Gaza: Pembinaan Semula Yang Dinanti

Gaza: Pembinaan Semula Yang Dinanti
Terjemahan dan olahan oleh: Hakimi Salleh


Lebih daripada 100,000 buah rumah di Gaza rosak atau musnah sama sekali di dalam peperangan pada tahun 2014, termasuklah berdozen buah sekolah, hospital, pusat-pusat perniagaan dan rumah-rumah ibadah.

Kini, setelah dua tahun berlalu, kawasan persisiran pantai yang terkepung itu masih lagi dalam kemusnahan.

Ribuan keluarga menantikan dana bagi membina semula hidup baru; malah, daripada 18,000 buah rumah yang musnah sepenuhnya dalam konflik terbabit, hanya 3,000 buah sahaja yang boleh didiami semula, dan dianggarkan 75, 000 orang masih tidak mempunyai tempat tinggal, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Di sini, Agensi Berita Al-Jazeera meneliti mengapa proses membangunkan semula Gaza mengambil masa yang cukup lama dengan melihat proses yang dilalui seorang warga Palestin untuk membina semula kediaman beliau.

Dua tahun yang lalu, Ziyad Hararah telah membina semula setingkat rumahnya yang sebelum ini terdiri daripada tiga tingkat.

Proses yang memakan masa tersebut walau bagaimanapun dikira sebagai tempoh yang singkat berbanding ramai lagi warga Palestin di Gaza.

20 Julai 2014
Rumah seorang guru, Ziyad Hararah, di Shujayea telah dibom oleh rejim Zionis Israel.

Beliau telah meninggalkan rumah tersebut seminggu sebelum wilayah itu dihujani peluru.

Walaupun beliau dan ahli keluarganya tidak bersenjata, namun rumah mereka tetap habis musnah; begitu juga keseluruhan kawasan kejiranannya telah dirobohkan.

22 Julai 2014
Rejim Zionis telah mengumumkan genjatan senjata untuk jangka masa yang pendek.

Oleh itu, Hararah dapat kembali untuk memeriksa keadaan rumahnya; asap masih berkepul-kepul naik dari timbunan batu yang runtuh.

Akhir Julai 2014
Ketika tempoh gencatan senjata yang lain pula, jawatankuasa kejiranan setempat menghubungi Kementerian Kerja Raya Palestin untuk datang melihat tapak runtuhan di rumah Hararah.

Di samping itu, jawatankuasa itu juga memfailkan laporan awal kerosakan.

Pertengahan Oktober 2014
Kementerian Kerja Raya Palestin datang ke rumah tersebut untuk menilai serta mengenal pasti tahap kerosakannya.

Perkara tersebut memerlukan dokumen bagi membuktikan hak milikan tanah yang rasmi; seperti bil elektrik beserta nama dan alamatnya.

Hal ini demikian kerana kawasan ini tiada dalam pelan pembandaran; malah, kementerian bergantung kepada imej satelit untuk menentukan lokasi setiap rumah.

Delegasi United Nation Development Programme- Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) bersama kementerian ke tapak rumah tersebut untuk memastikan kesahihan maklumat tersebut.

Januari 2015
Hararah telah diberikan subsidi oleh PBB sebanyak enam bulan bayaran sewa berjumlah 1,200 dolar bagi menanggung kos penginapan keluarga belia sementara proses pembinaan semula rumah mereka.

Subsidi tambahan telah diberikan kemudian.

Februari 2015
Staf Kementerian Kerja Raya membuat lawatan semula ke tapak rumah Hararah bagi menilai semula tahap kerosakan rumah beliau.

Mereka sekali lagi membandingkan tapak rumah dengan imej satelit dan data GPS yang ada.

Mac 2015
UNDP memulakan proses membersihkan bongkah batu dan besi daripada runtuhan rumah Hararah.

Kontraktor tempatan telah diupah oleh UNDP untuk melakukan kerja tersebut menggunakan jengkaut dan lori sampah bagi membuang bongkah-bongkah batu konkrit dan besi yang runtuh.

