Mengharap Sinar Islam Di Turki

Mengharap Sinar Islam Di Turki
Oleh: Asmaa Yusof


RUSILA: Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan, apa yang berlaku di Turki pada hari ini mestilah diambil pengajaran oleh semua umat Islam.

Dalam siri kuliah beliau di Rusila 22 Julai lalu, beliau menyatakan bahawa peristiwa Ahzab mestilah dihayati dan diambil iktibar.

“Kita masih lagi dalam tempoh mengambil pengajaran dari peristiwa Ahzab yang berlaku di zaman Rasulullah SAW.”

“Peristiwa ini dirakam di dalam Al-Quranul Karim. Al-Quran adalah petunjuk Allah yang berterusan sehingga hari kiamat.”

“Betapa golongan ahli kitab sehingga hari ini merancang untuk memusnahkan umat Islam, memesongkan serta menyesatkan habis-habisan walaupun mereka tahu Islam adalah agama yang benar,”

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Islam adalah agama para Nabi dan Rasul AS termasuk; Nabi Isa dan Musa AS yang merupakan Nabi sanjungan Yahudi dan Nasrani.

“Kelahiran Nabi Muhammad SAW telah disebut dalam kitab suci mereka dan juga dalam kitab-kitab ajaran lain. Namun mereka terus bermusuh dengan umat Islam hingga ke hari ini,”

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang terkenal pakar dalam sejarah gerakan Islam turut memberi ulasan mengenai insiden cubaan rampasan kuasa di Turki yang disaksikan oleh seluruh dunia minggu lalu.

“Peristiwa ini telah mendedahkan pakatan jahat kuasa-kuasa barat yang bukan Islam; semua menyedarinya kecuali mereka yang buta tidak mengenal sejarah,”

Beliau menyarankan agar umat Islam tidak sekali-kali melupakan peranan Khilafah Uthmaniah yang selama ratusan tahun menjadi benteng pertahanan Islam; sehinggalah ia dijatuhkan pada tahun 1924.

“Selepas kejatuhan Turki pada tahun 1924, negara itu dikepung dan dibelasah habis-habisan di samping dunia Islam yang lain tidak dibenarkan sama sekali untuk kembali melaksanakan Islam sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW,”

Menurutnya lagi, ketika Turki dipaksa mengikut fahaman sekularisme, mufti terakhir khilafah Uthamniah, Sheikh Mustafa Sabri, telah mengeluarkan fatwa menyatakan “sesungguhnya sekularisme adalah jalan yang paling dekat menuju kepada murtad.”

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− 6 = four