Kemerdekaan Hakiki

Bersempena dengan ulang tahun sambutan kemerdekaan, suka untuk saya sebutkan bahawa pemimpin-pemimpin ulum dalam kalangan ulama adalah golongan pertama yang melibatkan diri dalam perjuangan menggerakkan kemerdekaan.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu ramai dalam kalangan kita yang bersekongkol dengan penjajah dengan menjadi pegawai -pegawai mereka.

Namun, ulamak tidak menyerah kalah. Mereka adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan dan merupakan mata rantai perjuangan sejak kemenangan islam yang membawa kemerdekaan yang sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada mahkluk kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Itulah makna kemerdekaan yang sebenar. Oleh kerana itu nabi kita Muhammad SAW dalam perjuangan pertama, baginda menentang jahiliyah arab, bukan jahiliyah bangsa lain.

Sehingga berhijrah ke Madinah mendirikan negara Islam, sebuah negara yang berlandaskan kepada pengabdian kepada Allah SWT yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan juga penganut-penganut agama lain yang bernaung dibawah pemerintahan Islam.

Selepas itu, nabi kita Muhammad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliyah.

Mekah bukan dijajah oleh penjajah asing Rom, dan Parsi; tetapi, dijajah oleh jahiliyah arab dalam kalangan keluarga Nabi Muhammad SAW.

Sehingga mekah dibebaskan dan inilah kemerdekaann yang sebenar.

Obor kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rib’ie Bin Amir kepada Rustum panglima tentera Parsi.

Dengan kenyataan Rib’ie yang terkenal;

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا الى سعتها،ومن جور الاديان الى عدل الاسلام.

“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Bermaksud, Islam mengajak siapa yang mahu,kepada satu gagasan ,dasar dan konsep daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah.

Daripada kezaliman ajaran berbagai-bagai agama, syirik dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah swt. Daripada bumi yang sempit kepada wawasan hari akhirat.

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW bahkan kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam.

Kita menentang penjajah asing, bukan kerana asingnya, tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk, bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Kita halau mereka bukan kerana mereka asing, tetapi kerana mereka membawa ajaran sesat yang menyeleweng daripada petunjuk Allh SWT.

Walaupun negara kita Malaysia sudah lama mencapai kemerdekaan, tapi barisan penjajah masih lagi wujud , bertapak dan berakar umbi dalam kalangan masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap perjuangan kemerdekaan belum selesai dan kita perlu terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenar iaitu membebaskan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia samada berbentuk ideologi, teori atau kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.

Kita mengajak mereka untuk membebaskan diri daripada belengu tersebut kepada Islam yang membawa kemerdekaan .

Itulah dasar dan konsep kemerdekaan yang dibawa.

 

Aisyah Yamin


*Tulisan ini sekadar pandangan peribadi penulis, ia bukan kenyataan rasmi daripada pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

ninety four − = eighty five