Kesilapan Adab Di Hari Raya Yang Patut Dielakkan

KESILAPAN ADAB DI HARI RAYA YANG PATUT DIELAKKAN

Oleh: AisyahYamin


Sambutan Aidilfitri merupakan salah satu kurniaan Allah sempena ibadah puasa yang telah kita tunaikan.

Bagi menggambarkan betapa besarnya ibadah puasa di bulan Ramadan, maka ia ditutup dengan hari raya yang sangat mulia bagi menandakan kesyukuran kita kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat Islam dan nikmat Ramadan kepada kita.

Ramadan mendidik kita supaya membina jati diri muslim sehingga mencapai martabat bertakwa kepada Allah.

ان اكرمكم عند الله اتقاكم

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

(Surah Al-Hujurat, ayat 13)

Ketakwaan ini bukan sahaja mencakupi hubungan kita dengan Allah; malah seperti yang terkandung dalam Al-Quran, ia juga turut mencakupi hubungan kita sesama manusia dan alam sekitar.

Islamlah yang menjalinkan hubungan baik kita dengan Allah dan antara kita dengan ummah.

Harapannya, semoga kita menyambut hari raya penuh khusyuk, tenang dan aman dengan cara yang tidak melampaui batas.

Bukan sahaja dalam berpakaian, makan dan minum; tetapi termasuklah juga dalam perlakuan kita.

Terdapat beberapa adab semasa berhari raya yang mesti dipatuhi :

1. Menjaga aurat dan batasan ketika bersalaman

Seseorang muslim hendaklah memelihara batas aurat sesama ahli keluarga, ipar duai, sepupu atau yang bukan mahram, serta tidak menghalalkannya atas alasan silaturrahim.

2. Mengelakkan tabarruj yang melampau

Seseorang muslim hendaklah mengelak daripada berpakaian secara tabarruj (berlebihan) hingga terkeluar dari etika berpakaian dalam Islam serta memakai wangian yang boleh mendorong syahwat bukan mahram terutamanya orang lelaki.

3. Menjaga solat

Sering kali, amalan berziarah melalaikan kita dengan berlengah-lengah untuk menunaikan solat; malahan ada yang terus meninggalkannya.

4. Elakkan dari menjadikan Ramadan sahaja sebagai bulan cuti dari dosa

Sering berlaku dalam masyarakat dosa-dosa lama dilakukan kembali setelah berakhirnya Ramadan.

Hal ini harus dielakkan sama sekali jika seseorang muslim itu benar-benar menghayati hikmah di sebalik Ramadan.

5. Menjaga tatasusila semasa menziarahi kawasan perkuburan

Rasulullah SAW bersabda, “sungguh jika salah seorang dari kalian duduk di atas bara api sehingga membakar bajunya dan menembus kulitnya, itu lebih baik daripada duduk di atas kubur” . (hadis riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu berjalan di antara pusara- pusara kubur, maka itu tidak mengapa.

Semoga Ramadhan yang bakal berlalu ini membekaskan takwa dalam hati kita. Sentiasalah berdoa semoga kebaikan yang banyak mengiringi kita untuk bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun hadapan.

Berdoalah dengan lafaz yang di bawah :

” Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada diriku dan sucikanlah ia, kerana Engkau sebaik-baik Rabb yang Menyucikannya,Engkau Pelindung dan Pemeliharanya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Taqabbalallahu minna waminku, Wa minna wa minkum taqabbal Ya Kareem

Salam aidilfitri !

Artikel Berkaitan

JOIN THE DISCUSSION

thirty four − = twenty five