Kemaraan dan kegagalan projek pasca-Islamisme

Kemaraan dan kegagalan projek pasca-Islamisme
Oleh: HARIS ZALKAPLI


Projek pasca-Islamisme, yang dapat disaksikan melalui satu usaha menghalakan dan mendesak gerakan-gerakan Islam mengambil haluan yang liberal dan mengikuti segala nilai demokrasi Barat, terus menjadi salah satu agenda utama Barat dalam menghadapi kebangkitan dan peningkatan pengaruh gerakan Islam seluruh dunia.

Parti-parti Islam yang dilihat sebagai “tradisional” dan “fundamentalis” dilihat sebagai satu ancaman kepada orde liberal dan norma yang dibina dan didukung Barat pada masa kini, terutama melalui pendirian politiknya yang bertentangan dengan dominasi Barat dan usaha pelaksanaan syariah yang bertentangan dengan norma yang terlaksana selama ini.

Sejak sekitar dua dekad lalu, telah muncul parti-parti yang dapat dinilai sebagai parti pasca-Islamis, yang memperlihatkan beberapa kejayaan.

Kebangkitan dan kemaraan parti-parti pasca-Islamis ini walau bagaimanapun ada pasang surutnya, dari segi kepatuhannya pada nilai-nilai asas pasca-Islamisme dan sokongan, terutama dalam bentuk undi daripada rakyat.

Dalam menghadapi tekanan sejak berdekad lalu, gerakan Islam amat tercabar dalam usaha mengekalkan prinsip-prinsip dan strategi sebagai gerakan Islam yang terlibat dalam arena politik sebagai salah satu medan aktiviti utamanya.

Tekanan ini menjadi satu faktor yang mengukuhkan usaha mengangkat pasca-Islamisme sebagai satu model untuk gerakan Islam.

Selepas kemunculan wacana “Islam dan demokrasi” yang muncul sekitar dua dekad lalu, terutama selepas berlaku peristiwa serangan 11 September, 2001, tekanan terhadap gerakan Islam semakin kuat, dengan gerakan-gerakan (atau individu-individu dalam sesetengah gerakan) yang apologis cuba menyesuaikan diri dengan wacana hak asasi dan demokrasi yang dibawa dan dipaksakan oleh Barat.

Pada masa itu, sesetengah pihak dalam gerakan Islam cuba menyesuaikan diri dengan wacana dominan Barat itu, dengan harapan dapat diterima oleh Barat dan kelompok pro-Barat sebagai Islamis yang moderat dan progresif.

Sekitar masa inilah muncul Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, yang menang dengan penuh bergaya dan diangkat tinggi sebagai satu model kepada gerakan Islam seluruh dunia, dan pada masa yang sama, parti Islam yang ditinggalkan kurang menerima sokongan dalam politik Turki, terutama diperhatikan melalui keputusan-keputusan di peti undi.

Parti ini perlu diakui mempunyai beberapa kelebihan yang boleh dicontohi sebahagiannya, iaitu bercakap dalam bahasa orang awam dan memberi tumpuan pada isu-isu yang menyentuh kepentingan ramai terbanyak.

Tetapi, semua ini tetap boleh dilakukan tanpa mengubah identiti menjadi parti pasca-Islamis. Kurangnya tumpuan sesetengah gerakan Islam pada beberapa isu yang dilihat sebagai “isu rakyat” dan “good governance” tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kegagalan yang memerlukan perubahan kepada landasan baharu pasca-Islamisme.

Seperti yang dilihat pada hari ini, selepas pelbagai perkembangan dramatik di seluruh dunia Islam terutama di wilayah Asia Barat dan Afrika Utara, dapat diperhatikan bahawa tesis pasca-Islamisme ini banyak kelemahannya, terutama melibatkan ruangnya yang sempit.

Sepanjang tercetusnya kebangkitan massa di dunia Arab di Asia Barat dan Afrika Utara, model pasca-Islamisme dibicarakan sebagai pilihan yang tepat untuk negara-negara yang baru memasuki fasa baharu yang lebih demokratik, seperti yang dilihat dan disimpulkan pada masa itu.

