Perang Pasca Perang Dingin Siri III: Kebangkitan Semula Rusia Dan Eurasia

Perang Dingin diperkatakan berakhir apabila Soviet Union dan Parti Komunis di Rusia ditamatkan pada 1991 hasil kerjasama Mikhail Gorbachev dan Boris Yeltsin. Gorbachev yang merupakan presiden terakhir Soviet Union telah meranapkan sistem ekonomi sosialis dan memulakan sistem ekonomi terbuka. Manakala Yeltsin mengambil peluang cubaan rampasan kuasa pemimpin kanan Parti Komunis dengan mengharamkan dan menangkap para pemimpin dan ahli Parti Komunis.

Ramai menyangka Perang Dingin sudah berakhir selepas peristiwa ini. Padahal, strategi Perang Dingin tidak terhenti. Terutamanya apabila George Bush melanggar perjanjian peluru berpandu Balestik Amerika-Rusia dan menempatkan senjata jarak jauh di Poland. Bermula perlanggaran perjanjian ini perang dingin Amerika-Rusia bermula semula. Ketika itu, presiden Rusia adalah Vladamir Putin. Lalu, Putin dituding sebagai pemimpin agresif.

Bertambah panas hubungan Bush-Putin dan Amerika-Rusia apabila Amerika mengambil sikap sepihak dan unilateral Perang Teluk dengan menyerang Iraq yang merupakan bekas negara blok Timur dan pro-Rusia. Oleh demikian, Rusia tidak pernah menyokong perang Teluk. Walaupun begitu, Rusia tidak menggunakan kuasa vetonya.

Perang dingin sememangnya bermula kembali yang bukan atas asas ideologi tetapi atas asas Amerika yang menjadi kuasa besar tunggal dunia. Amerika menunjukkan sikap samseng dengan menyerang negara-negara Islam tanpa persetujuan masyarakat antarabangsa. Malah, Amerika turut mengganggu Rusia dan China terutamanya dari aspek ekonomi.

Amerika, Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) berpakat membuat sekatan ekonomi terhadap Rusia. Sekatan ini menyebabkan Putin melakukan lawatan rasmi bertemu Pemimpin Utama China iaitu Wen Jiabao agar dapat beralih perdagangan Eropah-Rusia kepada perdagangan Rusia-China. Lawatan ini berjaya memberi nafas baru kepada Rusia. Bahkan, perdagangan dua hala ini menekankan penggunaan matawang negara masing-masing bukan berasaskan dolar Amerika.

Kemudian, Rusia melakukan ancaman terhadap EU dengan menyatakan hasrat pemberhentian penjualan gas asli Rusia ke Eropah. EU membalas ancaman ini dengan menyatakan bahawa pemberhentian ini akan menyebabkan perang dunia ketiga. Oleh demikian, perbincangan antara EU dan Rusia berterusan sehingga sekatan ekonomi pun berakhir. Hubungan ini tidak disenangi oleh Amerika.

Isu Crimea juga menimbulkan perang dingin dengan Rusia yang tidak disenangi Amerika, NATO dan EU. Padahal, Crimea adalah bekas wilayah Rusia yang dipimpin oleh Gorbachev sewaktu Kesatuan Soviet dahulu. Tambahan pula, pungutan suara rakyat Crimea bersetuju kembali kepada Rusia. Namun, berlainan pandangan Amerika, NATO dan EU. Pengembalian Crimea kepada Rusia bermakna penguasaan Rusia terhadap Laut Hitam.

Kedudukan Crimea di tengah-tengah Laut Hitam menjadikan Laut Hitam merupakan pengkalan tentera laut terpenting buat Rusia. Kekuatan kapal-kapal perang Rusia di Laut Hitam menimbulkan provokasi balas dari EU, NATO dan Amerika yang masing-masing membawa kapal perang di Laut Hitam. Provokasi ini tidak disenangi negara-negara sekitar Laut Hitam. Semua kapal perang diminta keluar melainkan kapal perang milik negara sekitar Laut Balkan.

Negara kejiranan Laut Hitam adalah Rusia, Ukrain, Romania, Bulgaria, Turkey dan Georgia. Kedudukan Turkey adalah sangat penting kerana Turkey merupakan pintu masuk Laut Hitam yang menghubungi lautan dunia. Oleh demikian, kedudukan Turkey sangat penting bagi negara-negara sekitar Laut Hitam termasuklah Rusia. Malah, Rusia sangat menghargai Turkey sebagai rakan strategik tetapi Turki merupakan ahli NATO yang juga secara praktikalnya adalah seteru Rusia.

Namun, sejak selepas cubaan rampasan kuasa di Turki pada Julai 2016, Turki mula menjalinkan hubungan dengan Rusia dan semakin menjauhi Amerika dan NATO. Hubungan sebegini menimbulkan persoalan penting iaitu adakah Turki masih bersama NATO yang didominasi Amerika atau beralih ke arah Rusia dengan membentuk blok yang baru?

Blok baru ini bukanlah blok Komunis yang pernah digelar blok Timur. Mungkin lebih manis digelar blok Eurasia yang dapat menggandingkan Rusia, Crimea, Turki, Syria, Iran dan China. Blok Eurasia ini masih jauh dari idea Eurasia yang menggabungkan Benua Eropah dengan Benua Asia seluruhnya. Kesemuanya adalah bagi menandingi kekuatan Amerika yang secara praktikalnya ingin mengepung Rusia dan China. Walaubagaimanapun, NATO masih lagi menjadi halangan besar kepada blok Eurasia ini kerana NATO turut mempunyai strateginya sendiri yang digelar NATO-Enlargement.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

ninety six − ninety five =