetapkan seperti berikut:

Genap umur 55 tahun (umur bersara bagi kakitangan awam),Pencarum boleh mengeluarkan kadar tertentu sahaja daripada wang caruman itu apabila genap umur 50 tahun untuk tujuan tertentu dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan,Pencarum boleh mengeluarkan kadar yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan tujuan membeli rumah, danWang caruman tersebut boleh dikeluarkan oleh waris pencarum sekiranya pencarum  meninggal dunia.

Syarat-syarat yang ditetapkan menunjukkan pencarum tidak mempunyai kuasa ke atas wang simpanan tersebut untuk dibelanjakan bagi keperluan dirinya kecuali apabila telah tiba masa yang ditetapkan atau dengan tujuan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Ini bererti bahawa pencarum tidak memiliki hartanya (caruman) sebagai pemilikan sempurna di mana pemilikan sempurna merupakan salah satu syarat wajib zakat. Jika dilihat pada akhirnya wang caruman itu akan menjadi milik sempurna pencarum, namun ia berlaku apabila sampai tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/zakat-wang-kwsp

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

fifty two − 51 =