Gaya Politik Malaysia Siri 1: Kenali Gaya Berpolitik Liberal, Sosialis, Islamis Dan Nasionalis

GAYA POLITIK MALAYSIA SIRI 1: KENALI GAYA BERPOLITIK LIBERAL, SOSIALIS, ISLAMIS DAN NASIONALIS

Oleh : Dr Muhammad Atiullah Othman


Kenalilah rentak politik Liberalis, Sosialis, Islamis dan Nasionalis. Mereka mempunyai gaya politik yang seakan sama tetapi tidak sama. Ada perbezaan yang signifikan di antara gaya politik mereka.

Rentak politik Liberalis menyanjung tinggi kebebasan individu sehingga membenarkan memilih dosa dan kemaksiatan. Itulah yang sering wujud dalam karya-karya akademik mengenai pemikiran Liberalis. Sebenarnya, kebebasan bagi politik Liberalis bukanlah bertujuan mengangkat tinggi kebebasan individu. Tujuan sebenar Liberalis adalah mengangkat pemilihan dosa dan maksiat atas hujah kebebasan individu. Buktinya, acara minum arak beramai-ramai dikempen sebesar-besarnya, konsert yang mengundang maksiat dipejamkan mata dan mempertikaikan undang-undang Syariah khususnya berkaitan khalwat dijadikan perjuangan mereka.

Apabila ditujukan kepada mereka kepada ketakwan dan pahala. Golongan liberalis tidak mengangkat hujah kebebasan. Tanpa segan dan malu, mereka mempertikaikan Rang Undang-undang 355 yang dibentangkan di parlimen. Padahal ia merupakan pilihan pemimpinan Islam atas dokongan masyarakat Islam. Mereka menentang bagaikan manusia tiada hak memilih. Mereka terus bersikap autotarian menidakkan hak majoriti umat Islam mengamalkan agama mereka. Perjuangan kebebasan individu adalah perjuangan selektif yang sangat memilih dosa dan kemaksiatan dan menolak ketakwaan dan pahala. Liberalis adalah golongan yang pada wajahnya tersenyum manis sedangkan hati penuh bersikap anti keIslaman.

Rentak sosialis pula menggunakan revolusi atas hujah hak sama rata dan hak orang bawahan yang tertindas. Mereka mengutamakan isu ekonomi dan isu kemiskinan. Atas hujah ini, mereka cuba menarik perhatian tetapi bukan dengan jalan demokrasi tetapi mengumpul kesedaran orang ramai melalui program-program jalanan. Mereka mengasingkan diri dan bersama-sama orang tertindas. Mengumpul orang bawahan agar memberi tekanan kepada orang atasan. Mereka seringkali menimbulkan provokasi dan mengapi-apikan perbalahan. Namun, sikap mereka tidak mendapat tempat dalam masyarakat Malaysia yang berjiwa lembut dan menolak apa-apa bentuk sentiment perbalahan. Mereka tidak mendapat tempat dalam arus perdana.

Rentak Islamis pula meraih sokongan masyarakat Islam dan kaum Melayu. Meraih sokongan kaum Melayu bukanlah bersifat rasis tetapi atas kesedaran majoriti masyarakat Muslim di Malaysia adalah Melayu. Masyarakat Muslim di kalangan Cina dan India bukanlah majoriti. Golongan Islamis menyedari hakikat golongan Cina dan India bukanlah majoriti Muslim. Namun, sokongan masyarakat Cina dan India kepada mereka tidak disia-siakan lalu mereka mempunyai kedudukan khusus dalam Islamis. Perjuangannya adalah menjulang agama Islam dan mengangkat Syariat Islam di Malaysia. Islamis mempunyai pandangannya yang tersendiri dan sangat yakin pandangan mereka dapat menggantikan pemikiran Nasionalis yang kekal berkuasa.

Manakala, rentak Nasionalis pula berpolitik berasaskan kaum. Walaupun demikian, Nasional menolak membabitkan mereka dengan sikap Rasisme. Mereka menolak istilah Rasis kerana perkataan ini sangat negatif di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Nasionalis mendominasi sesebuah kaum tetapi menolak label rasis terhadap mereka. Mungkin, moderate-rasisme boleh diterima bagi menggantikan ultra-Rasisme. Terutamanya, para pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang memperlihatkan kerajaan Malaysia dan presidennya adalah mewakili semua kaum. Sedangkan UMNO adalah parti berasaskan Melayu. Walaupun demikian, isu Islam bukan isu utama UMNO. Isu utama adalah keberlangsungan UMNO dalam masyarakat Melayu dan ketuanan Melayu di Malaysia dapat dipertahankan. Ia menjadi mainstream pemikiran Melayu sehingga hari ini.

Namun, di zaman melinium ini. Bukan Liberalisme, Sosialisme, Islamisme dan Nasionalisme menjadi asas dalam pergolakan politik di Malaysia tetapi jauh dari itu, populariti dan keyakinan masyarakat menjadi pertaruhan dalam sebarang kempen politik di tanah air. Populariti diraih dalam media massa, media digital, media cetak dan media sosial. Oleh demikian, saluran media yang mempunyai pengunjung paling ramai dan program yang paling menarik minat masyarakat sangat-sangat menjadi tumpuan dalam perebutan kuasa di zaman Milenium. Di samping itu, corak pentadbiran kerajaan sangat memberi kesan terhadap kelangsungan politik sesuatu parti. Oleh demikian, imej kerajaan sangat diambil berat agar pilihanraya seterusnya dapat diraih. Tinggalkah Liberalisme, Sosialisme, Islamisme dan Nasionalisme menjadi idealisme bagi golongan yang celik pemikiran politik.

Tidak bermakna, Islam tidak menjadi isu penting dalam politik negara. Selagimana undi masyarakat Islam dan Melayu adalah dominan, selagi itulah isu Islam dan Syariat Islam adalah isu paling besar negara. Oleh demikian, golongan Nasionalis, Liberalis dan Sosialis sangat berhati-hati mengambil apa-apa strategi mengenai isu yang menyentuh mengenai Islam dan Syariat Islam. Jikalau berlaku kesilapan langkah golongan Nasionalis, Liberalis dan Sosialis berkenaan isu Islam dan Syariat Islam, golongan Islamis mendapat manfaat politik paling besar. Mahu ataupun tidak mahu, Nasionalis, Liberalis dan Sosialis perlu menyokong Islam dan Syariat Islam walaupun terpaksa berlakon menyokong Islam atau hanya bertopengkan Islam agar kesinambungan politik mereka akan terjamin dan diterima peringkat negara.

*Tulisan ini sekadar pandangan peribadi penganalisis politik antarabangsa, ia bukannya kenyataan rasmi daripada pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia Tenggara)

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

seven + three =