Zionis Musnahkan 100 Kampung Rakyat Palestin

Zionis Musnahkan 100 Kampung Rakyat Palestin
Terjemahan & olahan oleh : Muhammad Akhir Muhammad


Araqib, Israel– Dengan membongkokkan dirinya ke arah kotak putih, Aziz Al-Turi membelek harta benda dan barang penting miliknya, lalu mengeluarkan loyang pot kopi.

“Anda tahu berapa usia barang ini? Barang ini berusia lima puluh tahun,” ujarnya.

“Ia datang dari Syria, melalui Jordan, dan sampai ke sini.”

Di sampingnya turut terdapat bantal dan permaidani dari khemah hospitaliti Araqib yang merupakan pusat penempatan sosial di kampung.

Itulah barang-barang yang Turi ambil untuk diselamatkan terlebih dahulu pada pagi 29 Jun; ketika polis Israel tiba untuk memusnahkan kampung tersebut.

Menurut penduduk kampung, peristiwa itu merupakan kejadian yang keseratus Araqib dimusnahkan sejak Julai 2010 – dan pemusnahan kedua pada bulan suci umat Islam; bulan Ramadan.

Setelah memuatkan barang tersebut dalam peti, beliau mengheret peti tersebut sejauh 50 meter ke arah tanah perkuburan kampung.

Beliau meletakkan barang tersebut berdekatan dua kubur, setelah memastikan keadaan benar-benar selamat.

Dari jauh, beliau melihat jentolak datang lalu merobohkan kawasan sekitarnya.

“Kami selesai bersahur sekitar jam 4 pagi dan kemudian tidur. Kira-kira sejam kemudian, saya terjaga, kerana ada sebuah van polis memecut laju sekitar kawasan luar kampung.”

Beberapa jam kemudian, kenderaan polis kembali ke kampung, bersama-sama dengan pasukan untuk merobohkan kawasan kampung sambil dikelilingi helikopter yang berlegar di atas kawasan kampung.

“Kami mula membawa pakaian kami keluar dari rumah-rumah kami. Saya meletakkan beberapa barang di tanah perkuburan; yang lain saya masukkan ke dalam lembah ini. Ada juga yang saya letakkan di celahan pokok-pokok. Saya tidak boleh meletakkan semua barang di satu tempat kerana sekiranya saya berbuat demikian, pasukan penceroboh akan datang menolak dengan jentolak laku memusnahkan segala-galanya, “kata Turi.

“Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengambil barang-barang saya; tetapi adalah penting bagi saya untuk mengambil periuk kopi yang lama ini.”

“Inilah hidup saya. Saya mengambil kusyen; mereka musnahkan yang lain- rumah ayah saya, rumah kawan saya Salim, serta semua rumah-rumah yang lain.”

Araqib merupakan salah satu daripada 40 kampung Badwi yang ‘tidak diiktiraf’ dalam Negev, atau Naqab; sebuah kawasan padang pasir di selatan Israel.

Walaupun penduduk di kampung-kampung ini adalah warganegara tempatan Israel, kerajaan tidak menyediakan air, elektrik, infrastruktur atau sistem kumbahan yang baik.

Sebahagian besar kampung-kampung ini juga kekurangan perkhidmatan asasi seperti sekolah dan klinik kesihatan.

Bahkan, penduduk kampung ini juga tidak dapat mengambil bahagian dalam kerajaan atau pilihanraya tempatan.

Pertikaian antara penduduk Araqib dan negara Israel telah berlarutan sejak dari tiga generasi.

Pertikaian yang berlaku berpunca daripada perselisihan dalam pemilikan tanah.

Pada mulanya, Araqib telah berkembang ketika era Uthmaniyyah.

Namun, tanah kampung ini telah dirampas oleh Israel di bawah Undang-Undang Peruntukan Tanah pada tahun 1953, dan penduduk kampung terpaksa meninggalkan kampung ini.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1990, ramai penduduk Araqib pulang kembali ke kampung tersebut bagi membina semula kehidupan tradisional mereka di situ.

