Hukum Mendapatkan Visa Haji

IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI 13: HUKUM MENDAPATKAN VISA HAJI

Mukadimah

Alhamdulillah, selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Di antara rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba hamba-Nya ialah apabila Dia mengikat kefardhuan haji  ke atas mereka dengan melihat kepada kemampuan mereka dalam melaksanakannya. Firman Allah SWT :

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلا

Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan ke atas manusia kepada Allah bagi sesiapa yang berkemampuan.

 

Melalui ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa kefardhuan haji ke atas kaum muslimin terikat dengan kemampuan mereka dalam mengerjakannya. Ketidakmampuan seseorang dalam melaksanakan ibadah haji adalah disebabkan oleh beberapa perkara. Antaranya ialah faktor kemiskinan, kesihatan, dan juga faktor pengurusan seperti tidak memiliki visa untuk mengerjakan haji.

Di dalam Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban siri ini, suka untuk kami jelaskan berkaitan ketidakmampuan seseorang dalam mendapatkan visa bagi mengerjakan haji. Isu visa atau disebuttasrih sentiasa menjadi perbincangan utama kerana ia merupakan pas masuk ke sesebuah negara. Mudah mudahan, ada permasalahan yang dapat dirungkaikan Insha Allah.

 

Tidak Mampu Memperoleh Visa Haji

Dengan meneliti dan meraikan kepadatan penduduk bagi sesebuah negara, serta mengambil kira nisbah kaum muslimin yang menetap di dalam negara negara orang bukan islam, para ulama dan golongan yang pakar telah menentukan kadar bilangan tertentu bagi penduduk penduduk di setiap negara islam untuk melaksanakan ibadah haji.

Isu visa merupakan isu baharu dan bukannya isu lama. Apabila kita meneliti pandangan para ulama terdahulu, kita akan dapati bahawa mereka telah mengkaji suatu isu yang hampir sama dengan permasalahan ini iaitu تخلية الطريق وأمنه (keadaan jalan yang selamat) ketika mereka berbicara tentang syarat wajibnya haji. Adakah keamanan dan keselamatan jalan merupakan satu syarat dalam kewajipan haji atau syarat untuk memestikan perlaksanaan haji ?

 

Definisi Perjalanan Yang Selamat:

Hendaklah perjalanan ke baitullah dilalui dengan tenang dan selamat tanpa ada musuh yang menghalang ataupun pemerintah zalim yang melarang manusia dari menuju ke baitullah al-haram.

Di dalam kitab Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah menyebut: Maksud perjalanan yang selamat ialah tiada halangan dari musuh dan seumpamanya.[1]

Sekiranya seseorang tidak memperoleh visa, dia tidak akan mampu untuk datang melakukan haji, juga tidak boleh untuk memasuki tempat-tempat suci, bahkan dia juga tidak mampu untuk masuk ke negara Arab Saudi. Maka tidak memiliki visa juga termasuk dalam tiada keselamatan iaitu sesuatu jalan tidak boleh dimasuki bagi sesiapa yang tidak memiliki visa.

Para ulama telah berbeza pandangan dalam masalah تخلية الطريق kepada dua pendapat:

Pertama : Kosongnya jalan dari musuh adalah syarat wajibnya haji. Sekiranya jalan tersebut tidak sunyi dari halangan-halangan dan juga musuh-musuh yang menghalang maka sesungguhnya tidak wajib bagi seorang muslim untuk melakukan haji, sekalipun jika dia memiliki harta dan dia dalam keadaan sihat sejahtera.

Inilah pandangan para ulama Malikiyyah[2], Syafieyyah[3], Hanabilah[4], serta satu riwayat dari Hanafiyyah.[5]

Justeru, jika seseorang tidak memperoleh visa maka jalan tersebut dianggap tidak sunyi dari sebarang masalah. Maka dalam kes ini, haji tidak wajib ke atas mereka yang tidak berjaya mendapatkan visa.

 

Pendapat kedua : Kosongnya jalan dari halangan halangan dan musuh bukanlah syarat wajibnya haji. Akan tetapi ia merupakan syarat luzum (mesti) dalam melaksanakan haji. Inilah pandangan Hanabilah[6] dan juga riwayat kedua dalam mazhab Abu Hanifah.[7]

Justeru, apabila seorang muslim mampu dari sudut harta dan tubuh badan, maka wajib ke atasnya haji. Akan tetapi tidak wajib ke atasnya untuk melaksanakannya pada waktu tersebut sehinggalah laluan untuk mengerjakan haji itu kosong dari sebarang halangan dan dia mampu untuk meneruskan perjalanan.

 

Perbezaan Antara Dua Pandangan :

Berdasarkan pendapat pertama, kosongnya jalan dari sebarang halangan dan juga musuh adalah syarat wajibnya haji. Apabila dia mati maka tidak dilakukan haji bagi pihaknya menggunakan harta peninggalannya. Dan Allah tidak akan menyoalnya berkenaan perkara tersebut. Kerana Allah SWT berfirman:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلا

Maksudnya : Mengerjakan haji adalah kewajipan ke atas m,anusia kepada Allah bagi sesiapa yang berkemampuan.

 

Surah Aali Imran (97)

Berdasarkan pendapat ini, sesiapa sahaja yang tidak berjaya untuk mendapatkan visa dan terhalang dari mendatangi tempat-tempat suci dan juga baitullah serta tidak mampu mengerjakan haji, maka tidak wajib ke atasnya mengerjakan ibadah haji. Sekiranya dia mati dalam keadaan ini, haji tersebut tidak perlu diqadhakan dan tidak perlu dilakukan haji untuknya dari harta peninggalannya.