Mana-mana perabot yang masih boleh digunakan diasingkan daripada perabot yang rosak.

Proses itu mengambil masa selama dua hari untuk membersihkan tapak runtuhan rumah Hararah.

April 2015
Apabila proses membersihkan sisa runtuhan selesai, Hararah menerima khemah daripada Kementerian Kerja Raya Palestin untuk didirikan di atas tapak rumah beliau sementara menanti pembinaan semula bermula.

Di dalam khemah tersebut, Hararah dan keluarga beliau menyimpan perabot-perabot yang telah diasingkan daripada sisa-sisa runtuhan.

Khemah ini juga berfungsi sebagai penanda kawasan mereka untuk pembinaan semula rumah baru mereka nanti.

Ketika ini, 10 orang ahli keluarga Hararah tinggal dengan menyewa apartmen di bandar Gaza.

Mei 2015
Kementerian Kerja Raya Palestin meminta penduduk Gaza untuk menyiapkan kertas kerja mereka lengkap dengan gambar rumah mereka, bagi mendapatkan kelulusan majlis perbandaran untuk mendapatkan dana pembinaan semula rumah mereka nanti.

Majlis perbandaran meminta Hararah menambahbaik kertas kerja beliau; termasuklah memasukkan bukti pemilikan tanah dan memastikan tiada isu-isu warisan atau pertikaian hak milik tanah; bagi mengelakkan konflik ketika pembinaan rumah baharu dilaksanakan.

Perkara ini sukar bagi ramai orang yang kehilangan hampir semua harta yang mereka miliki akibat peperangan.

Salinan dokumen penting boleh didapatkan daripada arkib bandar; tetapi proses tersebut memakan masa dan sejumlah wang mesti dibelanjakan.

Hararah mengupah peguam dengan kos sebanyak 100 dolar untuk membantu beliau menyegerakan proses tersebut.

Jun 2015
Selepas menyiapkan kertas kerja yang diperlukan, Hararah menghantarnya ke pejabat Majlis Perbandaran Gaza dan membayar yuran sebanyak 11, 000 shekel (2,800 dolar) untuk mendapatkan permit bangunan.

Sebagai balasan, beliau menerima peta kejiranannya dan jalan raya, serta gambar lokasi rumah yang bakal beliau bina semula nanti.

Akhir Jun 2015
Menurut undang-undang tempatan, firma kejuruteraan swasta akan datang melawat serta memeriksa lokasi rumah yang ingin dibina semula oleh Hararah.

Perkara ini merupakan piawai asas sebelum mana-mana pembinaan bangunan dimulakan.

Skema pelan rumah yang Hararah inginkan akan disemak oleh pasukan jurutera.

Walau bagaimanapun, proses tersebut mengambil masa satu hingga dua minggu.

Pertengahan Julai 2015
Majlis perbandaran menerima peta lokasi rumah yang mahu dibina semula oleh Hararah dan membuat semakan akhir sebelum mengeluarkan permit rasmi pembinaan.

Proses untuk mendapatkan permit tersebut menyebabkan Hararah menanti selama dua bulan dan menelan belanja sebanyak 3,500 dolar; yang mana jumlah ini tidak ditanggung oleh dana pembinaan antarabangsa.

Kini, Hararah mesti menunggu dana bagi membolehkan beliau membina rumah baharu.

grm

Awal Ogos 2015
Kementerian Kerja Raya Palestin memanggil Hararah dan beberapa orang jirannya, memberitahu yang mereka akan menerima geran daripada negara Qatar.

Kementerian tersebut yang akan membuat pemilihan keluarga mana yang dapat menerima dana daripada penderma antarabangsa terlebih dahulu.

Berbilion dolar dana telah dijanjikan di dalam Persidangan Kaherah bagi tujuan membangunkan semula Gaza dan masih belum diagihkan.

19 Ogos 2015
Hararah menerima panggilan daripada Kementerian Kerja Raya, meminta beliau untuk menandatangani kertas kerja cadangan untuk menerima geran sumbangan negara Qatar bagi pembinaan rumahnya.

