Suara Rakyat Gagalkan Rampasan Kuasa Turki

SUARA RAKYAT GAGALKAN RAMPASAN KUASA DI TURKI

Pada malam Sabtu 16 Julai 2016, satu kumpulan dalam tentera Turki cuba melakukan rampasan kuasa namun gagal apabila dihalang oleh ratusan ribu rakyat Turki dan disertai tentera yang turun ke jalan-jalan utama setelah Presiden negara itu, Recep Tayyib Erdogan, menyeru mereka agar turun mempertahankan kedaulatan Turki.

Media-media di negara itu turut menyiarkan seruan kepada mereka agar menuju ke Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul yang berjaya dirampas semula untuk menyambut Presiden Erdogan.

Media massa Turki melaporkan bahawa penasihat undang-undang bagi Ketua Turus Tentera Turki, Kolonel Muharram Koussa, telah mengetuai cubaan rampasan kuasa itu.

Dalam masa sama, sumber dari Huffington Post melaporkan bahawa cubaan rampasan kuasa itu telah gagal serta ramai dalang kejadian itu telah berjaya ditahan manakala baki mereka yang berada di Ankara juga bakal ditahan.

Reaksi dunia terhadap insiden itu ternyata menampakkan perubahan apabila Amerika Syarikat menzahirkan sokongan terhadap kerajaan Turki walaupun Setiusaha Luar negara itu, John Kerry, sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak menyebelahi mana-mana pihak; malah Jerman juga turut mengecam cubaan rampasan kuasa itu.

Kekuatan politik di Turki terbukti hebat dan unik apabila rakyat negara itu bangkit menentang penglibatan tentera ke arena politik serta cuba menjatuhkan pemerintahan.

Recep Tayyib Erdogan bergegas ke Istanbul untuk memberi penghormatan kepada rakyatnya dan berjanji untuk mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat dalam cubaan menjatuhkan negara itu.

Dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Ataturk, Erdogan berkata dalang cubaan rampasan kuasa ini merupakan kelompok yang tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada serta menerima arahan dari Pennsylvania yang dilihat merujuk kepada seorang pemimpin gerakan, Fethullah Gulen, yang menetap di sana.

Cubaan rampasan kuasa itu dikatakan berlaku sebelum perhimpunan Majlis Mesyuarat Tentera yang akan membincangkan beberapa perkara penting.

Wartawan Al-Jazeera, Amir Lafi, melaporkan himpunan Majlis Mesyuarat Tentera dilaksanakan dua kali setahun untuk menjalankan proses kenaikan pangkat dan penyingkiran dalam turus tentera.

Bagaimana pun, himpunan yang lalu telah menyaksikan penyingkiran lebih kurang 400 orang tentera.

Rentetan itu, kebanyakan tentera yang dipecat ini dilaporkan adalah dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa itu.

Di samping itu, Presiden Turki itu berkata semasa insiden itu, beliau berada di bandar Marmaris dan bunyi letupan di kawasan itu menunjukkan beliau juga menjadi sasaran serangan.

Beliau turut berjanji akan mengambil tindakan ke atas setiap pemberontak yang berkomplot atau yang melaksanakan cubaan penggulingan kuasa itu.

Beliau turut berkata kebanyakan penangkapan dilakukan ke atas tentera pelbagai pangkat, dan menegaskan bahawa penangkapan akan terus dilakukan.

Tindakan ‘lebih pantas dan tegas’ katanya akan diambil bagi membersihkan turus tentera daripada sebarang unsur pemberontakan.

Menurut beliau lagi, kabinet menteri menjalankan tugasan mereka seperti biasa di Ankara serta menyatakan bahawa Perdana Menteri Binali Yildirim akan menyertai mereka dalam masa terdekat.

Presiden Turki itu turut menyatakan jutaan rakyat Turki turut sama turun ke jalanan di seluruh pelusuk negara itu.

http://iumsonline.org/ar/2/fshl-lnklb-lhshod-lshaaby-hsmt-lmaark-maa-ldbbt-fy-shoraa-trky/

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty − seventy three =