Pendidikan Kanak-kanak Syria Terpinggir Di Lubnan

Seawal pagi lagi, seorang kanak-kanak Syria, Malak Khalaf, bangun dari lena bagi memulakan hari yang baru. Namun, harinya ini tidak sama seperti hari kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Malak yang bercita-cita menjadi seorang doktor supaya dapat merawat mereka yang miskin terpaksa menghabiskan harinya berada kebun bersama tujuh adik-beradiknya yang lain dan bukannya ke sekolah.

Hasrat anak Syria ini untuk menuntut ilmu penuh kesukaran; dari ketiadaan kewangan mencukupi hinggalah kedudukan sekolah yang jauh serta sistem pengangkutan yang lemah.

Sejak Malak menjadi pelarian di Lubnan empat tahun lalu akibat perang yang meletus di Syria, dia tidak lagi pergi ke sekolah kerana masalah kewangan yang dihadapi keluarganya.

Bapanya, Abdullah Khalaf, mengatakan bahawa cakap-cakap yang mengatakan kerajaan Lubnan akan memberikan pendidikan kepada pelarian Syria di sekolah-sekolah adalah tidak benar.

Dalam satu temubual bersama agensi berita Al-Jazeera, beliau turut menegaskan bahawa pentadbiran sekolah enggan mendaftarkan mana-mana pelajar tanpa insurans kenderaan yang merupakan suatu kemestian di negara itu.

Beliau berkata lagi, anak-anaknya ingin belajar, akan tetapi beliau terpaksa menghantar mereka bekerja di kebun-kebun kerana tidak mampu memberi mereka peluang pendidikan.

Dalam satu laporan baru-baru ini, pertubuhan hak asasi manusia Human Rights Watch menyatakan setengah juta kanak-kanak pelarian Syria di Lubnan berada dalam lingkungam usia persekolahan; manakala hanya separuh dari jumlah itu masih di bangku sekolah.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa lebih daripada 150,000 kanak-kanak pelarian Syria telah berdaftar di sekolah-sekolah kebangsaan, manakala 87,000 yang lain belajar di sekolah swasta.

Pengarah komunikasi Human Rights Watch di Timur Tengah dan Afrika Utara, Mohammed Shamsi, berkata angka-angka tersebut menunjukkan krisis sebenar yang wujud kerana undang-undang dan perjanjian antarabangsa telah memberikan hak kepada kanak-kanak pelarian Syria untuk mendapatkan pendidikan secara percuma tanpa ada sebarang diskriminasi.

Namun, terdapat pelbagai rintangan yang menghalang kanak-kanak pelarian Syria ini untuk terus belajar.

Faktor penghalang utama adalah sistem visa yang melarang para pelajar daripada bekerja; namun akibat keperluan hidup yang amat menghimpit, ibubapa mereka terpaksa memilih dan menghantar mereka untuk berkerja serta tidak ke sekolah.

Dalam temubual itu juga, Shamsi berkata kerajaan Lubnan telah berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam pendidikan; antaranya para pelarian dalam kalangan pelajar dikecualikan daripada menyerahkan dokumen rasmi berkaitan keberadaan mereka di negara ini.

Selain itu, mereka juga dikecualikan daripada membayar yuran sekolah, serta membuka kelas tambahan untuk mengajar mereka.

Walau bagaimanapun, Shamsi berpendapat usaha-usaha ini masih belum cukup untuk menampung semua pelajar pelarian Syria yang berada di Lubnan.

Jabatan pelajaran Lubnan telah melaporkan bahawa terdapat kanak-kanak Syria yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di Lubnan hingga mereka ponteng sekolah.

Menurut Pengarah Program Pendidikan Komprehensif, Kementerian Pelajaran, Sonia Khoury, terdapat kira-kira 160,000 kanak-kanak pelarian Syria menerima pendidikan di sekolah-sekolah awam; malah kementerian telah menambah waktu mengajar supaya pelajar-pelajar ini mendapat menyesuaikan diri dengan kurikulum persekolahan di Lubnan.

Selain itu, Sonia menambah, keupayaan Lubnan memberikan pendidikan kepada pelarian Syria ini turut bergantung kepada seberapa banyak bantuan yang diterima oleh Kementerian Pelajaran bagi mewujudkan program pendidikan untuk kanak-kanak pelarian yang tercicir daripada sistem pendidikan sambil berkata program sebegini dapat membantu kanak-kanak tersebut menyambung semula persekolahan selepas keciciran selama beberapa bulan.

Hakikatnya, masa depan ribuan kanak-kanak Syria kini dihantui pelbagai kemungkinan di sebalik kelemahan banyak pihak dalam memberi mereka hak pendidikan yang sebenarnya dijamin oleh Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) UNICEF.

 

 

Tulisan: Waseem Zahiri

Terjemahan & Olahan: Sumaiyah, Balqis, Khadijah

(Pautan asal: http://www.aljazeera.net/news/humanrights/2016/7/19/ربع-مليون-طفل-سوري-بلبنان-خارج-المدرسة )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

six + one =