Pada ketika ini, nama beliau telah didaftarkan di dalam sistem Gaza Reconstruction Mechanism (GRM); iaitu satu pertubuhan yang diwujudkan PBB untuk memantau proses membaikpulih Gaza.

Beliau kini layak untuk menerima peruntukan sejumlah simen.

Perkembangan ini membolehkan beliau membina semula bahagian bawah rumah beliau yang sebelum ini musnah.

Ada beberapa buah keluarga yang membina tingkat bawah rumah dengan lebih kecil kerana ingin menggunakan simen berbaki untuk membina tingkat atas rumah mereka; yang mana proses itu bergantung kepada jumlah simen yang telah diberikan.

20 Ogos 2015
Hararah mula membina semula tingkat bawah rumahnya yang dahulunya merupakan bangunan tiga tingkat.

Beliau mengupah syarikat pembinaan selepas membayar sebahagian kos dan berjanji akan membayar bakinya selepas mendapatkan geran dana yang telah dijanjikan.

Akhir September 2015
Hararah membina tapak rumah beliau, lantas melaporkannya kepada majlis perbandaran.

Awal Oktober 2015
Majlis perbandaran melakukan lawatan kerja ke tapak rumah Hararah untuk menyemak perkembangan terkini dan ketepatan laporan yang diterima.

Apabila selesai disahkan, Hararah memohon permit bagi fasa pembinaan yang seterusnya yang melibatkan pembinaan siling dan tiang.

Pertengahan Oktober 2015
Majlis perbandaran mengeluarkan permit pembinaan fasa seterusnya kepada Hararah untuk meneruskan pembinaan semula rumah beliau itu.

Hararah membawa permit tersebut ke Kementerian Kerja Raya yang kemudian memberikan kepadanya bayaran dana fasa pertama dan meluluskan fasa kedua pembinaan rumah beliau.

November 2015
Hararah menyiapkan pembinaan tiang dan siling tingkat bawah rumahnya serta memaklumkan majlis perbandaran tentang perkembangan projek pembinaan tersebut.

Beliau telah menerima kelulusan untuk fasa yang ketiga pembinaan yang mana termasuklah menyiapkan ruang dalaman rumah, seperti plaster dan jubin lantai.

Beliau juga menerima bayaran untuk fasa kedua.

10 Januari 2016
Setahun setengah selepas rumahnya musnah, Hararah menyiapkan seluruh tingkat bawah rumah barunya dan berpindah ke situ.

Beliau juga turut menerima bayaran untuk fasa ketiga dana pembinaan.

Akhir Januari 2016
Hararah menerima bayaran keempat dan juga yang terakhir selepas Kementerian Kerja Raya Palestin melakukan lawatan ke rumah beliau untuk memastikan tingkat bawah rumah beliau siap seperti yang diperuntukkan.

Seluruh proses telah menelan belanja sebanyak lebih 61, 000 dolar; beberapa ribu dana pembinaan semula telah diberikan kepada beliau yang mana jumlahnya kurang daripada jumlah keseluruhan (56, 000 dolar).

Beliau telah menerima peruntukan sebanyak 130 tan simen dan semuanya telah habis digunakan.

Julai 2016
Dua tahun sudah berlalu; namun rumah Hararah masih belum siap dibina semula.

Bahkan, Hararah sendiri terpaksa menanggung hutang ribuan dolar untuk membina semula rumahnya.

Tiada wang yang diperuntukkan untuk perabot, dan rumah beliau hampir kosong.

Malah, karpet yang beliau guna juga adalah karpet yang beliau ambil dari timbunan rumah lama beliau yang ranap.

Anak lelaki beliau yang telah berkahwin sebelum ini tinggal di tingkat atas rumah lama mereka; tetapi kini terpaksa duduk sekali di tingkat bawah yang mampu mereka bina semula.

Mereka hanya mampu menunggu pusingan kedua dana pembinaan semula yang dijangka pada tahun hadapan.

(Teks asal: http://interactive.aljazeera.com/aje/2016/gaza-waiting-to-rebuild/index.html )

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

90 − = eighty nine