Al-Shura Dalam Islam Adalah Perbincangan Yang Melibatkan Strategi Bukan Prinsip

Ramai beranggapan bahawa Islam menganjurkan Al-Shura iaitu bermesyuarat dalam semua urusan.

Padahal bukan semua urusan perlu dibincangkan dan dimesyuaratkan. Ada beberapa perkara yang tidak boleh dimesyuaratkan dan hanya perlu menerima dengan sebulat hati seperti menyambut arahan Allah SWT yang jelas dan putus dalam Al-Quran dan hadis, prinsip dan undang-undang Syarak yang telah tetap dan sesuatu yang telah digunapakai dalam agama secara ijmak.

Sandaran Al-Shura adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وشاورهم فى الأمر

(Al-Quran, Surah Ali ‘Imran 3: 159)

Maksudnya: dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.

Ayat ini mengarahkan Muslim bermesyuarat yang disebut ‘Al-Shura’. Al-Shura merupakan penghasilan idea dengan idea yang pelbagai. ‘Al-Amr’ pula bermaksud urusan ummah berbentuk keduniaan yang perlu diperhatikan oleh pemerintah. Bukan ‘Al-Amr’ di sini bermaksud agama kerana agama adalah berasaskan wahyu bukan pandangan. Jikalau agama berasal dari akal, jadilah agama ini merupakan ketentuan dan ciptaan manusia.

Oleh yang demikian, mesyuarat adalah pada sesuatu yang tidak ditentukan wahyu yang memberi peluang kepada manusia untuk menguasai hal-hal keduniaan dan menyenangkan hati orang ramai.

Malah, mesyuarat merupakan pengajaran kepada para pemimpin-pemimpin Islam.

Walaupun pandangan pemimpin ada kalanya benar, pandangan ramai lebih menjauhkan dari kesilapan. Tambahan pula, lebih bahaya jikalau urusan ummat hanya bergantung kepada seseorang individu sahaja. Al-Shura juga harus kepada para tentera dalam urusan peperangan, kepada orang ramai dalam urusan harian mereka, kepada para pekerja dan profesional dalam merangka pembangunan negara.

Ayat ini juga merupakan arahan kepada Rasulullah SAW sebelum perang Uhud bermula.

Ayat ini mengingatkan sebelum peristiwa besar terjadi, hendaklah pemimpin mengambil pandangan ramai secara bermesyuarat dengan melihat pelbagai pandangan dan memilih pandangan yang paling patut agar pandangan tersebut merupakan keazaman yang kuat dari orang ramai.

Namun, timbul persoalan, mengapakah perlu bermesyuarat sedangkan Rasulullah SAW juga adalah bijaksana dan diperkukuhkan dengan wahyu Ilahi? Begitu juga, Rasulullah SAW adalah pemimpin yang boleh mengeluarkan arahan sama ada pada sesuatu yang disukai mahupun pada sesuatu yang dibenci.

Perbincangan sedemikian bukanlah melibatkan prinsip tetapi melibatkan strategi berhadapan musuh dengan helah peperangan.

Ini menunjukkan bahawa Al-Shura merupakan sebahagian dari hukum syarak. Malah, para pemimpin yang tidak merujuk kepada ulama dan bermesyuarat dengan mereka, maka kita berkewajiban memboikot pemimpin tersebut.

Tiada khilaf dalam kalangan ulama mengenai kewajiban memboikot ini. Bahkan, Al-Shura merupakan asas penting dalam sistem Islam. Walaupun bentuk Al-Shura tidak dinyatakan, hakikat Al-Shura perlu dipenuhi mengikut sistem Islam.

Para ulama bersepakat tidak harus bermesyuarat pada urusan agama.

Jikalau mesyuarat dalam urusan agama yang tiada kedapatan nas, mesyuarat pada urusan agama adalah harus sebagaimana yang Rasulullah SAW berijtihad terhadap tahanan-tahanan perang Badar. Al-Quran hanya turun selepas ijtihad Rasulullah SAW dengan menyebut sepatutnya tahanan-tahanan tersebut dihukum bunuh. Al-Quran bukannya menolak ijtihad Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, saranan Al-Quran dan ijtihad nabi adalah terpakai.

Sebaliknya, jikalau Al-Quran bertentangan dengan segala pandangan, ijtihad dan qias, raikan Al-Quran dan segala pandangan lain adalah terbatal sama sekali.

Namun, ada beberapa pengecualian Al-Shura yang berkaitan urusan agama dan berkaitan hukum-hakam sebagaimana berikut:

Pengecualian Pertama: Pada urusan yang tiada khilaf.
Ketika para pemimpin bermesyuarat yang inginkan kepastian kewujudan nas dan hukum syarak dan bertanyakan keinginan ini kepada para ulama. Pemimpin tersebut tidak mengetahui dan ragu pada urusan agama. Dalam keadaan ini, bentuk mesyuarat ini adalah wajib agar menghilangkan keraguan dan kesamaran.

Pengecualian Kedua: Pada urusan yang ada khilaf.
Seseorang harus memilih sesuatu yang dikhilafkan oleh para ulama.

Namun, hendaklah pilihannya lebih dekat dengan saranan Al-Quran dan Al-Sunnah bukan berdasarkan kepada kehendak dan hawa nafsu semata-mata.

Pengecualian Ketiga: Pada pemilihan sesuatu yang harus.
Semua perkara yang harus dalam hukum Syarak adalah bebas memilihnya. Seharusnya pilihan adalah pada sesuatu yang paling mudah dan dapat memenuhi fitrah manusia.

Kesimpulannya, perbincangan dalam Al-Shura adalah dibenarkan dalam urusan keduniaan yang melibatkan strategi dan helah.

Manakala perbincangan dalam urusan agama adalah tertegah sama sekali. Hanya beberapa pengecualian sahaja yang dibenarkan.

Larangan perbincangan dalam perkara ini adalah bagi menutup fitnah liberalisme, sekularisme, radikalisme dan ekstremisme bagi memelihara keharmonian hidup beragama berasaskan prinsip Al-Quran, Al-Sunah dan qias.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty four − twenty two =