Kembali Kepada Budaya Politik Berprinsip dan Hindari Budaya Politik Emosi

Budaya politik banyak dimensinya. Ada budaya politik berasasakan agama, ada budaya politik berasaskan rasional, ada budaya politik berasaskan etnik dan ada pula budaya politik berasaskan emosi.

Kepelbagaian budaya politik ini menunjukkan ragam dan variasi politik negara, hidup bermasyarakat dan cara bersosialisasi. Seawal negara Malaysia merdeka, budaya politik berasaskan kaum menjadi ragam politik negara dengan mengambil kira kaum dan etnik yang pelbagai dalam negara Malaysia. Mungkin dengan budaya politik berasaskan etnik, setiap kaum dapat mengemukakan tuntutan etnik dan masyarakat masing-masing dan dibincangkan agar dapat dijadikan asas hidup harmoni.

Hanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dari awal kemerdekaan sehingga kini mengamalkan budaya politik berasaskan agama. Islam sebagai cara politik dan tema PAS sejak awal 1980-an hingga ke hari ini menggunakan ‘Membangun bersama Islam’.

Democratic Action Party (DAP) pula menggunakan rasional demokrasi sebagai nama parti. Namun, walaupun DAP cuba merasionalkan kewujudannya yang mengajak persamaan hak etnik, parti ini menampakkan etnik sepihak sahaja iaitu parti kaum cina.

Namun, di akhir dan awal melinium, budaya politik lebih terarah kepada budaya politik suka dan benci. Budaya politik suka dan benci ini lebih berasaskan kepada emosi yang dimainkan dalam media elektronik dan internet. Budaya politik suka dan benci ini juga digelar politik popular atau politik pop.

Budaya politik suka dan benci ini bukan berasaskan agama, rasional dan etnik tetapi cukup popular untuk menjadi sandaran menyerang peribadi pemimpin politik. Lihat sahaja permainan politik dalam facebook dan twitter, Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi asas politik membenci. Manakala, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi asas politik suka dan benci.

Laman facebook dan twitter menjadi medan serangan politik suka dan benci. Mungkin tidak bermasalah kalau sekadar suka yang baik dan benci yang buruk, suka yang benar dan benci penipuan. Tetapi terlalu suka sehingga mengagong-agongkan pemimpin setinggi langit bagaikan hero Avengers dan membenci pemimpin bagaikan pemimpin itu adalah asas kepada segala kejahatan, suka dan benci ter-over ini sangat merosakkan budaya politik berasaskan agama dan rasional.

Sangat memualkan politik suka dan benci ini yang tampak mencari populariti dan mengemis sokongan ramai. Banyak yang berasaskan emosi, tiada perkiraan dan pertimbangan agama dan rasional. Malah, bukan budaya mana-mana etnik yang mengampu dan membenci sampai tahap melampau.

Sehinggakan, budaya politik suka dan benci meletakkan blok baik dan blok jahat. Misalnya, penyokong pro-kerajaan meletakkan pembangkang dalam blok jahat dan kerajaan dalam blok baik. Begitu juga sebaliknya, pro-pembangkang meletakkan kerajaan dalam blok jahat dan pembangkang dalam blok baik.

Sungguh memualkan cara politik sebegini. Hashtag-hashtag sering digunakan dalam politik suka dan benci ini, tanpa perkiraan agama, akal dan etnik, serangan tanpa belas kasihan menjadi santapan harian dalam budaya politik suka dan benci.

Kini, sangat perlu pemimpin dan rakyat dari pelbagai latar belakang politik kembali kepada dasar dan prinsip parti masing-masing ke arah hidup harmoni bermasyarakat dan bernegara. Hentikanlah budaya politik populis dan budaya politik suka dan benci. Kembalilah ke arah kematangan agama, rasional dan hidup bersama. Basmikanlah politik membenci agar keharmonian bermasyarakat dan bernegara lebih terjamin.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ 62 = sixty nine