‘Brand Islam’ Dalam Dakwah: Antara Dakwah Islam Dan Dakwah Kapitalis

Zaman Milinium menampakkan segala ‘Brand Islam’ sangat laris dan menarik kerana masyarakat ingin kembali kepada Islam. Justeru, masyarakat dewasa ini sangat dahagakan tunjuk ajar dan didikan para ustaz dan ulama yang boleh menawarkan ‘Brand Islam’ ini.

Namun, media massa pula berorentasikan keuntungan mengambil kesempatan keuntungan ‘Brand Islam’ ditaja dan dijaja khususnya dalam program realiti. Bukan setakat itu, ceramah yang disiarkan juga bermatlamatkan keuntungan dan menarik penonton teramai.

Ramai sudah mengetahui orientasi media massa menampilkan golongan koperat menaja program mereka. Ya, media massa menawarkan iklan dan pemasaran barangan yang sangat berkesan. Tidak hairan, siaran perdana sangat ghairah menampilkan golongan koperat.

Penyakit pemasaran dan keuntungan sebagai dasar penyiaran program-program arus perdana juga meresap dalam dakwah di kaca tv. ‘Brand Islam’ dieksploit semahu-mahunya dengan menawarkan kandungan yang memenuhi prinsip penawaran dan permintaan Adam Smith yang sangat dekat dengan prinsip kapitalisme.

Dakwah kapitalis berorientasikan populariti untuk melariskan produk yang tidak berintikan prinsip asas Islam yang merupakan mesej dakwah Rasulullah s.a.w. Dakwah kapitalis sangat bersifat pragmatisme mengikut permintaan semasa.

Dakwah kapitalis lebih mengutamakan medium dan menggelamkan mesej dakwah Islam yang sebenar. Lantas, produk dakwah kapitalis adalah populariti individual atau jenama yang mengaut keuntungan material dan menenggelamkan ajaran Islam yang sebenar.

Sangat penting untuk diamati: Adakah penyakit kapitalisme yang mementingkan keuntungan benar-benar merosakkan konsep dakwah itu sendiri? Ya. Ia benar-benar merosakkan dakwah Islam kepada bentuk dakwah berbentuk kapitalisme. Dakwah berbentuk kapitalisme yang tidak membawa tugas penyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. tetapi memenuhi tuntutan penawaran dan permintaan semasa.

Masalah dakwah kapitalis ini pernah timbul seketika apabila Islam Hadhari yang pernah dipopularkan dan digembelingkan menggunakan istilah kapitalisme bagi memasarkan ‘Brand Islam’ dalam Islam Hadhari. Ia dipenuhi dengan istilah ‘modal insan’ dengan melihat manusia sebagai komoditi untuk melonjak kemajuan agar mencapai sasaran wawasan 2020. Pendekatan ini sangat tersasar kerana tidak seharusnya manusia dilihat sebagai modal insan tetapi perlu dilihat manusia sebagai agen yang mempunyai nilai kemanusiaan.

Tambahan pula, seseorang Muslim perlu dilihat sebagai agen dakwah yang perlu dilihat melebihi dari komoditi. Dakwah Islam sepatutnya menyahut seruan Nabi:

بلغوا عني ولو آية
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat.

Justeru, dakwah perlu fokus menerangkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercerita mengenai perjuangan Nabi. Bukannya menjadi barangan dangangan yang mensasarkan keuntungan semata-mata.

Sepatutnya, media massa perlu dilihat sebagai agen pendidik dan agen pendakwah yang mengajak manusia kepada kebenaran dan kebaikan. Itulah sebenarnya dan sepatutnya dilakukan bagi media massa terutamanya RTM1 dan RTM2 yang merupakan lidah rasmi kerajaan. Bukannya membiarkan keinginan rakyat yang menginginkan didikan Islam dan ‘Brand Islam’ menjadi bersifat barangan dagangan yang memenuhi keperluan koperat dan elitis semata-mata.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty five − = 32

Comments

  • Abu Ubaidah September 6, 2016 at 9:10 am

    Assalamualaikum.. Satu cadangan daripada saya, artikel-artikel yang disiarkan di dalam ulamasedunia.org ini banyak mengandungi kesalahan. Oleh itu saya mencadangkan supaya penelitian terhadap struktur bahasa, ejaan dan sebagainya diberi perhatian oleh admin. Supaya website ini tampak lebih kemas serta professional dalam menyebarkan informasi.

    .

    Reply