Tahanan Palestin Lancar Mogok Lapar

Tahanan Palestin Lancar Mogok Lapar
Terjemahan & olahan: Mursyid


10 orang tahanan Palestin di penjara Israel melancarkan mogok lapar untuk mendesak pembebasan seorang warga Palestin yang ditahan tanpa bicara (administrative detention) oleh regim Zionis.

Menurut ketua urusan tahanan bagi Organisasi Pembebasan Palestin, Issa Qaraqe’, 10 orang tahanan di Penjara Negev yang terletak di selatan Israel melancarkan mogok lapar minggu lalu; manakala 10 orang lagi di Penjara Rimon serta 15 orang di Penjara Ofer berdekatan Ramallah.

“Mogok di penjara-penjara ini bakal meningkat. Terdapat juga protes dan paksaan agar mereka kembali makan.”

“Tahanan-tahanan mendesak pembebasan seorang warga Palestin, Bilal Kayed, yang kini ditahan tanpa bicara dan juga melancarkan mogok lapar; serta (menuntut) amalan tahanan tanpa bicara (administrative detention) yang dilakukan sewenang-wenangnya dihentikan.”

Menurut Qaraqe’ ketika himpunan mingguan solidariti untuk tahanan di hadapan ibu pejabat palang merah antarabangsa, badan-badan politik Palestin telah mula menjalinkan hubungan dengan komuniti antarabangsa untuk mendesak pembebasan Kayed dan penghapusan penahanan tanpa bicara (administrative detention), serta menuntut supaya pelbagai pihak mengusahakan pembebasan para tahanan secepat mungkin.

Ketika himpunan mingguan itu, organisasi-organisasi kemanusiaan telah melancarkan kempen solidariti untuk Kayed, yang antara lain merangkumi siri-siri himpunan dan demonstrasi yang akan dianjurkan di seluruh wilayah Tebing Barat dan Gaza.

Kayed yang telah mogok lapar sejak lebih 34 hari lepas kini dalam keadaan kritikal serta telah kehilangan 30 kg berat badan, menurut sumber badan urusan banduan.

Beliau yang terlibat dalam parti politik Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP) telah meringkuk di dalam penjara regim Israel selama 14 tahun setengah lalu, tetapi mahkamah Israel telah mengenakan penahanan tanpa bicara (administrative detention) ke atas beliau sebaik sahaja tamat hukumannya yang bakal genap 15 tahun penjara.

Penahanan tanpa bicara (administrative detention) boleh dikenakan dalam tempoh antara sebulan sehingga enam bulan; malah sebahagian tahanan telah diperbaharui serta dilanjutkan tempoh penahanan mereka.

Regim Zionis mendakwa terdapat dokumen keselamatan yang sulit bagi setiap penahanan tersebut.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.net/news/humanrights/2016/7/19/35-أسيرا-بسجون-إسرائيل-يضربون-عن-الطعام )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

twenty five − = 17