Turki yang telah diperintah lama oleh sebuah parti yang berimej Islamik tetapi mengamalkan demokrasi liberal dan ekonomi pasaran bebas diangkat sebagai model, dan menarik banyak pihak seluruh dunia.

Populariti pemimpin AKP dan pemikir dari Tunisia, Rached Ghannouchi menjadikan episod ini semakin menarik kepada mereka yang cenderung kepada pasca-Islamisme.

Dua negara terbabit, Turki dan Tunisia kebetulan juga mempunyai tarikan masing-masing, melibatkan pemimpin-pemimpin Recep Tayyip Erdogan dan Ghannouchi. Tunisia juga negara pertama yang menyaksikan kejatuhan diktator semasa bermula kebangkitan pada pengujung tahun 2011.

Sekitar masa yang sama juga, PAS di Malaysia mengalami pergolakan dalaman antara majoriti yang berpegang pada ideologi dan prinsip asalnya dengan satu kelompok yang mahu PAS mengubah haluan kepada landasan pasca-Islamisme.

Walaupun perbezaan telah bermula dengan agresif sejak 2008, masa yang pada masa itu dilihat sebagai tempoh parti-parti pembangkang hampir merampas tampuk kuasa di peringkat persekutuan, tahun sejak bermula kebangkitan Arab bermula 2011 menyaksikan pihak pasca-Islamis menampakkan hala tuju mereka.

Keadaan parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional yang semakin lemah dan suasana kebangkitan rakyat dirasakan sebagai satu masa yang tepat untuk melihat pemerintah sedia ada jatuh dan gabungan pembangkang menang dan menubuhkan kerajaan.

Pada masa ini, ramai melihat keperluan parti pasca-Islamis ditubuhkan di Malaysia, bermodelkan AKP di Turki seperti yang dinyatakan sendiri oleh pihak yang akhirnya keluar daripada PAS itu.

Kejayaan besar AKP selepas berpisah daripada parti asalnya yang lebih konservatif dan lebih jelas identiti Islamnya dirasakan sebagai satu yang boleh disalin dan terlaksana di Malaysia.

Semangat ini mendorong satu usaha bersepadu dari pelbagai pihak di dalam dan luar PAS ke arah menubuhkan satu wadah baharu yang dilihat akan menggantikan PAS yang dikatakan semakin tidak relevan.

PAS dilihat sebagai jumud dan terperangkap dengan model lama yang eksklusif, manakala parti baharu yang bakal dibentuk itu dikemukakan sebagai bersifat lebih budiman dan inklusif.

Latar peristiwa dunia Islam itu telah menyumbang kepada wacana dan sentimen yang mendorong kepada usaha penubuhan satu gerakan pasca-Islamis, yang melalui pelbagai bentuk – termasuk cubaan untuk menamakan parti itu sebagai Parti Progresif Islam – sebelum akhirnya muncul sebagai sebuah parti yang menggabungkan pelbagai pihak daripada pelbagai aliran.

Hari ini, perkembangan berkait kemaraan pasca-Islamisme kelihatan bercampur-campur, dengan satu pihak memperlihatkan kepelbagaian strategi sehingga hampir menenggelamkan identiti pasca-Islamisme, dan satu pihak lagi membuat penegasan penting yang partinya bukan lagi parti Islam tetapi kini parti demokrat.

Model seperti yang ditunjukkan oleh AKP yang menguasai kerajaan kelihatan berdepan laluan yang sukar, tetapi pada masa sama parti en-Nahdah di Tunisia menegaskan identitinya selari dengan nilai-nilai pasca-Islamisme, wacana yang dijangka disambut dengan gembira oleh pendukung dan pengikut pasca-Islamisme, berpotensi menggantikan model Turki dengan model Tunisia.

Di Malaysia, pasca-Islamisme berdepan cabaran getir, apabila model yang cuba diikuti itu kelihatan tidak dapat dilaksana, dan pada masa sama, Islamis dan etno-nasionalis (yang sering dikemukakan sebagai jahat dan rasis oleh pasca-Islamis) kelihatan mempunyai tarikan – dan juga potensi untuk terus menerima undi besar – kepada masyarakat Muslim negara ini.

*Tulisan ini sekadar pandangan peribadi penulis, ia bukan kenyataan rasmi daripada pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

forty eight + = 50