Kampung ini didiami kira-kira 300 penduduk yang tinggal dengan gaya hidup Badwi tradisional ketika ia dirobohkan buat pertama kali pada 27 Julai 2010.
4d7160d5578f4bd6ba6ed184c55a03df_18
“Walaupun mereka memusnahkanya sebanyak 200 kali, saya tidak akan berganjak. Ini adalah tempat yang paling bermakna di dunia bagi saya,” ujar Haqmeh Abu Madigem, penduduk Araqib.

“Kehidupan kami sangat indah. Kami menggunakan tanah, menanam barli dan gandum pada musim sejuk; serta tembikai pada musim panas. Semua orang mempunyai traktor dan bekerja. Kami mempunyai 500 batang pokok zaitun. Kami memproses minyak dan menjualnya,” kata Turi.

“Kami menanam sayur-sayuran seperti tomato, terung, timun dan buah-buahan. Kami juga mempunyai biri-biri. Saya dan isteri saya mempunyai lebih daripada 500 ekor ayam. Kami telah menjual hasil kami di pasar Beersheba, Rahat dan tempat lain sehingga berlaku peristiwa hitam pada 27 Julai 2010 lalu. “

“Sejak 2010, pasukan penceroboh telah kembali ke kampung dalam kekerapan sekali atau dua kali sebulan untuk memusnahkan penempatan yang dibina penduduk.”

Sementara itu, dalam satu tuntutan mahkamah yang sedang berjalan, negeri ini meminta 1.8 juta shekel ($ 467,000) untuk menanggung kos perobohan kawasan kampung itu.

Sehingga hari ini, hanya beberapa keluarga sahaja kekal tinggal di Araqib.

Mereka hanya berteduh di dalam pondok-pondok kayu berhampiran tanah perkuburan di kampung itu.

Ramai bekas penduduk datang melawat pada hujung minggu yang telah berpindah ke kawasan berdekatan dengan Rahat, sebuah bandar membangun yang ditubuhkan pada tahun 1972.

Walaupun sebahagian kampung Badwi telah diiktiraf oleh kerajaan pada tahun 2003, sebahagian besar penduduk Badwi yang tinggal di kampung-kampung yang tidak diiktiraf berdepan dengan situasi yang sulit.

Mereka seakan-akan tidak mempunyai pilihan melainkan bergerak menuju salah satu daripada tujuh bandar-bandar yang dirancang di seluruh rantau ini

Ketua eksekutif NGO hak asasi manusia Israel, Haia Nuh, dalam satu forum kewujudan bersama untuk kesaksamaan awam di Negev, memberitahu Al-Jazeera bahawa kawasan dalam bandar yang dirancang menawarkan cara kehidupan yang berbeza bagi penduduk Badwi luar bandar.

“Ia adalah satu tawaran yang besar kerana kerajaan menawarkan penduduk Badwi untuk tinggal di pinggir bandar atau kawasan bandar bukan di pedalaman” katanya.
“Kerajaan memberi perhatian kepada penduduk Badwi di sebuah kawasan daaln bandar kecil dan memberi keistimewaan kepada masyarakat Yahudi, untuk hidup dalam apa jua keadaan sama ada di kampung atau bandar yang mereka mahu tinggal.”

Walaupun keadaan yang sukar dialami di kampung serta kemungkinan berlaku banyak lagi misi pencerobohan, saki baki penduduk Araqib berkata mereka tidak mempunyai niat untuk meninggalkan rumah dan cara hidup mereka di situ.

Haqmeh Abu Madigem berkata, walaupun dua anaknya dan seorang anak perempuan telah berpindah ke Rahat, dia tidak akan menyertai mereka.

“Saya sudah lali dengan pencerobohan yang berlaku dan saya akan tetap tinggal di sini,” katanya.

(Pautan asal: http://www.aljazeera.com/news/2016/07/israel-destroys-palestinian-village-100th-time-160703091747401.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

24 − = fourteen