 

Berdasarkan pendapat yang kedua: Bahawa ia merupakan syarat dalam melaksanakan haji. Dalam kes ini seseorang itu tidak berdosa jika tidak melakukan haji. Akan tetapi, ibadah haji tetap kekal di dalam tanggungannya. Apabila dia meninggal dalam keadaan ini, akan diambil dari harta peninggalannya dan dibayarkan kepada orang yang melakukan haji bagi pihaknya. Ini kerana, haji kekal wajib ke atas dirinya. Akan tetapi, perlaksanaannya gugur ke atasnya atas sebab tidak mampu untuk sampai ke Masjid Al-Haram.

 

Hujah Bagi Pendapat Pertama:

Golongan yang berpegang dengan pandangan ini berdalilkan ucapan Allah SWT :

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلا

Maksudnya: Mengerjakan haji adalah kewajipan ke atas manusia kepada Allah bagi sesiapa yang berkemampuan.

Surah Aali Imraan (97)

Kata mereka : Sesungguhnya Allah SWT telah mensyaratkan kemampuan, dan tidak ada kemampuan tanpa adanya keamanan dalam perjalanan. Sebagaimana tiada kemampuan tanpa ada bekalan atau kenderaan. Maka, selama mana seseorang itu tidak berkemampuan menuju ke Baitullah Al-Haram, dia merupakan seorang yang tidak mampu dan orang yang tidak mampu tidak wajib ke atasnya mengerjakan haji.[8]

 

Dalil Bagi Pendapat Kedua:

Para fuqaha yang berpegang dengan pendapat ini berdalilkan sebuah hadis yang masyhur iaitu ketika Nabi SAW ditanyakan tentang apakah itu as-sabil (perjalanan) ? Maka baginda menjawab :

‏ الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya : Bekalan dan juga kenderaan.

Riwayat Al-Tirmizi (813)

Kata mereka: Syarat wajib adalah bekalan dan juga kenderaan. Apabila terdapat keduanya maka wajiblah haji. Perkara selain dari keduanya merupakan syarat kelaziman dalam melaksanakan haji. Apabila seseorang mati, dan dia tidak mempunyai kedua-duanya maka perlu untuk orang lain melakukan haji bagi pihaknya dari harta peninggalannya. Kerana Nabi SAW mentafsirkan kemampuan dengan bekalan dan juga kenderaan sahaja dan tidak selainnya.[9]

 

Perbincangan : Pandangan ini dibincangkan dengan mengatakan bahawa hadis yang digunakan merupakan hadis yang dhaif. Ia telah didhaifkan oleh beberapa ulama hadis seperti Al-Hafiz Al-Baihaqi[10], Ibn Abd Al-Barr[11], Al-Zaila’ie[12], Ibn Hajar Al-Asqalani[13], serta Al-AlbaniRahimahumullahu ta’ala.

Oleh yang demikian, pendalilan menggunakan hadis ini adalah tidak tepat. Ini kerana ia merupakan riwayat yang mursal dari sebahagian tabiin seperti Hasan Al-Basri. Jika benar demikian, maka ia tak boleh dijadikan hujah.

 

Tarjih :

Setelah meneliti pandangan pandangan yang berikut, pendapat yang paling tepat di sisi kami ialah pandangan pertama yang mengatakan visa haji merupakan syarat wajibdalam perlaksanaan haji.

Berdasarkan pentarjihan ini  yang telah dipilih oleh para ulama kontemporari seperti Syaikh Ibn Baz, Syaikh Ibn Al-Uthaimin –Rahimahumallah – maka kami katakan kepada keseluruhan kaum Muslimin, bagi sesiapa yang ingin menunaikan haji dan memiliki bekalan dan juga kenderaan tetapi dalam masa yang sama tidak memperoleh visa haji, tidak wajib ke atasnya untuk mengerjakan haji sehinggalah dia mendapatkan visa tersebut. Sesungguhnya kamu termasuk dalam golongan yang diberikan pengecualian oleh Allah. Namun begitu, sekiranya seseorang sudah memperoleh visa haji, maka wajib ke atasnya untuk mengerjakannya. Manakala sesiapa yang mati dalam keadaan tidak sempat memperoleh visa dia sesungguhnya tidak berdosa dan tidak akan disoal akan hal tersebut. Kerana Allah SWT berfirman :

 

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kemampuan dirinya.

Al-Baqarah (286)

Penutup

Berdasarkan kepada kajian di atas dan juga pentarjihan, maka kami sekali lagi berpendapat isu mendapatkan visa haji atau umrah termasuk dalam perkara istitha’ah seperti yang dinaskan oleh Al-Quran Al-Karim. Sebagai kesimpulan, kami menasihatkan para jemaah haji supaya tidak mengambil enteng akan isu mendapatkan visa haji. Ini kerana, ia merupakan proses birokrasi yang akan menyebabkan masalah kepada jemaah haji jika tidak diikuti dengan baik. Mudah-mudahan, kita dapat menjalankan ibadah haji dengan selesa dan tenang, tanpa ada sebarang masalah dan gangguan.

 

Akhukum Fillah

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

2 September 2016 bersamaan 30 Zulkaedah 1437 H.

 

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ twenty eight = thirty two