Sukan Memanah: Antara Sunnah Dan Manfaat

Agama Islam tidak pernah melarang umatnya melibatkan diri dengan aktiviti sukan selagi mana aktiviti itu tidak bertentangan dengan garis panduan syariat Islam.

Aktiviti riadah ataupun sukan amat dituntut di dalam Islam agar seseorang muslim itu mempunyai fizikal yang cergas, yang akan menjadikannya juga berfikiran cerdas apabila seseorang itu mempunyai tubuh badan yang sihat dan seterusnya menjadikannya mukmin yang kuat, juga mampu bekerja untuk Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.

Antara sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).”

(Riwayat Muslim)

SUKAN MEMANAH

Memanah merupakan sukan yang digemari oleh Baginda Rasulullah SAW, baik sebagai aktiviti riadah dan yang lebih penting lagi memanah adalah antara senjata setiap kali baginda Rasulullah SAW dan para sahabat RA keluar berperang.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”

(Riwayat Bazzar, dan Thabarani)

KELEBIHAN SUKAN MEMANAH

Falsafah memanah dapat mendidik seseorang itu dari sudut emosi dan fizikal kerana memanah akan melatih diri kita untuk menjadi lebih sabar, tenang dan tidak menggelabah untuk meletakkan anak panah pada sasaran.

Sekiranya emosi seseorang itu dalam keadaan tertekan, panik serta marah, sudah tentu tumpuannya akan terjejas dan panahan tersebut akan tersasar dari sasaran yang ingin dicapainya.

Selain itu, sukan ini dapat memberi manfaat dari sudut fizikal apabila seseorang itu menarik anak panah untuk dilepaskan ke sasaran, secara automatik pengaliran darah di dalam badan akan menjadi lebih lancar yang akan memberi kekuatan kepada sistem dalam tubuh badan terutamanya jantung.

Secara kesimpulannya, aktiviti memanah dapat melatih individu untuk bersikap positif dan berjaya seperti penyabar, tenang, berstrategi serta menggunakan pertimbangan akal yang rasional mengatasi emosi; malah, sukan ini juga dapat meningkatkan kecergasan fizikal terutama di bahagian anggota badan.

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty nine − = thirty three