Cubaan rampasan kuasa Turki, satu pemerhatian awal

CUBAAN RAMPASAN KUASA TURKI, SATU PEMERHATIAN AWAL

Oleh: HARIS ZALKAPLI


Cubaan rampasan kuasa yang berlaku di Turki dapat dilihat sebagai satu usaha untuk menyekat kemaraan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang semakin memusatkan kuasa pada dirinya.

Cubaan masih berlangsung dan keadaan merosot menjadi kacau bilau, dengan kedua-dua pihak tentera yang terlibat dan Presiden Erdogan bertegas mereka memegang kekuasaan.

Pertembungan lebih besar melibatkan pihak tentera – atau sekumpulan dalam tentera – yang mempertahankan sekuralisme republik Turki dengan Erdogan yang semakin melemahkan kuasa tentera.

Era Erdogan menyaksikan usaha pertama kali seumpamanya dan paling kuat dalam sejarah, melibatkan tindakan terhadap tentera, yang dikenali sebagai episod Ergenekon.

Usaha rampasan kali ini menurut Erdogan didalangi oleh gerakan Gulen, yang pemimpinnya Fethullah Gulen kini menetap di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Kumpulan ini satu masa dulu ialah sekutu kuat Erdogan dan AKP dan berperanan melonjakkannya ke puncak kuasa.

Hakikat bahawa Erdogan tidak ada di ibu negara semasa rampasan berlaku memperlihatkan perancangan yang rapi pihak perampas, yang memutuskan dan melambatkan hubungan presiden dengan menteri dan penasihat-penasihat semasa krisis ini.

Pemusatan kuasa dan pengaruh pada Erdogan berpotensi menyukarkan usaha menentang perampas, sekiranya pembuatan keputusan masih terlalu bergantung pada Erdogan.

Asas ideologi perlu diperhatikan lagi berhubung usaha rampasan kuasa ini (misalnya sekularisme lawan Islam) kerana faktor persaingan kuasa yang besar dan mungkin mengatasi isu ideologi.

Rampasan berlaku tidak lama selepas Ankara memulihkan hubungan dengan negara Zionis dan Rusia, dan dalam usaha memulihkan hubungan dengan Mesir dan Iraq.

Perubahan dalam trajektori dasar luar negara anggota Nato ini walau bagaimanapun masih awal untuk dinilai, dan kemungkinan tidak akan menyaksikan perubahan besar.

Sekutu Turki, kuasa besar Amerika Syarikat dijangka akan menilai sikapnya berdasarkan perkembangan dari masa ke masa, tetapi seperti yang disebut Setiausaha Negara John Kerry, Washington mengharapkan kelangsungan dapat dipastikan.

13669127_1805297066365916_1041891328287588982_n

Kedudukan sebagai negara yang geografinya penting di rantau Asia Barat dan Eropah menjadikan Turki penting kepada negara-negara sekitar dan kuasa besar termasuk AS, Rusia dan kuasa serantau seperti Qatar dan Arab Saudi.

Perkembangan terkini, media melaporkan cubaan telah berjaya dipatahkan, atau telah mula reda. Perkembangan selepas ini akan mencetuskan debat yang panas, berhubung demokrasi, pemusatan kuasa, dan mungkin yang paling panas, mengenai teori bahawa rampasan ini satu drama politik demi populariti dan survival Erdogan.

16 Julai 2016

*Artikel ini sekadar sisi pandang analisis daripada penganalisis politik antarabangsa dan ia bukannya kenyataan rasmi daripada pihak Media Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (Cawangan Asia).

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

+ seven = eleven