Adakah Janin Yang Gugur Perlu Disolatkan?

SOALAN:

Assalamualaikum YBHg Datuk Mufti.

Mohon penjelasan, bagaimana kah pengurusan bayi gugur yang berusia 6 bulan. Ada ustaz kata wajib solat tapi apa pula yang kata tak wajib solat. Mana satukah jawapan yang betul?

JAWAPAN:

Waaalaikumussalam wbt,

Di sini memiliki beberapa perincian;

Jika janin tersebut gugur selepas 4 bulan dan terzahir tanda kehidupan dengan teriakan atau suara (istihlal), kemudian mati maka sepakat ulama bahawa bayi tersebut perlu dimandikan, disolatkan, dikafankan dan ditanam kerana dia adalah seorang manusia yang bernyawa.

Jika kandungan tersebut gugur sebelum 4 bulan dan tiada istihlal, maka tidak diwajibkan untuk dimandikan atau disolatkan. Cukup diletakkan dalam bungkusan kain dan ditanam. Namun, begitu jika janin gugur selepas 4 bulan umur kandungan tetapi keluarnya tanpa ada istihlal atau bergerak (tanda-tanda nyawa), maka disini ulama berbeza pandangan;

Pertama, al-siqt, atau kandungan yang gugur itu dimandikan dan disolatkan kerana kandungan yang berusia 120 hari sudah dimasuki ruh. Ini ialah pendapat qadim Imam al-Syafie.

Kedua, kandungan yang gugur itu tidak disolatkan kerana tidak sabit baginya hak-hak dunia seperti perwarisan dan sebagainya, lantaran tidak bukti roh pernah dimasuki. Ini ialah pendapat jadid Imam al-Syafie dalam al-Umm. Inilah pendapat yang asah menurut Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab.

Rujuk al-Majmu’ (5/255)

Kami melihat dalam isu ini perubahan janin selepas 120 hari sudah menunjukkan bentuk manusia daripada hanya sekadar segumpal darah, daging dan tulang. Jika kita merujuk kepada hadis Ibn Mas’ud RA dalam himpunan Hadis 40 Imam Nawawi Rahimahullah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلقُهُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثمَّ يَكونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ، فَيَنفُخ فِيهِ الرُّوحَ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap seorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam Rahim perut ibunya selama 40 hari, kemudian jadilah (nutfah) itu segumpal darah selama tempoh itu juga, kemudian jadilah (`alaqah) itu segumpal daging selama tempoh itu juga, kemudian diutuskan malaikat dan ditiupkan dalamnya ruh.

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim

Hadis ini menunjukkan bahawa dalam tempoh 120 hari itu janin sudah terbentuk dengan rupa manusia dan telah diberikan nyawa. Justeru, kami cenderung untuk menyatakan apabila janin sudah berusia 4 bulan, sudah cukup anggotanya, lalu gugur mati tanpa terzahir suara tangisannya, sunat hukumnya untuk dimandikan dan disolatkan.

Wallahua’lam.

Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/JdmdeZ

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

52 + = sixty one