Erdogan Ingatkan Barat Jangan Masuk Campur Urusan Turki

Erdogan Ingatkan Barat Jangan Masuk Campur Urusan Turki
(Artikel diterjemah dari www.aljazeera.com oleh Asmaa Yusof)


Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengkritik negara-negara Barat kerana gagal menunjukkan solidariti bersama Ankara selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal bulan lalu.

Ketika berucap di Istana Presiden, Ankara, lewat Jumaat lalu, beliau menyatakan pemimpin barat yang mengkritik tindak balas kerajaan Turki dalam usaha rampasan kuasa 15 Julai lalu tidak perlu masuk campur urusan Turki dan berpesan supaya menjaga urusan mereka sendiri.

“Apabila lima hingga 10 orang maut dalam serangan keganasan, anda (negara-negara barat) meletakkan dunia dalam peperangan,” katanya lagi.

“Tetapi apabila berlaku cubaan rampasan kuasa terhadap Presiden Republik Turki, yang sentiasa melindungi sistem demokrasi berparlimen dan yang telah dipilih dengan 52% undian, anda bukan sahaja tidak menyebelahi kerajaan bahkan anda menyebelahi para pelakunya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sejak cubaan rampasan kuasa gagal, lebih daripada 18,000 orang; termasuk tentera, hakim, pendakwaraya dan pekerja perkhidmatan awam telah ditahan di Turki.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 8,000 daripada yang ditahan telah didakwa.

Beberapa media juga telah diarahkan tutup.

Menurut laporan Al-Jazeera, penangkapan yang dilakukan dalam tempoh singkat sejak kegagalan cubaan rampasan kuasa itu telah membimbangkan kebanyakan sekutu Turki; sebahagian berpandangan negara dalam tempoh darurat itu sedang menuju ke arah penguatkuasaan yang lebih autokratik.

Dalam ucapannya di Istana Presiden, Erdogan juga mengumumkan bahawa beliau menarik balik semua tindakan undang-undang yang difailkan terhadap sesiapa yang menghinanya.

Ujarnya, tindakan ini diambil atas dasar perpaduan menentang cubaan rampasan kuasa.

“Saya memaafkan mereka,” kata beliau.

Terdahulu pada hari Jumaat lalu, Erdogan juga mengkritik pemimpin Amerika Syarikat yang beranggapan cubaan rampasan kuasa oleh satu kumpulan dalam tentera Turki itu telah menjejaskan usaha menentang ISIL.

Joseph Votel dalam ucapannya telah menyatakan kebimbangan terhadap Turki dan ia dibalas balik dengan sindiran oleh Erdogan.

“Sejujurnya saya bimbang ia akan memberi kesan terhadap tahap kerjasama dan usaha yang kita ada bersama Turki yang dikira sangat baik,” kata Jeneral Joseph Votel yang berucap pada Forum Keselamatan Aspen di Colorado, Amerika Syarikat Khamis lalu,

“Jagalah tempat anda,” kata Erdogan sebagai tindak balas ucapan Joseph pada hari Jumaat lalu, menggunakan salah satu ungkapan kegemarannya untuk menunjukkan rasa marah.

“Jeneral AS itu (Joseph Votel) berpihak kepada dalang cubaan rampasan kuasa dengan kata-katanya itu. Beliau mendedahkan dirinya melalui kenyataannya itu, ” balas Erdogan sambil mengulang permintaannya kepada AS agar menyerahkan seorang tokoh yang dikaitkan dengan insiden itu, Fethullah Gulen, yang kini berada di Pennsylvania.

Berikutan komen Erdogan, Votel mengeluarkan kenyataan menafikan beliau menyokong komplot rampasan kuasa.

“Mana-mana laporan bahawa saya mempunyai apa-apa kaitan dengan cubaan rampasan kuasa gagal baru-baru ini di Turki adalah benar-benar tidak tepat,” kata Votel dalam kenyataannya.

“Turki telah menjadi rakan kongsi luar biasa dan terpenting di rantau ini selama bertahun-tahun. Kami menghargai kerjasama berterusan Turki dan mengalu-alukan kerjasama masa depan kita dalam perjuangan melawan ISIL.”

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/07/erdogan-west-mind-business-160729205425215.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

fifty six − fifty =