Syawal Bulan Kemenangan Bagi Golongan Bertaqwa

SYAWAL BULAN KEMENANGAN BAGI GOLONGAN BERTAQWA
Oleh : Nurul Huda Bt Mazlan


Bulan Syawal adalah bulan kemenangan bagi umat Islam setelah mana mereka berjaya berpuasa selama sebulan di samping melakukan ibadah untuk mendapatkan rahmat daripada Allah di bulan yang berkah iaitu Bulan Ramadan.

Setelah anak bulan kelihatan, maka berkumandanglah takbir dan tahmid dan sebagai tanda memuji keagungan Allah daripada umat Islam seluruh dunia untuk meraikan kedatangan bulan Syawal.

Tidak lupa juga tujuan kita beribadat di bulan Ramadan haruslah diteruskan ke bulan-bulan yang lain sebagai bukti keberhasilan tujuan ibadah kita.

Jika tujuannya tercapai pada bulan Syawal dan seterusnya, maka kita sebagai seorang Muslim haruslah meneruskan amalan baik tersebut.

Antara ibadah sunat yang dilakukan di bulan Syawal adalah puasa enam. Sabda Rasulullah SAW :

“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh.”

(HR. Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlu tahu bahawa Bulan Syawal bukan sahaja bulan kemenangan bagi kita meraikan sebulan berpuasa, tetapi Bulan Syawal juga adalah bulan kemenangan bagi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam siri peperangan yang kita boleh ambil ibrah dari peristiwa tersebut.

Antaranya Perang Ahzab, Perang Uhud, Perang Hunain, dan Perang Bani Qainuqa’.

Peperangan yang berlaku di Bulan Syawal ini telah mendapat pertolongan yang sangat besar dari Allah SWT untuk mengalahkan musuh dan memenangkan Islam.

Bagaimana Allah boleh membantu mereka? Sudah tentu dengan ketaqwaan serta kesanggupan mereka demi menegakkan dan meninggikan syiar Islam di muka bumi Allah ini.

Mereka juga mengimpikan syahid dan syurga Allah dalam hati-hati mereka.

Adakah kita seumpama mereka?

Sebagai kesimpulan, saya menyeru marilah sama-sama kita melaksanakan tuntutan amalan di bulan Syawal yang mulia ini dengan melakukan kunjung-mengunjung serta ziarah-menziarahi sesama kita.

Didiklah serta bimbinglah ahli keluarga kita agar menjaga adab-adab ketika melakukan ziarah dan melayan tetamu supaya kita menjadi insan yang bertamadun, berperibadi tinggi dan memiliki sifat tama’ninah serta tingkahlaku kita tidak menjadi bahan ketawa orang lain dan menjatuhkan maruah.

Ambillah kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk menambah lagi pahala dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita.

Sebagai peringatan, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 30 :

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

“Sebenarnya orang yang beriman dan beramal salih, sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang yang berusaha memperbaiki amalnya.”

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

− seven = two