Cubaan Rampasan Kuasa: Kumpulan Tentera Dakwa Berjaya Kuasai Turki

TURKI– Beberapa pihak dalam tentera Turki mengumumkan secara rasmi bahawa mereka melakukan rampasan kuasa dan melaksanakan undang-undang ketenteraan sambil berkata mereka telah mengambil alih negara itu.

Presiden negara itu, Recep Tayyip Erdogan ketika menghubungi pemberita CNN Turki berkata, beliau kekal sebagai presiden dan ketua turus tentera; serta menyeru rakyat untuk turun ke jalan raya bagi menentang rampasan kuasa tersebut.

“Kita akan mengatasi perkara ini,” ujar Erdogan ketika panggilan video menerusi telefon bimbit yang disiarkan ke kamera oleh pengacara.

Erdogan juga menyeru para penyokongnya agar turun ke jalanraya untuk mempertahankan kerajaan dan berkata bahawa dalang rampasan kuasa itu pasti akan menerima balasan yang berat.

Seorang pegawai berkata, perbualan tersebut berlangsung ketika Erdogan masih dalam percutiannya di Marmaris yang terletak di pesisir pantai Turki.

Erdogan berkata beliau akan segera kembali ke Ankara.

Menurut saksi, tembakan senjata api kedengaran, manakala jet tentera dan helikopter berlegar-legar di Ankara.

Agensi berita kerajaan, agensi Anadolu melaporkan bahawa helikopter tentera telah menyerang ibu pejabat polis Ankara; manakalah Reuters memaklumkan bahawa Parlimen telah dikepung oleh kereta kebal.

Seorang lagi saksi pula melaporkan mendengar bunyi tembakan di lapangan terbang Istanbul.

“Kami tahu mereka telah melanggar arahan,” ujar jurucakap kerajaan, Cemaletton Hasimi, kepada Al-Jazeera sambil merujuk kepada pihak-pihak dalam tentera yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa ini.

“Walau bagaimanapun, kuasa demokrasi berjaya mengawal situasi ini. Parlimen akan bersidang dalam masa setengah jam.”

Seorang wartawan Al-Jazeera yang berada di bandar Izmir melaporkan perkumpulan tentera yang luar biasa di situ awal hari ini.

Wartawan Al-Jazeera di Gaziantep, Zeina Khodr, pula melaporkan para penyokong Erdogan telah turun ke jalanraya untuk menyahut seruan pemimpin itu agar rakyat menunjukkan protes.

Kenderaan dilihat bertali arus menuju lapangan terbang.

Agensi berita Dogan memetik kata-kata seorang tentera pada hari Jumaat yang berkata mereka mahu ‘mengembalikan urustadbir berperlembagaan, demokrasi, hak asasi manusia serta kebebasan; dan ingin memastikan kedaulatan undang-undang kembali di negara itu, di samping mahu undang-undang dan perlembagaan dikuatkuasa semula.”

“Sebarang persefahaman dan komitmen di peringkat antarabangsa akan kekal seperti biasa. Kami berharap hubungan baik dengan negara-negara luar akan berterusan.”

Terdahulu, Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim, berkata beberapa orang jeneral terlibat dalam insiden yang digelarnya sebagai cuba rampasan kuasa.

Beliau berikrar dalang cubaan itu akan ditahan sambil menambah kerajaan tidak akan berputus asa dengan demokrasi.

Al-Jazeera juga mendapat maklumat bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk telah ditutup dan semua penerbangan telah dibatalkan.

Seorang wartawan Al-Jazeera di Istanbol dilaporkan melihat pegawai-pegawai tentera menuju ke Dataran Taksim dan menyuruh semua pengunjung agar meninggalkan tempat itu.

“Mereka menyuruh supaya mengosongkan seluruh dataran itu; orang ramai sedang pulang sekarang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pemberita TRT World memaklumkan Al-Jazeera bahawa tentera telah memasuki bangunan agensi berita yang dibiaya kerajaan itu serta mengarahkan agar siaran ditangguh dan merampas telefon staf.

Saluran televisyen tempatan melaporkan, Jambatan Bosforus dan Jambatan Fatih Sultan Mehmet yang merupakan dua jambatan utama menghubungkan bahagian Asia Istanbul dengan bahagian Eropah negara itu telah ditutup oleh tentera.

Menurut Reuters pula, rakaman video menunjukkan kereta dan bas telah diarahkan agar beralih.

Saksi turut melaporkan bahawa helikopter kelihatan berlegar di langit bandar terbesar negara itu, Istanbul.

“Seolah-olah wujud penentangan dalam tentera,” ujar wartawan Al-Jazeera di Gaziantep, Zeina Khodr.

Turki pernah mencatatkan beberapa siri cubaan rampasan kuasa; kali terakhir pada tahun 1997 yang menyebabkan perletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, Nemettin Erbakan.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/07/turkey-military-blocks-bridges-istanbul-160715195444742.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

eighty four + = eighty seven